Dr Zakir Naik Diberi Kewarganegaraan Arab Saudi



Dr Zakir Naik Diberi Kewarganegaraan Arab Saudi

RIYADH, 24 Syaaban 1438H, Ahad – Pendakwah Islam terkenal berasal dari India, Dr Zakir Naik diberi kewarganegaraan Arab Saudi oleh Raja Salman, baru-baru ini, lapor portal berita Middle East Monitor.

Portal berkenaan memetik sumber dari Arab memberitahu bahawa Raja Salman telah campur tangan untuk memberi kewarganegaraan kepada Dr Zakir, bagi melindungi beliau daripada ditangkap polis antarabangsa (Interpol), berikutan waran dikeluarkan oleh India atas tuduhan keganasan.

Bulan lalu, mahkamah India mengeluarkan waran tangkap kedua terhadap beliau atas tuduhan berkaitan pembabitan dalam keganasan dan pengubahan wang haram.

Ketika waran tangkap itu dikeluarkan, beliau dilaporkan berada di Malaysia. Sebelum ini, Kuala Lumpur memberi taraf penduduk tetap (PR) kepada beliau sejak lima tahun lalu, bukannya taraf kerakyatan.

Dr Zakir yang berusia 51 tahun meninggalkan India tahun lepas, bagi mengelak ditahan selepas beberapa pelaku keganasan dalam serangan di Dhaka mendakwa mendapat inspirasi daripada beliau.

Media India melaporkan bahawa pihak berkuasa negara itu membatalkan pasportnya bagi memastikan beliau pulang ke India dan meminta Interpol mengeluarkan rawan tangkap terhadapnya.

Portal berkenaan juga melaporkan Dr Zakir kini berpindah ke Arab Saudi.

Pejabat pasport di Mumbai yang tidak menjangka bahawa Arab Saudi akan memberi kewarganegaraan kepada Dr Zakir, telah membatalkan pasportnya, manakala mahkamah khas pula mengeluarkan waran tangkap terhadap beliau. 

Pada 2015, Dr Zakir menjadi salah seorang yang menerima anugerah daripada Yayasan Raja Faizal atas usaha gigihnya mempromosi Islam di seluruh dunia. Hadiah disampaikan oleh Raja Salman. – Agensi

https://www.middleeastmonitor.com/20170519-indian-terror-suspect-granted-saudi-citizenship/?platform=hootsuite

No comments

Powered by Blogger.