Maut terkena renjatan telefon bimbit
SABTU, 27 MEI 2017 - 4:19PM
Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bh.com.my
MELAKA: Seorang remaja lelaki ditemui mati, dipercayai terkena renjatan elektrik telefon bimbit yang sedang dicas menggunakan pengecas mudah alih di Taman Merbok, Bukit Baru, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 8.10 pagi itu, Syamirul Armizie Adenan, 19, ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di bilik tidur oleh ibunya, Suriah Rahim, 48, dengan kesan kulit melecet pada bahu kiri.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim, berkata kejadian disedari ibunya apabila mangsa tidak membuka pintu bilik selepas diketuk berulang kali.
"Sebaik pintu dibuka menggunakan kunci pendua, mangsa ditemui dalam keadaan terbaring sambil mengenakan fon telinga bersambung pada telefon bimbit dalam keadaan bercas dengan pengecas mudah alih.
"Ibu mangsa yang juga seorang jururawat mendapati kesan melecet pada bahu kiri anaknya manakala pengecas terbabit berada berhampiran.
"Dia cuba menggerakkan anaknya sebelum menyedari mangsa sudah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kamaluddin berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
No comments
Post a Comment