Kesabaran suami melembutkan Sumayyah

MENGAPAKAH dakwah Rasulullah SAW mudah diterima? Jawapannya sudah tentu disebabkan oleh keperibadian, sahsiah serta penampilan Islamik yang menjadi qudwah atau role model kepada umat manusia.

Hakikatnya, ramai yang terlepas pandang bahawa salah satu kaedah atau uslub dakwah yang paling berkesan ialah dengan contoh teladan atau dalam istilah dakwahnya, bil-hal.

Yang pasti, inilah yang akan memberi nilai tambah kepada khalayak lain, sama ada bukan Islam mahupun segelintir kumpulan atau individu Islam yang sudah jauh dari Islam untuk melihat dan sedar kembali tentang kecantikan Islam itu.

Seorang penulis bebas yang sebelum ini beragama Kristian, Sumayyah Meehan mengakui bahawa keperibadian mulia suami sepanjang tempoh perkahwinan mereka telah menjadi titik tolak kepada penghijrahan akidahnya.

Sedangkan katanya lagi, ketika mendirikan rumah tangga kira-kira 12 tahun lalu, beliau langsung tidak berhasrat bertukar kepada agama anutan suaminya iaitu Islam. Apatah lagi, Islam pada saat itu, sering dilabel secara negatif dan jahat, terutamanya terhadap golongan hawa mereka.

"Siapa sangka, suami saya sendiri adalah sebab yang membawa saya kepada agama Islam. Apa tidaknya, kalau sebelum ini saya melihat Islam dari sisi gelapnya sahaja.

"Tetapi kebaikan, kasih sayang yang ditunjuk dan dilakukan suami mengubah segalanya. Saya bersyukur dianugerahkan jodoh dengan seorang lelaki yang baik dan banyak membimbing.

"Suami saya adalah seorang manusia yang amat memahami dan bersikap begitu toleransi. Jangankan untuk memaksa saya agar mengikut agamanya, jauh sekali mendera mental mahupun fizikal, waima mengetahui keengganan keras saya bergelar muslimah.

"Malah hanya satu sahaja permintaannya sebaik kami bergelar suami isteri iaitu agar saya cuba untuk membaca kitab terjemahan al-Quran.

"Itupun katanya, kalau tidak selalu, dia minta agar saya membukanya sekali-sekala dari semasa ke semasa. Ohh... itu mudah sahaja. Spontan saya bersetuju dengan permintaannya itu," cerita Sumayyah yang dipetik dari laman web islamonline.net.

Kata ibu beranak tiga ini lagi, sebaik bernikah mereka berpindah ke kampung halaman suami di Kuwait, tambahan pula ekonomi di Amerika Syarikat (AS) sedang tidak menentu.

Senario ini sudah pastinya tidak menjanjikan peluang kepada mereka untuk menikmati kehidupan yang selesa dan baik di negara berkuasa besar itu lagi.

"Pada saat kaki menuruni tangga kapal terbang, mahu tidak mahu saya bagai dipaksa untuk berada dalam satu dunia baru yang penuh dengan Islam.

"Daripada orangnya yang majoriti Muslim, adat kebudayaan malah merangkumi cara pemikiran dan tingkah laku mereka semuanya berpaksikan agama Islam.

"Kalau hendak diikutkan hati, mahu sahaja saya lompat balik ke dalam perut kapal terbang dan balik semula ke AS. Saya benar-benar rasa keseorangan, seluruh perasaan dihantui dengan rasa ketakutan yang amat sangat.

"Namun semua itu lenyap apabila suami sentiasa berada di sisi, tidak kira dalam apa juga situasi. Malah dalam soal pemakanan sekali pun, dia berusaha mencarikan makanan yang sesuai dengan selera saya kerana tahu masakan ibunya yang berempah itu agak pedas bagi orang baru seperti saya," terang Sumayyah.

Kongsinya lagi, apabila beliau rindukan ahli keluarga dan kampung halaman, suaminya lah yang berjaga malam menemaninya serta menawarkan diri untuk membawanya pulang AS.

Malah boleh dikatakan dalam apa juga situasi; sakit pening, gembira dan duka dialah insan yang akan memegang tangan Sumayyah untuk mengharungi semua keadaan itu.

"Dialah sahabat baik, tempat mengadu dan bapa kepada anak-anak kami. Bahkan dia turut berjaga malam membancuh susu anak, menggantikan lampin pakai buang, bersabar dengan kerenah nakal anak-anak.

"Bahkan sehingga kepada membantu membasuh pinggan mangkuk, bila melihat saya sudah tidak larat melakukannya.

"Sayangnya, suami Islam yang bertanggungjawab sebegini mendapat gambaran buruk dari media-media Barat. Kebanyakan lelaki dan suami Muslim dilabel atau digambarkan sebagai seorang yang gila kuasa sehingga sanggup memaksa isteri-isteri mereka 'berpakaian Islamik," kata Sumayyah yang juga siswazah dari Kolej Waynesburg dalam bidang keadilan jenayah.

Realitinya, ujar Sumayyah pemakaian sebegitu adalah menurut ajaran sebenar agama Islam seperti mana yang disuruh dalam al-Quran dan sunnah. Hakikatnya, ia bukannya soal isu paksaan ataupun perang amanat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kehormatannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.

Katakanlah kepada orang wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kehormatannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka atau ayah suami mereka..... (al-Nur: 30-31)

"Secara peribadinya, saya datang ke Kuwait bebas dengan pakaian yang saya selesa memakainya iaitu, kemeja T dan seluar jean. Tidak ada siapa dalam keluarga suami malah suami saya juga tidak menegur apa-apa.

"Pun begitu, suami saya tidak pernah berhenti menyuruh saya membaca terjemahan al-Quran. Caranya yang penuh hikmah tetapi kadang-kala terasa seperti membebel berbaloi juga.

"Ini kerana saya akhirnya mula membaca al-Quran dan sejak itu saya semakin tidak puas dan sentiasa mencari ilmu agama.

"Saya mula mencari dan menggali seberapa banyak sumber yang boleh didapati sehinggalah saya temui kebenaran yang selama ini dicari di dalam helaian al-Quran," jelas Sumayyah yang akhirnya mengambil keputusan memeluk Islam.

Sumayyah mahu keputusan besar itu bukan sahaja menjadi transformasi dalaman tetapi turut membawa perubahan secara luaran. Lantas itu, beliau sanggup membeli hijab atau tudung kepala bersendirian.

Malah, suaminya juga adalah guru yang banyak mengajarnya tentang ajaran Islam terutamanya tentang solat dan berpuasa.

Apabila beliau melakukan kesalahan dia menegur dengan lembut dan tidak pernah memarahi Sumayyah, sebaliknya berusaha mencari alternatif lain agar dapat menyampaikan ilmunya supaya lebih mudah difahami isteri tercinta.

"Kesabaran suami memang menakjubkan, manakala saya pula dalam keadaan bertentangan. Apa tidaknya, saya ghairah untuk mengetahui banyak lagi tentang Islam, padahal saya tahu bahawa ia tidak berlaku dalam masa singkat atau satu malam sahaja. Namun apa yang saya inginkan dipenuhi juga.

"Akhirnya, berjaya juga saya menjadi seorang yang penyabar dan tidak cepat menggelabah apabila saya menggunakan pendekatan kehidupan seharian dalam usaha lebih memahami sesuatu perkara itu," kata Sumayyah.

Malah menerusi al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW, beliau banyak mempelajari matlamat sebenar kehidupan seorang Muslim.

Hakikatnya, setiap hari Sumayyah sentiasa berusaha melakukan perkara-perkara baik agar menjadi bekalan di hari kemudian yang dijanjikan kekal abadi.

Kini, Sumayyah yang bekerja di bahagian buku-buku Islamik kanak-kanak menetap bahagia di Kuwait bersama suami tercinta dan tiga orang anak mereka.

No comments

Powered by Blogger.