PERUTUSAN PRESIDEN PAS SEMPENA BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK 1438H
PERUTUSAN PRESIDEN PAS SEMPENA BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK 1438H
Firman Allah SWT:
﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ﴾ [البقرة: 183]
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa” [Al-Baqarah: 183]
Alhamdulillah, marilah kita perbanyakkan bersyukur kepada Allah yang telah memberi peluang sekali lagi untuk menjadi tetamu Allah di bulan Ramadhan yang penuh kerahmatan dan keampunan. Ada manusia tidak sempat dan tidak menyangka Ramadhan tahun lalu adalah Ramadhan terakhir untuk mereka. Ada manusia diberi peluang tetapi mensia-siakan pula ganjaran Allah.
Allah S.W.T melatih umat Nabi Muhammad S.A.W di bulan Ramadhan supaya mendidik diri mereka dengan sifat-sifat takwa. Pensyariatan puasa ke atas umat Islam untuk memperbaiki diri mereka agar taat kepada perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Walaupun manusia berpeluang untuk menjamah makanan halal dihadapan mereka, tetapi ditahan nafsunya kerana takutkan Allah. Di sinilah manusia dilatih untuk mengawal godaan hawa nafsu dalam perkara halal mahupun perkara haram dan syubuhat.
Amalan yang dikerjakan di bulan Ramadan juga untuk melahirkan rasa syukur seorang hamba kepada Allah S.W.T dengan mendidik ruh, akal dan jasad mereka. Selain digalakkan untuk solat terawih, bacaan al-Quran dan ibadah-ibadah yang lain, kita juga digalakkan untuk bersedekah dengan mengorbankan harta benda dan mensucikannya melalui kefardhuan zakat fitrah. Sepatutnya dibulan inilah umat Islam dididik untuk lebih terkehadapan dalam menjalankan kerja-kerja kebajikan dan membantu mereka yang memerlukan.
Bulan Ramadhan juga bulan Al-Quran. Di dalamnya, banyak menerangkan tentang konsep ketuhanan, ibadah, politik, pendidikan, ekonomi, sosial masyarakat, undang-undang, hal ehwal antarabangsa dan sebagainya.
Kita kena sedar yang kita adalah makhluk dan hamba kepada Tuhan. Islam itu merupakan agama asal kepada kejadian ciptaan manusia dan makhluk di langit dan di bumi. Hanya manusia yang jahil dan bebal sahaja beranggapan teori kewujudan manusia bermula di zaman batu sebagaimana kenyataan yang dibuat oleh ahli-ahli sejarah barat yang jahil dan bebal.
Al-Quran yang diturunkan sudah lengkap bagi keperluan hidup manusia. Sudah cukup kepada umat di akhir zaman ini untuk berpegang teguh dengan al-Quran dan panduan Nabi Muhammad SAW. Jadikanlah Ramadhan bulan untuk kembali kepada suluhan Al-Quran. Selain itu, rebutlah ketika peluang masih ada dengan perbanyakkan bacaan al-Quran, solat sunat, beriktikaf, berdoa, bersedekah dan merapatkan silaturahim sesama umat Islam.
Akhirnya, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak kepada seluruh umat Islam walau di mana jua anda berada. Mudah-mudahan Ramadhan tahun ini menjadi Ramadhan paling terbaik di dalam sejarah hidup kita untuk meraih keampunan dan mencapai darjat taqwa.
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 1 Ramadhan 1438H / 27 Mei 2017M
No comments
Post a Comment