Fitnah=Ujian dan Fitnah=Penganiayaan (Bah. 1)

ustaz ahmad awang


(A) Maksud firman Allah SWT:
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi.
Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesunggguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta.” (Al-Anqabut:2-3)

(B) Maksud firman Allah SWT:
“Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan fitnah kepada orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab Jahannam dan bagi mereka azab (neraka) yang membakar.” (Al-Buruuj:10)


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


Konsep Fitnah Menurut Al-Quran

Al-Quran terdapat 60 ayat yang menyebutkan tentang fitnah yang mengandungi dua iaitu maksud ujian atau cubaan dan satu lagi bermaksud perbuatan penganiayaan seperti penyeksaan, pertuduhan, pembunuhan, mendatangkan bencana dan sebagainya. Membuat tuduhan jahat terhadap seseorang adalah merupakan penganiayaan yang lebih dahsyat daripada pembunuhan seperti yang ditegaskan Allah sebanyak 2 kali dalam Surah Al Baqarah ayat 191 yang bermaksud: “ ...dan fitnah itu lebih besar bahayanya dari pembunuhan...” dan Surah Al Baqarah ayat 217 yang bermaksud: “ ...dan fitnah itu lebih besar dosanya dari pembunuhan...”. Akan tetapi kebanyakan ayat-ayat berkenaan fitnah itu merujuk kepada ujian dan cubaan Allah ke atas orang-orang yang beriman seperti yang dimaksudkan dalam ayat Al-Ankabut di atas.

Al-Quran menegaskan bahawa manusia akan diuji Allah dengan bala bencana, penderitaan dan penindasan dalam mempertahankan keimanan dan kebenaran Islam yang diperjuangkan oleh para Rasul dan golongan orang-orang beriman. Kisah para Rasul dalam Al-Quran menunjukkan bagaimana mereka menerima ujian yang berupa penindasan atau penyeksaan. Mereka berjaya menghadapinya dengan kekuatan iman dan keyakinan atas kebenaran yang diperjuangkan, contohnya Nabi Ibrahim a.s. yang di bakar hidup-hidup oleh Raja Namrud, begitu juga Nabi Musa a.s. yang ditindas oleh Fir’aun. Sejarah Rasulullah s.a.w. penuh dengan ujian yang berupa penindasan dan penyeksaan bahkan baginda berhijrah meninggalkan Makkah selepas menghadapi percubaan kaum Musyrikin Quraish membunuh baginda. Baginda juga diuji dengan harta kekayaan dan pangkat kebesaran yang ditawarkan oleh kaum Musyrikin Quraish Makkah sekiranya baginda bersedia meninggalkan tugas mendakwahkan risalah dakwahnya. Dalam Al-Quran dan As Sunnah terdapat banyak ayat-ayat dan hadis-hadis yang mengingatkan orang-orang yang beriman bahawa harta benda dan pangkat kebesaran merupakan ujian atau fitnah yang sangat besar pengaruhnya.

Namun banyak peristiwa sejarah menunjukkan bahawa menghadapi penderitaan dan penindasan kadang-kadang lebih mudah dari menghadapi ujian kesenangan dan kemewahan. Ada orang yang sanggup beberapa lama menderita menghadapi penindasan dan tekanan dalam mempertahankan prinsip perjuangannya akan tetapi kalah dengan mudahnya apabila ditawarkan pangkat dan kemewahan hidup. Al-Quran berulang tubi mengingatkan bahawa kesenangan dan kemewahan dunia adalah suatu fitnah besar.

Dalam konteks peringatan kepada orang-orang beriman, golongan ulama’ paling keras diberi amaran supaya mereka tidak terpengaruh kepada pangkat dan harta kemewahan kerana golongan ulama’ adalah merupakan pewaris para Nabi. Di tangan mereka terletak amanah penting meneruskan perjuangan para Rasul. Banyak hadis-hadis yang memberi amaran supaya para ulama’ sentiasa berhati-hati apabila mereka bersama dengan para umara’ (Umara’ bermaksud Raja atau Sultan, Presiden, Perdana Menteri dan seumpamanya). Mereka diingatkan dengan keras supaya sentiasa bersikap jujur dan amanah kepada ilmu yang diamanahkan Allah kepada mereka. Mereka hendaklah beristiqamah dalam menegakkan kebenaran dan keadilan. Mereka hendaklah sentiasa berani menyatakan kebenaran dan menolak kebatilan. Jangan sekali-sekali mereka mengkhianati ilmu yang diamanahkan Allah dengan menjualnya dengan harta atau gelaran pangkat kebesaran.

Berkongsi Pengalaman

Berbicara mengenai fitnah ujian harta dan pangkat ini, sekadar untuk berkongsi pengalaman ingin saya mencatatkan beberapa peristiwa yang saya lalui semasa berkhidmat dengan kerajaan selama lebih 25 tahun di beberapa kementerian.

Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar - Semasa berkhidmat di Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar, saya pernah diminta oleh Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar ketika itu (Encik Ghafar Baba) supaya membuat satu kertas kerja untuk dibentang dalam Kongres Ekonomi Islam Ke-2 bertujuan untuk membolehkan pungutan Bahagian Zakat Fakir Miskin di seluruh negara tidak diagihkan kepada mereka, tetapi dilabur dalam suatu Kompleks Kewangan dan hanya akan diagihkan keuntungannya dari modal pungutan zakat itu.

Saya enggan melakukan seperti yang di arah oleh menteri tersebut, kerana saya berpendapat ianya bercanggah dengan hukum Islam mengenai agihan harta zakat. Menurut hukum, pungutan zakat wajib diagihkan kepada penerimanya untuk kegunaan mereka (amwal istihlakih). Akibat keengganan itu saya diberi amaran akan diberhentikan kerja. Saya pernah diberi borang menyertai UMNO beberapa kali oleh setiausaha peribadi menteri berkenaan. Beliau berkata dengan menjadi ahli UMNO saya akan cepat dinaikkan pangkat. Namun saya tetap menolak. Saya katakan kepadanya saya dilantik oleh SPA kerana atas kelayakan saya bukannya kerana saya orang UMNO. Akhirnya Allah SWT memberi jalan keluar apabila saya ditawarkan jawatan pensyarah di UTM (ketika itu dikenal dengan ITK).

Jabatan Perdana Menteri - Paling hebat ujian semasa saya berkhidmat dibahagian Agama Jabatan Perdana Menteri (kini JAKIM). Pada masa pentadbiran Perdana Menteri Hussain Onn dan Dr. Mahathir Mohammad, saya pernah berberapa kali dipanggil kedua-dua Perdana Menteri ke pejabatnya. Hussain Onn pernah mengarahkan saya memberhentikan program kursus kefahaman islam kepada pegawai-pegawai tentera. Ini disebabkan kumpulan pertama yang mengikuti program tersebut ada di antara mereka yang melarang minuman keras di mess pegawai ditempat mereka bertugas bahkan ada yang menggesa supaya penjualan arak di NAAFI (kini PERNAMA) diharamkan. Saya tidak pernah peduli arahan tersebut.

Dr.Mahathir pula pernah mengarahkan supaya kurikulum program kursus-kursus dakwah kepada pegawai-pegawai kerajaan termasuk polis dan tentera diubah. Alasannya kursus yang dilaksanakan di bawah arahan saya itu kononnya menimbulkan masalah kepada kerajaan. Peserta-peserta kursus, kata Dr.Mahathir sering mempertikaikan pentadbiran kerajaan sebagai tidak Islamik, saya tetap bertegas melaksanakan tanggungjawab saya dengan perancangan-perancangan yang telah diluluskan oleh Bahagian Agama JPM. Saya juga pernah berdialog dengan Dr. Mahathir di kediaman beliau di Petaling Jaya dan di pejabatnya. Dr. Mahathir pernah berkata “Ustaz sama sahaja dengan Hassan Ibrahim dan Amir Yaakob (kedua-dua mereka telah di “peti aiskan”). Masing-masing mentafsirkan sendiri segala Peraturan dan Perkhidmatan Kerajaan. Akibat istqamahnya pendirian saya itu ditambah, tambahan pula dengan kejayaan saya melaksanakan program Bulan Dakwah diseluruh negara maka saya menerima notis 24 jam berpindah tugas ke Kementrian Pelajaran.

Kementerian Pelajaran – Menteri Pelajaran ketika itu Dato’ Musa Hitam. Beliau memberitahu, saya ditukarkan ke Kementerian beliau adalah dengan kehendak Dr. Mahathir. Di kementerian berkenaan, saya tidak diberi sebarang tugasan kerja selama kira-kira setahun. Saya ditempatkan di sebuah bilik kalis bunyi (soundproof) bekas bilik rakaman RTM di Bangunan Persekutuan. Dengan kata lain saya di “peti aiskan” bahkan pangkat jawatan saya diturunkan. Hanya selepas Anwar Ibrahim (kini Dato' Seri) menyertai kerajaan UMNO BN dengan jasa baik beliau saya dibebaskan menjalankan tugasan saya.

Dalam suasana sedemikian, saya dipelawa untuk berkhidmat di Sarawak yang ditawarkan oleh Dato' Patinggi Abdul Rahman Yaakob (kini Tun) Ketua Menteri Sarawak ketika itu. Kepada saya ditawarkan ganjaran yang besar yang menjamin kehidupan yang mewah sehingga ke anak cucu, asal sahaja saya bersetuju untuk terus tinggal di Sarawak. Untuk memujuk saya, saya sekeluarga dijemput menjadi tetamu kerajaan Sarawak selama seminggu dengan diberi layanan bertaraf empat bintang kerana pada masa itu belum ada hotel bertaraf lima bintang di Kuching. Namun saya tidak bersetuju menerima tawaran itu kerana saya menyedari jika menerima tawaran tersebut saya akan mudah menjadi alat politik kepada pemimpin Sarawak itu meskipun tugasan saya dalam bidang dakwah. Sekitar masa itu juga saya dipelawa untuk menjawat jawatan Mufti negeri Perak. Yang Dipertua (kini Pengarah) JAIP masa itu Dato' Ahmad Hisham bin Mat Piah (Allahyarham) mempelawa saya untuk menjawat jawatan tersebut. Secara bergurau saya berkata kepada beliau “kalau saya jadi mufti Perak, dalam tempoh sebulan mungkin saya akan meletakkan jawatan ataupun Sultan akan turun tahta”. Jawatan mufti itu kemudiannya diisi oleh Dato’ Haji Ghazali Abdullah (ayahanda kepada YB Dr. Lo’lo MP Titiwangsa).

Kementerian Belia Dan Sukan – Dato' Abdul Samad Idris Menteri Belia dan Sukan ketika itu (pertengahan 1970-an), pernah berdialog dengan saya dengan dihadiri oleh para mufti mengenai cadangan Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan amalan silat Nasrulhaq yang berasal dari Indonesia. Menteri itu tidak berpuas hati apabila dialog tersebut berakhir dengan kegagalan beliau menangkis hujah-hujah saya. Beliau kemudian mengumumkan Kementeriannya akan menubuhkan bahagian agamanya sendiri. Lalu saya dengan tegas mempertikai cadangan beliau. Ekorannya apabila silat itu diharamkan maka ditubuhkan persatuan Nasrulhaq yang didukung oleh Kementerian berkenaan. Abdullah Badawi (kini Tun) yang pada masa itu menjadi Ketua Pengarah Kementrian Belia datang ke pejabat saya berbincang mengenai amalan Nasrulhaq itu. Tetapi saya tetap dengan pendirian saya. Akibatnya selepas itu beberapa tahun Dato' Samad Idris tidak mahu berjumpa saya. Namun selepas kira-kira lebih 10 tahun daripada peristiwa itu, Dato' Samad Idris meminta saya menjadi Pengerusi Panel Syariah Bank Pembangunan dan Infrastruktur Malaysia Berhad, yang pada masa itu beliau menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah.

Demikianlah sebahagiaan pengalaman saya menghadapi fitnah ujian dalam perkhidmatan saya melaksanakan tugas kewajipan selaku seorang pendakwah melalui jawatan dalam perkidmatan kerajaan yang diterajui oleh UMNO/BN. Akibat dari ketegasan dan istiqamah saya memikul amanah ilmu yang dianugerah Allah SWT kepada saya, Saya tidak dinaikkan pangkat dalam jawatan saya, bukan kerana prestasi atau kelayakan saya tetapi hanya saya tidak mahu menjadi “yes man” kepada orang-orang politik yang menyalahguna kuasa mereka dalam pentadbiran. Saya tidak pernah menyesal apabila pegawai-pegawai bawahan saya dinaikkan pangkat lebih tinggi dari saya. Saya juga tidak pernah menyesal apabila saya diketepikan dari kenaikkan pangkat dan dibawa orang luar untuk menjawat jawatan yang lebih tinggi daripada jawatan saya padahal pegawai berkenaan berpangkat lebih rendah dari saya hingga terpaksa di “downgrade” kan pangkat jawatan yang hendak diisinya itu. Saya juga tidak pernah merasa kerugian apabila surat penghargaan atas perkhidmatan saya ditarik balik oleh JPA beberapa hari sebelum saya mengetip kad kedatangan (punch card) hari terakhir perkhidmatan saya sebagai pegawai kerajaan. Memanglah perkara sedemikian itu agak aneh, kerana sepanjang perkhidmatan saya tidak pernah sekali pun dikenakan tindakan tatatertib. (Bersambung…)

http://usahmadawang.blogspot.com/2009/07/fitnahujian-dan-fitnahpenganiayaan-bah.html

No comments

Powered by Blogger.