Tok Guru Belum Nyanyuk

Mursyidul Am PAS,Tok Guru Nik Aziz Nik Mat membuat kejutan. Beliau menghulurkan salam persahabatan kepada kerajaan pusat biarpun cungap nafas bertempur di medan perang di bumi Manek Urai belum hilang. Keputusan Pilihan Raya Kecil itu sedang diteliti oleh UMNO Kelantan untuk dibawa ke mahkamah. Justeru, salam persahabatan itu bakal melembutkan hati UMNO Kelantan bagi membatalkan hasratnya?

Ada orang menuduh Nik Aziz sudah nyanyuk. Pendirian politiknya tidak konsisten. Malah sudah tiba masanya beliau berundur daripada dunia politik.

Dahulu beliau menolak idea perpaduan PAS-UMNO. Malahan idea yang dilontarkan Presiden PAS, TG Haji Abdul Hadi Awang demi masa hadapan Melayu dan Islam itu ditentang matian-matian. Kononnya, PAS Kelantan tidak dapat melupakan parut lama ditikam oleh UMNO. Politik PAS menjadi kalut seketika apabila penyokongnya terbelah dua, iaitu pro-perpaduan dan anti-perpaduan.

Kemuncak kekalutan itu menyaksikan Timbalan Presiden PAS, Nasruddin dijerkah oleh nik Aziz sehingga jatuh sakit dan menghilangkan diri buat seketika. Masakan tidak sakit, beliau diminta keluar daripada PAS dan melepaskan kerusi Parlimen Bachok, Kelantan seandainya kemaruk sangat dengan UMNO. Nasaruddin hanya muncul sekejap di Manek Urai. Itupun kerana terdesak untuk memastikan calon PAS tidak tersungkur di tangan UMNO.

Kata orang, keputusan Nik Aziz membuka pintu negeri Kelantan untuk kerjasama dengan kerajaan pusat, salah satu sebabnya kerana Manek Urai. Keputuan PRK Manek Urai yang dimenangi calon PAS dengan majoriti kecil membuka hati Nik Aziz bahawa rakyat Kelantan memerlukan pembangunan fizikal yang hanya mampu dibawa oleh kerajaan pusat.

Namun, jangan keliru. Nik Aziz belum nyanyuk. Pendirian beliau masih utuh. Khidmat beliau masih diperlukan.

Jangan samakan kerajaan pusat dengan UMNO. Kerajaan pusat diperintah oleh Barisan Nasional(BN)yang di dalamnya ada puluhan parti. UMNO hanya sebuah parti dalam BN. Walaupun UMNO mendominasi BN, tetapi dasar kerajaan pusat diputuskan oleh BN. Kerajaan 1Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak mengutamakan rakyat. Kerajaan “dewa maha mengetahui” (era UMNO berkuasa penuh?) telah berlalu. Oleh sebab rakyat didahulukan, maka dasar kerajaan pusat diputuskan bersama oleh parti komponen BN.

Justeru, dasar kerajaan pusat kini lebih mesra rakyat. Mungkin sebab itulah Nik Aziz terpanggil untuk menilai kerajaan pusat yang akhirnya satu kenyataan dikeluarkan.

Beberapa hari yang lalu, Nik Aziz membuat kenyataan bahawa beliau bersedia untuk berbaik-baik dan melupakan sengketa politik antara kerajaan negeri di bawah PAS dengan kerajaan pusat dalam usaha menjaga kepentingan rakyat dan perpaduan Islam.

Beliau berkata kerajaan negeri tidak pernah menganggap kerajaan pusat sebagai musuh, tetapi hanya sebagai lawan dalam mempertahankan perjuangan ideologi politik masing-masing.

Kenyataan itu dibuat susulan usahasama kerajaan pusat dan negeri untuk menganjurkan Fiesta Kelantan 2009 di Kuala Lumpur tidak lama lagi.

Jelas sekali bahawa kerjasama yang dilontarkan oleh Nik Aziz tidak sama dengan idea Abdul Hadi Awang. Nik Aziz mahu berbaik-baik dengan kerajaan pusat. Sedangkan Abdul Hadi mahu berpadu dengan UMNO. Dua perkara yang berbeza. Idea Nik Aziz selaras dengan kehendak 1Malaysia – perpaduan semua bangsa (kaum) tanpa mengira ideologi politik. Manakala konsep perpaduan Abdul Hadi terbatas antara PAS dan UMNO sahaja. Parti lain dalam BN dan Pakatan Rakyat terpinggir.

Oleh hal yang demikian tidak timbul soal Nik Aziz nyanyuk atau pendiriannya goyah. Beliau melihat masa depan politik negara, terutamanya politik Kelantan dari sudut yang luas. Kelantan tidak harus bersengketa dengan kerajaan pusat kerana tanpa bantuan kerajaan pusat, Kelantan sukar membangunkan rakyatnya yang masih menghadapi kadar kemiskinan yang tinggi.

Manakala Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed senada dengan Nik Abdul yang mahu melupakan sengketa lama antara kerajaan negeri pimpinan PAS dengan kerajaan pusat di bawah Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau, BN dan Umno Kelantan khususnya bersikap terbuka dan sememangnya tidak mahu perbezaan dan perjuangan politik menjadi pemisah yang memecahkan umat Islam dan orang Melayu.

Justera, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan lapang hati akan membincagkan perkara ini dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO. Maklumlah, orang mengantuk disorongkan bantal. Bagaimana dengan berbakul-bakul tuduhan berat yang dilemparkan kepada Nik Aziz, seperti berdegil dan anti-perpaduan Melayu akan turut dilupakan?

Walau bagaimanapun kenyataan Nik Aziz masih diragui oleh sesetengah pemimpin UMNO. Malah pemimpin PAS sendiri ada yang masih melopong dengan mata terkerdip-kerdip kerana kurang pasti apakah sebenarnya yang dikehendaki oleh Nik Aziz.

Maklumlah kenyataan ‘melupakan sengketa’ lama dilontarkan sewaktu kerajaan pusat menghulurkan “habuan” berbentuk penganjuran Fiesta Kelantan 2009. Sebab itulah ada orang berkata, ‘habuan’ telah membuka hati Tok Guru kerana seandainya tiada Fiesta Kelantan sengketa lama belum ditamatkan. Adalah keterlaluan menuduh Tok Guru telah digula-gulakan.

Kenyataan balas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi perlu direnungi dengan matang. Beliau berharap Nik Aziz konsisten dalam pendirian dan bukan kerana peruntukan yang diberikan menyebabkan Nik Aziz sanggup berbai-baik dengan kerajaan pusat. Selama ini pun, tambah Zahid, kerajaan pusat tidak pernah menolak bantuan kepada negeri Kelantan.

Bagaimana pula dengan tuntutan royalti minyak Kelantan? Ada orang mengatakan ini merupakan salah satu sebab Nik Aziz membuka pintu persahabatan dengan kerajaan pusat. Menteri Besar Kelantan itu sedar bahawa sikap bermusuh tidak akan membantu Kelantan memperolehi royalti tersebut. Kerajaan pusat tidak akan mengalah kepada tuntutan musuh politiknya. Jadi, berkawan dahulu barulah menghulurkan tangan minta dikembalikan hak rakyat Kelantan yang disedut oleh Petronas.

Oleh sebab itu, maka tidak hairanlah kalau ada pemimpin BN, terutamanya pemimpin UMNO was-was dengan kenyataan Nik Aziz.

Bagaimana pula dengan pendirian pemimpin PAS yang pro-perpaduan PAS-UMNO? Adakah mereka menyokong idea kerjasama kerajaan negeri Kelantan dengan kerajaan pusat idea Nik Aziz? Diharapkan tiada suara-suara yang cuba mengambil kesempatan ‘melaga-lagakan’ kerajaan Kelantan dengan kerajaan pusat.

Inilah yang dikatakan orang bahawa dunia politk ialah dunia yang sentiasa berubah-ubah pendiriannya mengikut keperluan dan kepentingan semasa.

Walau bagaimana pun, adalah lebih baik sekiranya kerjasama ini diperluaskan kepada semua kerajaan negeri Pakatan Rakyat dengan kerajaan pusat BN.

1malaysia

No comments

Powered by Blogger.