Tambang teksi di Kelantan kekal

Oleh Mohd Zuharman

KOTA BARU, Julai 27 — Para pengguna teksi di Kelantan mungkin boleh bernafas lega kerana tambang teksi di negeri itu akan kekal dengan harga lama buat masa ini walaupun kerajaan mengumumkan harga tambang teksi akan dinaikkan.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemandu Kelantan (PKDK), Hussein Awang, berkata, kesemua pemandu teksi (kereta sewa) Kelantan bersepakat mengekalkan kadar lama walaupun kadar baru telah ditetapkan.

Tujuan PKDK mengambil langkah demikian ialah bagi menarik minat lebih ramai para pengguna menggunakan perkhidmatan teksi di negeri ini yang mana peratusnya adalah terlalu kecil dibandingkan dahulu.

“Sekurang-kurangnya mereka juga tidak merasai beban kesan daripada kenaikan harga tambang pengangkutan awam apabila ada alternatif lain baginya,” jelas Hussein.

Bagaimanapun, dalam pada itu beliau berkata, kesemua pemandu atau pemilik permit perkhidmatan pengangkutan teksi di negeri ini yang berjumlah kira-kira 2,140 orang merakam ucapan terima kasih kepada kementerian terbabit di atas pengumuman kadar baru tersebut.

Kenaikan sehingga 30 peratus kadar baru tambang pengangkutan awam meliputi bas ekspres, bas henti-henti, teksi atau kereta sewa diumumkan Menteri di Jabatan Perdana, Datuk Seri Mohammad Nazri Aziz, dua minggu lepas akan bermula pada Ogos 1 ini.

Kali terakhir kadar tambang pengangkutan awam dinaikkan ialah pada Mei 2005. Sebelum itu kenaikan juga berlaku pada tahun 2000.

Biarpun dari segi moralnya, langkah itu dilihat bertentangan dengan usaha kerajaan, namun berasaskan faktor ekonomi semasa berhadapan dengan kekangan kadar inflasi tindakan sebaliknya itu wajar dinilai dalam dimensi positif.

Sementara itu, tindak balas masyarakat dalam tinjauan The Malaysian Insider mempertikaikan kenaikan itu dan dianggap melampau.

Ia tidak sesuai dengan masanya kerana ia membebankan golongan berpendapatan rendah yang sentiasa menggunakan perkhidmatan berkenaan.

Bahkan, turut menjadi kerisauan bagi mereka apabila akan terdapat pihak tertentu cuba mencuri kesempatan turut menaikkan harga barang seperti mana lazimnya berlaku sebelum ini.

No comments

Powered by Blogger.