Pas: Semua harus jamin keselamatan Palestin

Wartawan Sinar Harian


SHAH ALAM - Pas mengulangi pendirian parti itu dengan menegaskan, keselamatan rakyat Palestin tetap menjadi agenda utama dan mahu semua pihak memberi jaminan keselamatan daripada kebiadapan rejim Israel.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan lewat malam tadi, Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga berkata, parti itu mengecam tindakan bermuka-muka kerajaan Barisan Nasional (BN), yang terus berurus niaga atau menjalin apa saja hubungan dengan rejim Israel ketika rakyat di Palestin terus dibunuh dan ditekan.

Katanya, Pas akan terus bersama "darah, air mata dan derita rakyat" di Palestin bagi memperjuangkan sebuah negara merdeka.

Malah katanya, bagi parti itu, apa jua perancangan masa depan negara Palestin hendaklah mengambil kira pendirian Hamas yang telah menerima mandat rakyat.

"Seperti yang ditegaskan Murshidul Am Pas, Pas sekali lagi ingin menegaskan pendirian parti bahawa kita tetap bersama rakyat di Palestin yang berjuang bagi mendapatkan balik hak negara mereka yang telah dirampas oleh rejim Israel," kata beliau dengan merujuk kepada pertemuan antara Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara, kelmarin.

Anwar menemui Nik Abdul Aziz bagi menjelaskan maksud kenyataannya berhubung ‘keselamatan Israel’ yang disiarkan oleh Wall Street Journal, bulan lalu.

Pertemuan itu turut disertai Tuan Ibrahim.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim berkata, Pas juga menolak 'road map' yang ditaja oleh kuasa Barat dan mana-mana pihak yang terlibat, yang sedang memaksa pelan penyelesaian ke atas rakyat Palestin dan seluruh dunia.

Dalam kenyataannya semalam, Nik Abdul Aziz menegaskan, adalah haram bagi mana-mana pihak bersekongkol dengan Israel dalam apa jua bentuk hubungan.

Menteri Besar Kelantan berkata, beliau berpandangan bahawa Anwar memahami pendirian Pas yang tidak mengiktiraf negara Israel dan menyokong sepenuhnya perjuangan rakyat Palestin.

"Oleh kerana itu tidak berbangkit Pas telah menggadai prinsip perjuangan tatkala bersama Pakatan Rakyat," katanya.

Sehubungan itu kata Nik Abdul Aziz, beliau yakin, pihak Pakatan Rakyat tetap sepakat dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan tanah airnya daripada cengkaman Israel yang zalim itu.

No comments

Powered by Blogger.