Penjualan kanta sentuh tanpa tauliah jejas mata

BARU-BARU ini, saya dimaklumkan mengenai penyewaan kanta sentuh berwarna oleh mak andam untuk pengantin pada majlis perkahwinan di Kuala Lumpur.

Berita itu mengejutkan saya kerana pertama kali sepanjang lebih 15 tahun saya bergelar optometris, pengguna boleh menyewa sepasang kanta sentuh!

Untuk pengetahuan, risiko berkongsi kanta sentuh adalah amat tinggi dan boleh menyebabkan buta. Perkongsian kanta sentuh, terutama kanta sentuh lembut boleh menyebabkan pemindahan bakteria atau virus dengan mudah akibat bakteria atau virus melekat di atas permukaan kanta sentuh.

Kanta sentuh adalah alat bantuan penglihatan yang digunakan untuk tujuan terapeutik, kosmetik dan pembetulan penglihatan.

Disebabkan kanta sentuh bersifat seperti bendasing yang dipasang pada permukaan mata (kornea), maka mata akan memberikan reaksi tindak balas akibat pemakaian kanta berkenaan.

Kesan tindak balas itu ada kalanya amat berbahaya dan boleh menyebabkan seseorang pengguna hilang penglihatan.

Oleh itu, pengguna mesti sedar dan faham bahawa pemasangan kanta sentuh hanya boleh dilakukan oleh mereka yang bertauliah iaitu optometris.

Di Malaysia, penggunaan kanta sentuh berwarna amat popular.

Ia sering digunakan wanita, artis dan remaja kerana ia boleh menukar rupa dan imej seseorang. Malangnya, masyarakat kurang peka mengenai pentingnya memakai kanta sentuh yang dipasang secara optimum dan penjagaan yang betul.

Penilaian pemasangan kanta sentuh mesti dilakukan menggunakan lampu celah biomikroskop dan pengguna mesti diberikan konsultasi mengenai penjagaan serta pemeriksaan lanjutan.

Sekiranya pengguna tidak melalui proses itu sebelum membeli kanta sentuh, mereka mendedahkan mata kepada bahaya.

Pengguna juga tidak boleh membeli kanta sentuh melalui internet walaupun harga lebih murah. Pengguna harus sedar penglihatan kurniaan Allah SWT tiada nilainya dan tidak boleh ditukar ganti.

Kanta sentuh sebenarnya selamat digunakan. Kebanyakan kanta sentuh yang dijual di negara ini mendapat kelulusan Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) Amerika Syarikat sebelum boleh dijual.

Ia tidak selamat untuk dipakai sekiranya pengguna tidak mengetahui kepentingan penjagaan kanta sentuh yang betul serta mematuhi nasihat optometris.

Amalan menjual kanta sentuh oleh mereka yang tidak bertauliah amat meluas dijalankan di Malaysia dan sukar dikawal.

Sehubungan itu, masyarakat harus sedar dan hanya mendapatkan pemeriksaan teliti untuk pemakaian kanta sentuh daripada optometris.

PROF MADYA DR BARIAH MOHD ALI,
UKM, Bangi.

No comments

Powered by Blogger.