Jejak kasih di Manek Urai
Pada tahun 1970 dahulu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Asri Haji Muda memperlawa para anak muda Kelantan untuk menjadi peneroka tanah.
Di peringkat parti pula, beliau menggesa para pemuda PAS agar menyahut cabaran kerajaan negeri itu. Sebagai pemimpin yang merancang aktiviti partinya, beliau merangka rancangan agar setiap cawangan PAS menghantar 10 pemudanya untuk menyertai rancangan itu.
Hasilnya, beratus-ratus (kalau tidak ribu-ribu pun) pemuda PAS menyahut cabaran Asri itu. Pemuda PAS dari Pengkalan Chepa, Kubang Kerian, Pasir Puteh, Rantau Panjang, Bachok dan lain-lain kawasan mendaftarkan diri.
Destinasi yang mereka tuju adalah Sungai Sok, Cucuh Puteri, Sungai Pria dan Lata Rek di Manek Urai, Kuala Krai. Mereka menyertai apa yang dinamakan sebagai Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) yang diilhamkan oleh kerajaan negeri Kelantan ketika itu untuk membangunkan tanahnya.
Salah seorang dari mereka adalah Pakcik Mamat Jusoh. 40 tahun lalu, umur beliau adalah 34 tahun. Kini, Pakcik Mat sudah berumur 74 tahun.
Beliau adalah salah seorang peneroka awal RKT Cucuh Puteri dan tinggal di Cucuh Puteri B. Anak beliau, Nik Hamdi bin Mamat adalah salah seorang penghulu (ketua kampung) di Cucuh Puteri kini.
Menurut Pakcik Mat, ketika datang dahulu, mereka menaiki keretapi dari Tumpat dan berhenti di Stesen keretapi Manek Urai Lama. Dari situ, dia dan rakan-rakannya berjalan kaki selama dua hari satu malam menuju ke Cucuh Puteri, kawasan hutan yang diberikan kepada beliau untuk dibangunkan. Setiap mereka diberikan enam ekar tanah untuk dibangunkan.
Dari Sungai Sok, dia terpaksa mendaki satu bukit yang menjunam tingginya sehingga tertonggek-tonggek mereka mendakinya. Lalu bukit itu kemudiannya dinamakan Bukit Tonggek. Bukit Tonggek kekal hingga kini. Walaupun sudah ada jalan raya, kereta kita terpaksa menggunakan gear dua untuk mendaki bukit ini.
Hari ini, Sungai Sok, Cucuh Puteri, Sungai Pria dan Lata Rek adalah nama-nama popular dalam peta politik tanah air. Ke empat-empatnya adalah kawasan peti undi dalam Dun Manek Urai.
Sehingga kini, memandangkan ia diasaskan oleh para Pemuda PAS 40 tahun lalu, ke empat-empat RKT ini kekal menjadi kubu kuat PAS berbanding lima lagi peti undi. (Lima lagi adalah Manjoi, Lak Loh, Manek Urai Lama, Manek Urai Baru dan Temale.)
Kini, menjadi strategi PAS dalam memenangi pilihan raya ini, menempatkan petugas PAS dari kawasan asal penduduk di sini ke kawasan itu.
Petugas Pengkalan Chepa, misalnya, ditempatkan di Cucuh Puteri kerana kebanyakan penduduk RKT ini dari Pengkalan Chepa. Petugas Rantau Panjang ditempatkan di Lata Rek manakala petugas dari Kubang Kerian ditempatkan di Sungai Sok.
Di sini jejak kasih berlaku. Mereka yang telah terpisah 40 tahun lalu tiba-tiba berjumpa kembali dalam pilihan raya kecil ini. Kawan bertemu kawan. Sepupu bertemu sepupu, anak saudara bertemu bapak saudara dan sebagainya.
Bekas ADUN Pancor, Pengkalan Chepa, Haji Yusof Ludin misalnya bertemu dengan rakan sekolahnya semasa kecil dahulu, Yasin yang berasal dari Kampung Pulau Belanga, Pengkalan Chepa. Beliau antara petugas PAS Pengkalan Chepa yang ditugaskan di peti undi Cucuh Puteri, tempat tinggal Yasin sekarang.
Pendek kata, pertemuan jejak kasih ini benar-benar memeriahkan suasana di Manek Urai sekarang.
Kehebatan PAS di sini boleh dilihat dari sejarah PAS itu sendiri. Pada tahun 1978, PAS kalah di semua kawasan pilihan raya di Kelantan kecuali di DUN Sering, Pengkalan Chepa dan Manek Urai, Kuala Krai. Dan yang jelasnya, kekuatan PAS di Manek Urai kerana orang Pengkalan Chepa yang datang ke situ 40 tahun lalu.
Kini, PAS diuji lagi. Apakah kekuatan mereka boleh dicairkan oleh Umno yang ada atau RKT akan kekal menjadi kubu PAS sebagaimana kawasan Felda kekal menjadi kubu Umno sehingga kini.
Dari sembilan peti undi, Umno memberikan tumpuan kepada Manjoi dan Lak Loh di samping Manek Urai Lama dan Baru sendiri. Mereka tidak mampu untuk menembusi kubu PAS di Sungai Sok, Cucuh Puteri, Sungai Pria dan Lata Rek ini yang berasaskan RKT ini.
Namun, sejak kematian Ismail Yaakub lagi, Umno melalui jabatan-jabatan kerajaan sudah masuk ke kawasan pilihan raya ini secara yang agresif sekali. Antara jabatan kerajaan yang aktif adalah Kesedar yang membuat jalan-jalan baru, Jabatan Pelajaran yang sehingga kini sudah tiga kali membuat kursus untuk 200 guru-gurunya di sini.
Selain itu, Kemas, Risda dan Jabatan Kesihatan turut aktif memberikan perkhidmatan menjelang pilihan raya ini di samping lebih 3,000 anggota polis yang bergerak aktif di sini.
Namun, PAS yakin akan menang kerana mereka boleh bergantung kepada kekuatan benih yang telah mereka tanam 40 tahun lalu di sini.
No comments
Post a Comment