Melayu Cina dan Malaysia Indonesia


JULAI 7 — Prejudis berlaku di mana-mana kerana penyakit ini menyerang tanpa mengira status, kelompok, kaum, bangsa, agama, dan Negara. Seperti wabak H1NI, penyakit jenis ini juga boleh dikawal dari merebak dan seterusnya merosakkan seluruh denyut nadi pemikiran dan otak.

Melalui pengalaman hidup sehingga saat ini, saya sudah melalui dua zaman di mana zaman awal adalah zaman benci membenci dan bersyak prasangka buruk dan sekarang sedang melaui zaman pertengahan di mana sifat keji yang didorong oleh prejudis itu perlahan-lahan hanyut sedikit demi sedikit.

Suatu proses dekonstruk yang mengambil masa, usaha berterusan dan kadang kala dipandang sinis rakan seprejudis.

Perkembangan mutakhir yang berlaku di dalam Negara dan di tetangga serumpun, Indonesia pasti menganggu jiwa insan yang ingin kedamaian. Hampir setiap hari isu hubungan kaum terutama di antara kaum Melayu dan Cina dan kadang kala dengan kaum India diperkatakan dan diulas banyak baik di media arus perdana dan media alternative.

Malangnya di satu sisi wacananya sangat perkauman yang pro kepada satu kaum dan di sisi lain juga tidak banyak bezanya kerana dilihat seolah-olah anti kepada satu kaum, cuma ia kelihatan lebih baik sedikit dari sudut olahan kritikan.

Apa punca masalah?

Jikalau diselidik secara terperinci, kita terpaksa mengakui bahawa punca permasalahan semua ini harus diletakkan kepada bekas penjajah dan parti pemerintah yang telah menerajui Negara selama 52 tahun. Namun persoalannya adakah dengan menyalahkan kedua-duanya kita boleh terus melupakan sengketa dan prejudis yang tertanam sekian lama? Bagi saya solusi dan disusuli tindakan itu yang maha penting, bak kata orang putih. Kita harus ‘move on’ dan bekerja ke arah pembaikan.

Baru-baru ini NGO tempatan, Komas yang terlibat aktif di dalam mengendali bengkel-bengkel tentang isu rasisme telah menghasilkan sebuah filem menyentuh secara langsung isu ini iaitu, Gadoh. Dua tayangan khas yang diadakan di Kolej Universiti HELP telah mendapat sambutan hebat walaupun dari segi publisiti agak terhad, Apa yang sangat mengujakan dan memberi setitik harapan adalah melihat tepukan gemuruh dari para audien dan semasa sesi soal jawab yang jelas mempelihatkan kegembiraan terpancar di wajah semua audien berbilang bangsa dan agama.

Apa yang pasti buat pertama kali isu rasisme diangkat ke dalam medium popular yang menggunakan bahasa kebangsaan dan dapat difahami seluruh rakyat Malaysia. Tidak dapat dinafikan ada usaha-usaha mengangkat tema ini sebelumnya melalui beberapa teater yang diarah oleh pengarah bersama filem ini sendiri, Namron dan karya-karya seni lain yang berkiblat Bahasa Inggeris. Namun hambatan terjadi di sini iaitu isu diangkat secara tidak terus dan menggunakan bahasa yang alien bagi majoriti rakyat yang menjadi subjek.

Selesai menonton, saya bersama-sama teman seperti tidak percaya isu yang sering kami perkatakan di kedai-kedai mamak sudah diangkat menjadi filem dan diwacanakan secara terbuka tanpa rasa curiga dan ingin menjaga rasa sensitiviti tidak bertempat.

Cuma soalnya di sini adakah ia akan tamat di sini sahaja? Jawapannya pasti tidak kerana di luar sana masih banyak manusia Melayu, Cina, India dan seluruhnya yang tidak mengambil peduli isu ini dan suka menerima momok tanpa berfikir. Masih banyak lagi manusia di luar sana yang tidak bercampur dan jika bercampur sekali pun hanya di permukaan sahaja tetapi di dalam masih sama. Usaha untuk penyatuan harus bermula dari diri sendiri dan setiap kaum harus melihat semula kekuatan dan kelemahan masing-masing untuk menyumbang kepada pembaikan Negara tercinta. Apa yang pasti tiada jalan lain untuk maju ke hadapan selain dari memahami sejarah, menolak prejudis, mengakui kelemahan, menacari kekuatan, berhenti tuding menuding dan bekerja keras sesama rakyat . Sudah tiba masanya inisiatif wajib datang dari rakyat tanpa harus menunggu apa yang akan dibuat oleh parti politik kerana kita rakyatlah yang akan menentukan hala tuju mereka.

Serumpun bertelagah

Sedang di bumi Malaysia warga berbeza bangsa & agama saling benci membenci, di Negara jiran Indonesia yang sering dipanggil satu rumpun sedang melancar kempen benci secara halus terhadap Negara kita. Kumpulan ekstrem nasionalis kanan di Indonesia sentiasa menggiatkan kempen dan mengambil pendirian keras terkait beberapa isu yang dianggap menginjak-injakkan maruah dan kedaulatan Negara mereka. Kempen Malingsia yang bermaksud Malaysia pencuri bertebaran di Facebook dan media-media lain. Demonstrasi di hadapan Kedutaan Malaysia di Jakarta yang terhenti seketika kembali semula angkara kes Ambalat dan Manohara.

Jika ditanggapi, punca permasalahan masalah ini hampir sama dengan krisis hubungan kaum yang berlaku di dalam Negara iaitu media dan komunikasi. Media di kedua-dua Negara terutama Indonesia sering mensensasikan isu dan seterusnya memahat prejudis yang sudah tertanam sejak zaman konfrontasi seperti Malaysia negara kurang ajar dan Indoensia Negara miskin dan bodoh. Komunikasi di antara dua rakyat bertelagah sering tidak terjadi dan beberapa teman mahasiswa Malaysia di Universiti Trisakti turut mengakui hakikat ini.

Susah untuk menemui titik tengah apabila kedua-dua pihak bertelagah memilih untuk menyerahkan kepada kerajaan kedua-dua Negara mencari penyelesaian dan rakyat terkontang-kanting. Menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan pastinya akan membodohkan rakyat kerana sering mereka mencari jalan penyelesaian yang bersifat politik berbanding yang bersifat rakyat.

Kunjungan ke Jakarta dan Bandung baru-baru ini atas urusan perniagaan telah membawa saya ke suatu sesi sembang kopi di pejabat penerbit buku di Bandung, Ultimus membincangkan perihal politik Malaysia dan hubungan Malaysia-Indonesia bukan pemerintah. Sessi ini diselenggara teman dari Indonesia yang sudah belajar hampir 5 tahun di Malaysia dan sangat merasa terkesan dengan sikap teman-teman senegaranya yang termakan prejudis secara mentah-mentah. Diskusi santai bersama teman-teman aktivis memperlihatkan jurang maklumat yang cukup besar di antara kedua-dua pihak, apatah lagi di kalangan rakyat biasa.

Menerusi perbualan dengan pemandu teksi, pekerja seks, pedagang tepi jalan dan teman-teman lain mengiyakan lagi hal ini. Bayangkan ada yang menganggap Tengku Temenggong itu seperti Dr. Mahathir dan lebih lucu lagi apabila Kelantan itu dianggap seperti Malaysia walhal ia hanya sebahagian dari negeri atau provinsi jikalau di Indonesia. Banyak lagi kenyataan-kenyataan lucu yang terbit dari mulut rakyat Indonesia kerana penerimaan tanpa soal mereka terhadap apa yang dipapar di media-media mereka.

Hal ini tidak bermakna kita di Malaysia lebih bagus kerana masih ramai di luar sana yang mempunyai banyangan bahawa Negara Indonesia itu seperti yang digambar oleh kolum mingguan di akhbar Mingguan Malaysia walhal realitinya hanya separuh benar. Cuma kita di sini agak bernasib baik kerana kredibiliti media arus perdana sangat buruk lantas ramai yang tidak percaya dan beralih untuk terus terbang ke sana melihat wajah sebenar atau berkomunikasi melalui Facebook.

Walaupun begitu tidak semuanya gelap, usaha beberapa teman dari Indonesia dan Malaysia menghasilkan komuniti Indonesia-Malaysia Damai di Facebook merupakan satu langkah baik dan terpuji. Walaupun mendapat tentangan dari teman-teman senegara, hal itu ditolak tepi demi anak-anak ASEAN kita di masa depan. Dialog dan hubungan tanpa dukungan pemerintah sudah bermula walau masih di dalam skala kecil.

Teman-teman distro dari Bandung dan anak-anak band independent sudah mula membikin kerjasama di antara dua Negara dengan saling eksport mengimport untuk konsumsi anak-anak muda Malaysia & Indonesia. Mereka adalah harapan masa hadapan kerana melihat yang positif dan menolak yang negative. Band popular di Malaysia waktu ini, Hujan telah mengorak langkah awal dengan mengadakan siri jelajah ke Indonesia beberapa bulan lalu atas pertolongan teman-teman dari Indonesia. Siapa sangka inisiatif ini lahir dari anak muda Indonesia sendiri dan jika tiada aral melintang, dikhabarkan akan banyak lagi akan diperkenalkan di sana.

Harapan terletak di tangan anak muda untuk menentukan ke mana hala tuju hubungan kompleks kaum di Malaysia dan di antara dua Negara berjiran. Apa yang pasti batu asas sudah diletak dan terpulang kepada generasi penerus meneruskan kesinambungan.

No comments

Powered by Blogger.