Pemimpin Umno benar-benar kemaruk isu perpaduan Melayu

(Hrkh) - Lain yang dicakap, lain pula difahami. Itulah gambaran apabila pemimpin Umno tiba-tiba mengharap salam dihulur PAS benar-benar mencetus ke arah perpaduan Melayu.
Iklan




Sedangkan apa yang diharap Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat kerajaan pusat benar-benar memahami konsep federalisme, di mana menghormati hak negeri di bawah kerajaan persekutuan.

Itulah isu sebenarnya yang dinyatakan Menteri Besar Kelantan sebelum ini, jauh sekali daripada membicarakan soal hubungan di antara pemimpin Umno dan PAS.

Anggota parlimen Machang, Saufuddin Nasution Ismail berkata, pemimpin Umno sekarang sudah benar-benar terdesak apabila gagal membezakan kerjasama di antara kerajaan dan parti.

"Apabila sahaja disebut perkataan kerjasama cepat-cepat mereka melihat dalam konteks parti di antara Umno dan PAS.

"Sedangkan apa yang disebut Menteri Besar sebelum ini kerjasama di antara kerajaan negeri dan pusat selepas banyak hak-hak negeri cuba dinafikan kerajaan persekutuan," katanya pada ceramah sempena kesyukuran kemenangan PAS di Laloh, malam semalam.

Program tersebut diadakan selepas PAS berjaya mempertahankan Dun Manek Urai pada pilihan raya kecil yang diadakan 14 Julai lalu.

Hadir sama Tuan Guru Nik Abdul Aziz, anggota parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli, Yang Dipertua PAS Kuala Krai, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman dan Adun Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah.

Padang Majlis Daerah Dabong di Laloh penuh sesak dengan orang ramai mengikuti ceramah tersebut. Pada sebelah petang penduduk menikmati gulai kawah apabila enam ekor lembu dikorbankan.

Saifuddin yang juga Pengarah Pilihan Raya KeADILan berkata, pemimpin Umno amat mengharapkan kerjasama di antara parti dan bukan sekadar antara kerajaan negeri dan pusat sehingga sanggup menyelewengkan kenyataan Menteri BEsar.

Di KOTA BHARU, Setiausaha Politik Menteri Besar, Haji Anual Bakri Harun berkata, pemimpin Umno memahami di luar konteks kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebelum ini.

Katanya, tidak pernah berbangkit soal kerjasama di antara PAS dan Umno kerana apa yang disebut Menteri Besar mengharapkan kerajaan pusat melaksanakan tanggungjawab sebagaimana termaktub dalam perlembagaan.

"Hak kerajaan negeri sebelum ini banyak dinafikan sejak hampir 20 tahun. Penubuhan Jabatan Pembangunan Persekutuan secara jelas bagi menafikan hak-hak kerajaan negeri.

"Dan terbaru pula royalti minyak kepada Kelantan cuba dinafikan kerajaan pusat secara sewenang-wenangnya, sedangkan sudah ada perjanjian royalti dibayar sebanyak 5 peratus kepada mana-mana negeri yang ada sumber petroleum dan gas," katanya.

Namun kata beliau apa yang berlaku sekarang pemimpin Umno cuba melencongkan kenyataan tersebut lebih jauh dengan menguar-uarkan kerjasama antara parti kononnya bagi mencapai matlamat perpapaduan Melayu.

Ramai pemimpin Umno mengharapkan kerjasama lebih terarah di antara parti dengan parti dan bukan sekadar antara kerajaan.

Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan dilaporkan mahu pemimpin PAS melupakan sengketa dengan Umno.

Menurutnya beliau yakin Presiden dan Timbalan Presiden Umno bersedia berbincang mengenai perpaduan cuma bentuknya itu kita tidak tahu kerana ia melibatkan pimpinan tertinggi.

No comments

Powered by Blogger.