Ulasan Berita Hari Ini:Chua Masuk PKR, Kerajaan Selangor Sasaran Kedua

Datuk Seri Chua Jui Meng, bekas Menteri Kesihatan, mengumumkan keluar dari MCA dan menyertai PKR di satu majlis anjuran PKR.

Chua sebelum ini telah melepaskan jawatan Ketua MCA Bahagian Bakri. Kira-kira 800 hadirin di majlis itu bertepuk tangan ketika Chua dan Anwar melangkah masuk ke dewan pada jam 3.30 petang. David Yeoh, bekas Senator MCA turut menyertai Chua.

Ini tindakan berani pemimpin Barisan Nasional (BN). Pemimpin yang penakut tidak akan melakukannya kerana risikonya tinggi. Sejarah membuktikan bahawa pemimpin yang meninggalkan BN, untuk menyertai parti lain akan dikenakan “hukuman” susulan. Manakala “kedudukan istimewa” dan “kekebalan” yang dinikmati semasa berada dalam BN tercabut secara automatik.

Pegawai SPRM akan berkunjung ke rumah kalau-kalau pernah menyonglap duit rakyat. Pegawai bank akan selongkar fail seandainya ada hutang lapuk tertangguh. Malah pelbagai cara digunakan untuk menjadikan pemimpin “berpaling tadah” itu tidak tidur malam.

Pemimpin yang tidak cukup tabah, akan berpatah balik setelah beberapa waktu berada di luar BN. Lagipun bukan senang cari makan di luar BN. Jawatan sampingan yang pernah disandang seperti penasihat, atau pengerusi syarikat tidak usah bermimpi lagi. Segala kemudahan hidup dirampas.

Oleh sebab itulah tidak ramai pemimpin BN yang sanggup menyertai parti pembangkang walaupun hati telah muak dengan BN.

Kemasukan Chua ke dalam PKR menambahkan kekuatan parti tersebut selepas kemasukan Zaib Ibrahim. Chua akan membocorkan dua rahsia besar BN, iaitu rasuah di Pelabuhan Kelang dan konspirasi menjatuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak.

MCA pati panas buntut kerana isu Pelabuhan Kelang yang menghaibkan berbilion ringgit duit rakyat dikatakan melibatkan pemimpin MCA. Manakala isu merampas kuasa di Perak pula melibatkan pucuk pimpinan UMNO. Nampaknya, banyak rahsia Bn akan terbogkar dan terselongkar. Ini amat dialu-alukan oleh rakyat.

Walau bagaimanapun, Pakatan Rakyat, terutamanya PKR tidak usah lalai dengan kemasukan pemimpin BN. Selepas Perak, dikatakan Selangor pula akan menjadi sasaran BN. Kajian menunjukkan bahawa rakyat begitu senang dan selesa dengan dasar kerajaan Selangor, tetapi musuh mereka sedang berusaha keras siang dan malam untuk menjatuhkan mereka.

Siasatan ke atas tujuh ADUN keturunan Cina dari DAP dan PKR oleh pegawai SPRM ada kaitan dengan usaha ini. Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak tumbang ekoran dua ADUNnya yang disiasat oleh SPRM bertindak keluar parti untuk jadi wakil bebas yang proBN. Jadi, tidak mustahil seandainya Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor juga akan menerima nasib yang sama.

Jadi, waspadalah pemimpin Selangor. Musuh sedang menggunakan pelbagai tipu helah untuk menumbangkan kuasa rakyat. Dengan DAP dan PKR mereka menggunakan pendekatan yang keras – mendesak, memaksa, menuduh dan menyiasat. Manakala dengan PAS mereka menggunakan pendekatan lembut seperti penyatuan Melayu, perpaduan ummah, kebangkitan Islam dan sebagainya. Pokoknya, mereka mahu memecahbelahkan Pakatan Rakyat (pakatan yang dibina oleh rakyat untuk rakyat) dan kemudian menjatuhkan kerajaan yang dikuasainya satu persatu.

Oleh itu, Pakatan Rakyat seharusnya tidak melengahkan masa memberikan penerangan kepada rakyat tentang pelbagai isu yang berbangkit yang dicetuskan oleh musuh mereka. Rakyat mesti diberitahu perkara sebenar sebelum mereka tersalah faham.

Akhir sekali, penyertaan Chua Jui Meng ke dalam PKR bakal membongkar pelbagai rahsia BN yang pastinya memberi keuntungan politik kepada Pakatan Rakyat. Namun, BN, terutamanya MCA tidak akan berdiam diri. Mereka akan mendesak pucuk pimpinan BN melakukan sesuatu. “Sesuatu” itulah yang bakal menambahkan kerancakan politik tanah air.

Apapun kemelutnya, asalkan jangan jadi seperti perumpamaan, dua ekor gajah berlawan, pelanduk mati di tengah-tengah sudahlah!

1malaysia

No comments

Powered by Blogger.