Jeff Bezos individu terkaya dunia, atasi Bill Gates




Jeff Bezos

NEW YORK: Pengasas Amazon, Jeff Bezos muncul sebagai individu terkaya di dunia.

Menurut majalah Forbes, lonjakan harga saham dalam gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) itu membolehkan beliau mengatasi pengasas Microsoft, Bill Gates.

Katanya, pengesan kekayaan peribadi masa sebenarnya menunjukkan nilai Bezos adalah sebanyak AS$90.5 bilion (RM386.87 bilion), melebihi AS$90 bilion (RM384.74 bilion) yang dimiliki Gates.

Bezos memiliki 17 peratus ekuiti dalam Amazon yang mana syarikat itu kini telah berkembang daripada tujuan asalnya sebagai peruncit dalam talian kepada firma teknologi menyeluruh.

Ia termasuklah dalam aspek perkomputeran awan, video dalam talian, perkakasan komputer dan kebijaksanaan buatan.

Baru-baru ini, syarikat itu juga mengumumkan rancangan untuk mengambil alih peruncit AS, Whole Foods yang mana ia dijangka boleh membantu Amazon berkembang dalam sektor berkenaan.

Saham Amazon meningkat 1.7 peratus kepada AS$1,070.72 dan naik lebih 24 peratus dalam tempoh empat bulan lalu. Ia menambah sejumlah AS$17 bilion nilai bersih kepada Bezos yang berusia 53 tahun itu.

Menurut Forbes lagi, Gates kembali dinobat sebagai individu paling kaya dalam penarafan tahunan majalah berkenaan pada Mac lalu, untuk empat tahun kebelakangan ini.

Pemilik syarikat telekomunikasi Mexico, Carlos Slim memegang gelaran itu dan mengatasi Gates pada tahun 2010 hingga 2013.

Antara hartawan lain yang sedang meningkat naik termasuklah pengasas Facebook, Mark Zuckerberg, yang dikatakan mempunyai kekayaan bernilai AS$72.9 billion.

Walaupun kebanyakan kekayaan Bezos datangnya dari Amazon, beliau turut memiliki firma udara persendirian, Blue Origin dan akhbar Washington Post. - AFP

No comments

Powered by Blogger.