Siapa Kena Conteng: Rosmah, UM atau Mahasiswa?

Kita patut berasa bimbang apabila dua pelajar Universiti Malaya menyambut kedatangan Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri, dengan contengan “C4″, “puaka” dan “Altantuya” di dinding dewan. Wanita Pertama negara itu datang ke Universiti Malaya untuk menutup kempen derma “Power of 10 Sen: Gaza Dibela” bagi anak-anak Palestin di Dewan Utama Akademi Pengajian Islam.

Bimbang kerana perbuatan conteng-conteng dilakukan oleh budak-budak nakal di pondok telefon awam, tandas awam atau perhentian bas awam. Tetapi ini dilakukan di universiti oleh pelajar Akademi Pengajian Islam (API) universiti tertua negara. Bimbang juga kita kerana peribahasa menconteng arang di muka bermaksud membawa malu. Universiti institusi yang patut menjadi kebanggaan bukan untuk menconteng arang di muka sesiapa. Bimbang sesungguhnya apabila pelajar universiti yang sepatutnya menjadi pemimpin bertindak sebagai antipemimpin atau isteri pemimpin. Dan banyak lagi bimbang di hati tetapi tidak terucapkan; bukan sahaja terhadap pelajar, bahkan yang paling membimbangkan ialah terhadap perlakuan sesetengah pemimpin dan isteri mereka yang dilihat menongkah arus.

Akibat conteng-menconteng, pelajar terbabit, Izuddin Hilmi Mohamad Zaini ditahan 7 pagi Rabu lalu, sementara rakannya Mohd Sharuddin Ahmad Rosli pula ditahan Jumaat lalu di Petaling Jaya.

Walau bagaimanapun, kedua-dua pelajar tahun dua Akademi Pengajian Islam itu dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 dan kes mereka akan disebut semula pada 13 julai ini.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat yang menyebabkan kerosakan sekurang-kurangnya RM25.

Mereka juga dituduh di bawah Seksyen 436 kanun yang sama iaitu kesalahan khianat dengan api atau benda letupan dengan niat merosakkan harta benda.

Seksyen 427 membawa hukuman dua tahun penjara, sementara Seksyen 436 mengakibatkan maksimum 20 tahun penjara.

Kesalahan itu juga boleh didenda, jika disabitkan dengan kesalahan.

Ekoran peristiwa itu, dikatakan berlaku beberapa “jenaka” di sekitar Universiti Malaya. Menurut laman Um-Today, jenaka paling menonjol terjelma dalam ucapan Timbalan Naib Canselornya, Prof. Madya Datuk Dr. Azarae Hj. Idris ketika merasmikan beberapa aktiviti peringkat kolej kediaman Universiti.

“Tahun ini, tak ada lagi cheers di DTC (Dewan Tunku Canselor), tapi ayahanda harap anakanda (freshes) sekalian masih ceria. Buatlah apa pun asalkan berfaedah. Cuma satu saja, jangan conteng dinding kolej kediaman pula,” petikan ucapan jenaka di Kolej Kediaman Ke-4 (KK4).

Menurut seorang Pembantu Mahasiswa KK7, Dr. Azarae turut berjenaka dengan isu kontroversi itu di kolejnya kelmarin.

“Berpuluh ribu pelajar nak masuk ke sini (UM), tetapi anakanda sekalian yang terpilih. Jadi, kena belajar cara hidup di universiti seperti mahasiswa universiti. Jangan pula mengambil kerja part-time seperti menconteng dinding atau bakar universiti pula,” petikan lain di KK7.

Jenaka-jenaka menarik tersebut dilaporkan turut diucapkan oleh beberapa pegawai kanan HEPA dan beberapa Pembantu Mahasiswa sentral dalam beberapa mesyuarat penyelarasan bersama Dr. Azarae.

Kata seorang Felo di KK4, sesiapa yang tidak berjenaka isu tersebut dianggap tidak menyokong aspirasi Penggerak Mahasiswa (GERAK), iaitu proksi UMNO di Universiti.

Begitulah laporan yang dipetik daripada um-today.

Dalam perkembangan terkini, dikhabarkan bahawa kumpulan pelajar Islam di empat universiti awam di Lembah Kelang sepakat melancarkan kutipan derma untuk membantu dua kawan mereka itu.

Kempen derma itu melibatkan Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM), PMI Universiti Putra Malaysia (UPM), Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kelab Maaruf Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Manakala Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) berhasrat merayu kepada Naib Canselornya, Prof Datuk Dr. Ghauth Jasmon bagi membolehkan dua pelajar itu dapat menyambung pelajaran apabila semester baru dibuka.

Malang sungguh nasib anak-anak Palestin. Di bumi sendiri mereka dibedil, di bumi orang kempen membela mereka dijadikan medan meluahkan kebencian kepada pemimpin. Seandainya, kehadiran isteri Perdana Menteri ke majlis lain, kesalnya tidak terasa sangat, tetapi beliau hadir kerana anak-anak Palestin di Gaza. “Orang jahat” sekalipun apabila dia datang untuk berbuat baik, kita patut menyambutnya dengan baik.

Bagi kebanyakan orang yang dididik dan dibesarkan dalam kesopanan budaya Timur, ini merupakan perbuatan biadap kerana tidak menghormati, malahan memalukan Wanita Pertama negara. Sekiranya tidak berpuas hati, selaku pelajar universiti (nama timangannya menara gading bukan menara tanduk), mereka sepatutnya menggunakan saluran lain yang lebih bersifat intelektual.

Namun, kerana cengkaman emosi dan kebencian yang terpendam, apa-apa sahaja boleh berlaku.

Universiti memang terkenal sebagai pusat membenihkan “reformasi” dan “demonstrasi” antikerajaan sejak dahulu. Oleh itulah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) terpaksa dipinda beberapa kali sejak tahun 1975, tetapi kesannya masih serupa dahulu. Suara “pemberontakan” masih kedengaran walaupun dalam ruang yang sempit dan tertekan.

AUKU yang ada pada hari ini sebenarnya lebih mencengkam pelajar walaupun disandiwarakan dengan retorik yang menyedapkan telinga bahawa ia telah membuka ruang kebebasan kepada pelajar. Padahal hakikatnya, pelajar masih diikat dan dinafikan haknya. Lantaran kerana penekanan inilah mungkin telah menyebabkan pelajar mudah bertindak mengikut emosi.

Suara pelajar jangan diketepikan. Pemikiran mereka harus ditelusuri kerana itulah pemikiran pemimpain masa depan negara. Walaupun perbuatan menconteng dinding dilakukan oleh dua orang pelajar, namun mesej yang hendak disampaikan tidak boleh dipandang remeh. Kita perlu memberikan perhatian yang luar biasa.

Lazimnya apabila berlaku sesuatu yang “melukakan” kerajaan di universiti, kerajaan akan menuding jari kepada pembangkang. Ini sebenarnya tidak wajar. Walaupun terdapat kes tertentu didapati pembangkang cuba mempengaruhi pelajar, tetapi bukan semuanya begitu. Kita tidak boleh memperlekehkan keupayaan minda mahasiswa. Mereka mampu berfikir sendiri. Walaupun tanpa “petunjuk” daripada pembangkang mereka mampu menilai mana baik dan mana jahat. Kerajaan sepatutnya melakukan muhasabah diri – melihat kembali dasarnya yang dikatakan membela rakyat itu betul atau sebaliknya.

Dalam kes dua pelajar menconteng dinding dewan universiti kerana mereka mengaitkan Rosmah Mansor dengan kes pembunuhan Altantuya. Sebelum ini cuma penulis blog yang mengaitkan isteri PM dengan peletupan Altantuya, tetapi kali ini pelajar universiti. Sedikit masa lagi, sekiranya tiada usaha yang bersungguh-sungguh oleh PM dan isterinya, barangkali orang awam pula akan menconteng pondok telefon awam dengan perkataan yang sama.

Memandangkan terdapat beberapa kumpulan pelajar bersedia mengutip derma untuk membiayai kos mahkamah dua orang kawan mereka, maka tahulah kita bahawa “contengan” itu secara tersiratnya bukan dilakukan oleh dua orang. Malahan, mungkin lebih ramai daripada yang kita jangka. Inilah yang saya katakan kita patut berasa bimbang.

Dan akhir sekali, dari sudut lain, siapakah sebenarnya yang “kena conteng” dan mendapat aib – Rosmah Mansor, Universiti Malaya atau mahasiswanya?

No comments

Powered by Blogger.