Peguam Negara Diberi Lesen Bertindak Sesuka Hati

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata langkah Mahkamah Rayuan menolak rayuannya seolah-olah memberikan kuasa mutlak kepada Peguam Negara Gani Patail bertindak atas kepentingan peribadinya untuk campurtangan dalam kes liwatnya.

Mahkamah Rayuan menolak permohonan Anwar untuk membatalkan tindakan Peguam Negara mahukan kes itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi dan bukan di Mahkamah Sesyen seperti lazimnya untuk pertuduhan seumpama itu.

Dalam menolak permohonan Anwar, Mahkamah Rayuan mengambil pendirian Gani tidak perlu berpegang kepada arahan Perdana Menteri ketika itu Abdullah Ahmad Badawi, untuk tidak campurtangan dalam kes itu.

"Kita tidak boleh mempertikaikan sama sekali kewibawaan, keikhlasan dan bidang kuasa mutlak Gani Patail sebagai Peguam Negara. Niat dia apa pun kita tidak boleh pertikai.
Susah kita hendak harapkan apa- apa keadilan sekarang." kata Anwar selepas mendengar keputusan Mahkamah Rayuan.

Abdullah sebelum ini telah memberi jaminan Gani tidak akan campurtangan kerana Peguam Negara itu dikatakan terbabit dalam pemalsuan keterangan terhadap Anwar bersabit insiden mata lebam pada tahun 1998.

Menurut akuan bersumpah peguam, Gani juga telah memaksa pihak tertentu memberi keterangan palsu pada perbicaraan Anwar ketika itu.

Antara yang mengesahkan pembabitan Gani dalam memalsukan bukti ialah pegawai kanan polis Datuk Mat Zain Ibrahim selaku pegawai penyiasat kes mata lebam Anwar.

Anwar berkata sukar untuk mempercayai Mahkamah boleh mengambil ketetapan Perdana Menteri tidak mempunyai sebarang pengaruh dalam memutuskan peri laku Peguam Negara.

"Boleh saudara bayangkan, kenyataan Mahkamah Rayuan bahawa perdana menteri tidak ada pengaruh langsung dalam apa- apa pendakwaan. Jaminan Tun Abdullah bahawa Tan Sri

Gani Patail tidak akan terlibat dalam kes ini tidak boleh diterima oleh mahkamah. Samaada Tun Abdullah jahil atau tidak bercakap benar, itu saya tidak tahu." Kata Anwar.

Pendakwaan terhadap Anwar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ditetapkan 8 Julai walaupun laporan Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Pusrawi menunjukkan tidak ada bukti klinikal menunjukkan pengadu Saiful Bukhari Azlan diliwat sebagaimana yang didakwanya.

BERITA LAIN

RAYUAN ANWAR DITOLAK

Mahkamah Rayuan menolak rayuan bersabit permohonan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membatalkan keputusan pemindahan perbicaraan kes liwat beliau dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Panel tiga hakim hari ini menyampaikan keputusan lisan itu , meluluskan permohonan Peguam Negara Gani Patail untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Perbicaraan tersebut akan dimulakan di Mahkamah Tinggi mulai 8 Julai.

Gani, telah membuat permohonan berkenaan walaupun beliau telah diarahkan oleh Perdana Menteri Ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi supaya tidak campurtangan dalam kes itu.

Mahkamah Sesyen sebelum ini menolak permohonan peguam Negara berkenaan mahukan kes itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi namun keputusan itu dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi.

Langkah Mahkamah Rayuan hari ini meluluskan pemindahan kes Anwar ke Mahkamah Tinggi atas permintaan Peguam Negara dilihat sebagai memperakukan campurtangan Gani dalam kes berkenaan.

Pelbagai pihak telah mengecam Gani kerana dikatakan terbabit dalam memalsukan keterangan dan bukti bersabit insiden mata lebam Anwar pada 1998.

Menurut akuan bersumpah peguam, Gani juga telah memaksa pihak tertentu memberi keterangan palsu pada perbicaraan ketika itu.

Antara yang mengesahkan dakwaan pemalsuan bukti terhadap Gani ialah pegawai kanan polis Datuk Mat Zain Ibrahim selaku pegawai penyiasat kes mata lebam Anwar.

Peguam Anwar, Sankara Nair kesal dengan keputusan Mahkamah Rayuan menolak segala bukti dan keterangan bersabit prilaku Gani.

"Saya berharap keputusan hari ini bukan detik permulaan ulangan pengalaman yang ditempuhi oleh Anwar pada perbicaraan1998/99 di mana beliau tewas dalam semua kesnya walaupun mempunyai bukti yang kukuh dan dipenjarakan enam tahun.

Beliau dibebaskan hanya selepas berjaya pada rayuan peringkat akhir.

ANWAR TIDAK TERKEJUT RAYUANNYA DITOLAK

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak terkejut dengan keputusan Mahkamah Rayuan memutuskan kes liwatnya kekal dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mendakwa, jelas jaminan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi bahawa Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail tidak terbabit dalam kes ini tidak diterima mahkamah.

"Saya tak terkejut dengan keputusan ini dan sudah menjangkakannya. Jelas sistem kehakiman tak banyak berubah.

"Jaminan bekas Perdana Menteri bahawa Peguam Negara tidak terbabit dalam kes ini jelas tak diterima mahkamah," katanya ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, petang ini.

Anwar berkata, beliau sudah mengarahkan peguamnya, S N Nair supaya mengkaji semula alasan ringkas penghakiman hari ini bagi menentukan sama ada semakan kehakiman perlu dibuat.

Sementara itu, Nair berkata, masih terlalu awal untuk memutuskan sama ada pihaknya akan membuat semakan penghakiman keputusan Mahkamah Rayuan hari ini.

"Kita akan kaji alasan ringkas kehakiman rayuan hari ini sebelum langkah selanjutnya diambil," katanya.



No comments

Powered by Blogger.