Hadi tidak hina kaum Iban

SHAH ALAM - Tiada sebab untuk Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menghina kaum Iban di Sarawak, sebaliknya kenyataan yang dibuat harus difahami dalam konteks yang lebih luas.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, kenyataan yang dibuat Presiden Pas itu tidak harus menjadi isu yang besar dan menjadi polemik kepada pemimpin Barisan Nasional (BN) di negeri itu.

“Saya tidak nampak ia menjadi isu besar, Ustaz Hadi tidak pernah bermaksud menghina orang di Sabah dan Sarawak, apa yang ingin dikatakan ialah orang di Sarawak masih belum terdedah dengan maklumat dan terus mengundi BN,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas saranan kepimpinan BN di Sarawak supaya Presiden Pas meminta maaf kepada kaum Iban susulan kenyataan ketika mengadakan ceramah pada pilihan raya kecil Manek Urai, baru-baru ini.

Pada pilihan raya kecil Batang Ai, April lalu, Abdul Hadi dilaporkan berkata, kekalahan pembangkang disebabkan pengundi yang memakai cawat tidak tahu mengundi dengan betul.

Sehubungan itu, Salahuddin berkata, Abdul Hadi tidak perlu mengendah saranan memohon maaf kerana ia tidak menggambarkan apa yang dimaksudkannya.

Beliau berkata, Pas akan menggerakkan jenteranya lebih aktif dalam masa terdekat bagi memperluaskan pengaruh parti itu di Sabah dan Sarawak.

No comments

Powered by Blogger.