ayuh bangun mahasiswa...bermulanya kebangkitan apabila mahasiswa ditindas!

Kumpulan pelajar Islam di empat universiti awam utama di Lembah Kelang sepakat melancarkan kutipan derma untuk membantu dua pelajar Universiti Malaya (UM) yang dihadapkan ke mahakamah atas tuduhan menconteng, cubaan membakar dan menceroboh dewan.

Selain Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) yang akan mengutip dana mulai minggu depan apabila semester baru dibuka, kempen itu turut disertai PMI Universiti Putra Malaysia (UPM), Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kelab Maaruf Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Kumpulan pelajar Islam UKM dan UPM akan mengutip derma minggu depan, manakala di UIA kempen tersebut bermula kelmarin, sehari selepas dua pelajar Akademi Pengajian Islam (API) UM dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

mohd aizat mohd salehNaib Presiden PMIUM Mohd Aizat Mohd Salleh berkata, pihaknya akan memulakan kutipan derma itu dari kalangan ahlinya bagi membantu membiayai kos guaman kedua-dua pelajar terbabit.

"PMIUM mempunyai kira-kira 1,000 orang ahli," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Mohd Aizat, yang juga exco kerohanian Majlis Perwakilan Mahasiswa UM (MPMUM), berkata kutipan derma itu dijangka diperluaskan kepada semua pelajar univerisiti tersebut yang bersimpati.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya belum membincangkan kaedah dan pelaksanaan kutipan tersebut.

Menurut Presiden PMIUPM Safwan Abdul Ghani, kutipan derma tersebut akan dimulakan dengan kira-kira 150 ahlinya sebelum diperluaskan kepada pelajar seluruh fakulti dan kolej kediaman.

Mohd Idris Bin Mohd YussoffDihubungi Malaysiakini hari ini, Presiden ISIUKM Mohd Idris Mohd Yussoff berkata kutipan tersebut dimulakan di kalangan kira-kira 800 ahlinya.

Mohd Idris, pelajar Fakulti Pengajian Islam, tidak menolak kemungkinan untuk menyertai perhimpunan membantah sekiranya kedua-dua mahasiswa "dizalimi".

gmma committee pc 250608 faridzul nasarudinSelain sokongan dana, kata Presiden Kelab Maaruf UIA Faridzul Nasaruddin, pihaknya akan membantu menyebarkan maklumat kepada pelajar UIA berhubung kes tersebut.

ISIUKM dan Kelab Maaruf bagaimanapun belum memutuskan untuk mengutip derma ke seluruh universiti masing-masing.

Mohd Izzuddin Hilmi dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli - kedua-duanya pelajar API - dituduh mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat yang menyebabkan kerosakan sekurang-kurangnya RM25.

Kedua-duanya juga dituduh bawah Seksyen 436 kanun yang sama iaitu kesalahan khianat dengan api atau benda letupan dengan niat merosakkan harta benda.

Seksyen 427 membawa hukuman dua tahun penjara, sementara Seksyen 436 mengakibatkan maksimum 20 tahun penjara.

Kesalahan itu juga boleh didenda, jika disabitkan.

Mereka didakwa menconteng dinding dewan tersebut, selain menyimbah petrol di permaidani dan dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000.

Kes mereka akan disebut semula pada 13 Julai ini.

No comments

Powered by Blogger.