Perhimpunan Rakyat: Simpati Atau Marah?

Kerajaan Selangor akan mengadakan perhimpunan solidariti “Perhimpunan Rakyat” Ahad ini bagi menuntut keadilan bagi Teoh Beng Hock yang ditemui mati, dipercayai jatuh dari bangunan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam selepas disoal siasat berhubung dakwaan salahguna peruntukan untuk DUN di Selangor.

Perhimpunan tersebut akan diadakan di Stadium Kelana Jaya, Petaling Jaya pada jam 4.30 petang.

Ia akan dihadiri oleh pimpinan Pakatan Rakyat, kata satu kenyataan sekretariat akhbar pejabat Menteri Besar Selangor.

Di bawah ini saya turunkan petikan daripada Malaysiakini tentang pengalaman perit Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Hwa sewaktu disoal siasat pegawai SPRM.

Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Hwa mencerita pengalaman perit yang dilaluinya ketika disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rabu lalu, berhubung dakwaan salahguna peruntukan untuk DUN di Selangor.

Tan disoal siasat oleh SPRM pada hari yang sama dengan Teoh Beng Hock – setiausaha politik exco kerajaan Selangor – yang ditemui mati, dipercayai jatuh dari bangunan pejabat SPRM jam 1.30 petang semalam.

Tan mendakwa, dua pegawai SPRM yang menyoal siasatnya, cuba mendapatkan pengakuan palsu daripadanya, dengan memaksanya menafikan telah membekalkan 1,500 ribu bendera Malaysia bagi satu majlis sambutan hari Kemerderkaan di DUN Sri Kembangan.

Sewaktu sesi soal siasat tersebut, katanya, pegawai berkenaan menggunakan teknik ‘polis baik dan polis jahat’ – pada mulanya bersikap baik tetapi kemudiannya bertindak kasar dan memaksanya berdiri selama empat jam dari pukul 10 malam hingga 2 pagi.

Tan berkata, ada beberapa kali dia diancam dengan keganasan fizikal, di mana seorang pegawai menuding ke dahinya dan didakwanya berkata: “Kami jangan bohong. Saya boleh pukul kami. Percayalah!”.

Sewaktu disoal siasat, katanya, pegawai yang lain masuk ke bilik untuk mempersendakan kelemahannya bercakap dalam bahasa Malaysia dan memanggilnya dengan istilah yang kesat – Cina bodoh – dan bertanya sama ada dia rakyat China.

Yang paling teruk, kata Tan, ialah ancaman terhadap keluarganya yang disifatkannya sebagai satu ‘penderaan mental’.

“Mereka kata, jika saya tidak cakap benar, mereka akan ambil isteri dan tiada siapa yang akan menjaga anak-anak saya. Tetapi saya tidak beralah,” kata Tan dalam satu sidang akhbar di bangunan setiausaha kerajaan negeri hari ini.

(Sumber: Malaysiakini)

Seandainya benar apa yang diceritakan Tan, rakyat Malaysia pastinya terkejut kerana tidak menyangka Badan Pencegahan Rasuah yang dinaikkan statusnya kepada “Suruhanjaya” masih mengamalkan pendekatan “tidak mesra rakyat” dalam penyiasatannya.

Sebelum ini pernah ada mangsa siasatan mendakwa didera dalam sesi soal siasat SPRM.

Ini menunjukkan bahawa pegawai penyiasat SPRM lemah dalam ilmu psikologi kerana gagal mencungkil maklumat yang diperlukan dengan cara yang baik.

Malahan “kekerasan” yang digunakan juga membuktikan bahawa SPRM tidak menekankan pendekatan agama yang terbukti lebih berjaya daripada pendekatan sekular peninggalan penjajah.

Pendekatan jahiliah juga tidak sepatutnya digunakan di sebuah negara Islam seperti Malaysia.

Panel Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Ramon Navaratnam menggesa supaya dikaji semula prosedur soal siasat yang diamalkan SPRM.

Beliau rasa terganggu dan amat kecewa apabila mendapati SPRM menyoal siasat orang hingga awal pagi berikutnya. Teoh disiasat sehingga jam 3.45 pagi.

Ini bukan kem jenayah perang. Tidak bolehkah SPRM menyiasat dalam waktu pejabat, dan sekiranya tidak selesai boleh bersambung keesokan harinya? Siasatan yang panjang boleh menyebabkan orang menjadi separuh gila dan jiwa kacau sehingga menyebabkan hilang pertimbangan waras.

Rakyat sedang menunggu penjelasan. Oleh itu, kerajaan harus telus melakukan penyiasatan sekiranya ingin mengembalikan keyakinan rakyat terhadap SPRM. Datuk Seri Najib Tun Razak baru sahaja mengomel bahawa keyakinan rakyat terhadap BN telah pulih. Jangan kerana nila setitik – kematian Teo – rosak susu sebelanga.

Ingat, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengisytiharkan Malaysia sebuah negara Islam. Jadi, ciri-ciri tidak bermoral seperti kekerasan, kekejaman, kezaliman, paksaan, penderaan mental dan fizikal, ugutan dan lain-lain tidak sepatutnya ada di negara kita.

wangMalaysia!

No comments

Powered by Blogger.