BN tidak menjamin keselamatan negara

DUNGUN, 24 Dis (Hrkh) - Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak berupaya menjamin keselamatan negara, sekiranya terus memerintah.Kenyataan ini dibuat oleh Ketua Umum Parti KeADILan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim ketika berucap Pada Ceramah Perdana, Sempena Aidiladha di pekarangan Masjid Sura,Terengganu baru-baru ini.

Katanya, negara tidak selamat jika rakyat masih terus memberi mandat kepada BN memimpin negara ini dalam pilihan raya umum akan datang.

"Negara tidak selamat lagi jika kita (rakyat) masih beri mandat kepada Umno dan BN memerintah.

"Kita (rakyat) rugi besar jika ini tidak dibuat perubahan dalam pilihan raya umum akan datang," tegas Anwar.

Katanya lagi, masalah rasuah di kalangan pemimpin Umno/BN sudah begitu parah dan merugikan masa depan negara dan rakyat seluruhnya. Kerjasama PAS dan KeADILan bukan sekadar pakatan bagi menjatuhkan Umno/BN namun muafakat unutk membawa rakyat mengembalikan maruah agama dan bangsa.

"Pakatan kita ini bukan sekadar pakatan politik untuk jatuhkan Umno/BN tetapi ini adalah soal maruah," ujarnya.

Mantan Timbalan Perdana Menteri itu juga menyifatkan pemimpin Melayu Umno telah rosak nilai moral dengan terlibat dengan gejala rasuah, salahguna kuasa serta 'merompak' kekayaan negara.

Menurutnya lagi, hasil kekayaan diagih-agihkan hanya kepada segelintir kroni-kroni yang rapat dengan pemimpin negara.

"Saya sudah dedahkan banyak rasuah pemimpin Umno seperti pembahagian saham, AP, pembelian senjata dan sebagainya.

"Yang terbaru adalah kes Pelabuhan Klang selain Kes Lingam sebelum ini," jelasnya.
Turut berucap pada majlis tersebut Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali. - buletinonline.net

No comments

Powered by Blogger.