YB Sesat Perjuangan

SHAH ALAM 8 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan menuntut kerajaan supaya memberikan taraf bumiputera kepada bukan Melayu di negara ini.

Tuntutan itu dibuat kerana beliau mendakwa kaum bukan Melayu seolah-olah diasingkan sebagai warga negara termasuk hak-hak mereka dalam perkara tertentu.

Malah, tuntutan itu katanya akan merealisasikan konsep ‘1Malaysia’ yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya minta Perdana Menteri memberikan status bumiputera kepada kaum bukan Melayu yang lahir selepas 31 Ogos 1957.

“Dengan memberikan status yang sama seperti orang Melayu, ia dilihat dapat mewujudkan kesamarataan hak dan keadilan di kalangan rakyat di negara ini,” katanya ketika selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini. – (Utusan Malaysia)

Kelakar saya apabila membaca berita di atas. YB Pakatan Rakyat merayu kerajaan memberikan status Bumiputera kepada orang bukan Melayu yang lahir selepas merdeka.

Apakah istimewanya Bumiputera? Penduduk Malaysia lebih kurang 27 juta. Bumiputera mungkin melebihi 15 juta. Dalam 15 juta itu semuanya kaya raya dan senang lenang? Ramai Bumiputera yang merempat, tercicir, dan terpinggir dari pembangunan. Kalau tidak percaya, pergilah merayau di kampung-kampung Bumiputera dan lihat keadaan mereka. Kedudukan istimewa Bumiputera hanya dalam Perlembagaan Persekutuan. Sedangkan dalam dunia nyata, kehidupan Bumiputera tidak ada bezanya dengan bukan Bumiputera. Bumiputera atau bukan Bumiputera umpama pakaian yang tidak akan mengubah nasib pemakainya.

Pepatah ada menyebut “Usaha Tangga Kejayaan” bukannya “Bumiputera Tangga Kejayaan” jelas menggambarkan realiti kehidupan manusia. Kalau mahu berjaya mesti berusaha keras bukan merayu kepada PM mengiktiraf bukan Melayu sebagai Bumiputera.

Rayuan ini telah lama saya dengar, tetapi daripada mulut orang biasa. Oleh sebab mereka orang biasa, saya tidak boleh menuduh mereka terpesong daripada perjuangan. Orang biasa tiada agenda perjuangan seperti orang politik. Orang politik Pakatan Rakyat pula mempunyai agenda perjuangan yang lebih agung iaitu “keadilan untuk semua rakyat”.

Ini perjuangan rakyat – keadilan untuk semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Malaysia bumi anak semua kaum. Kita pewaris bumi tercinta ini. Jadi, apa gunanya bertukar kepada Bumiputera kalau ia sekadar nama?

Apakah menjadi Abdullah lebih baik daripada menjadi Ananda, atau Goh Tong? Apakah kehidupan Abdullah lebih bahagia, terjamin, aman dan selesa daripada Ananda atau Goh Tong dalam negara yang mengamalkan rasuah dan kroni? Saya perkatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan dengan dasar kerajaan persekutuan dan realiti kehidupan tidak sama.

Sekarang ramai orang Melayu membenci kerajaan kerana mereka tidak mendapat layanan yang adil. PRU 2008 adalah bukti bahawa Melayu menolak UMNO. Melayu itu Bumiputera. Kalau Bumiputera dilayan dengan adil dan saksama, kenapa Melayu merungut mereka ditindas dan dizalimi? Dan dalam masa yang sama, terdapat orang bukan Melayu yang berterima kasih kepada kerajaan kerana melayan mereka dengan baik dan adil. Jadi, persoalannya kini bukan soal Bumiputera atau bukan Bumiputera, tetapi soal sikap mementingkan diri, keluarga, kroni, kabel dan puak.

M Manoharan orang politik. Beliau sepatutnya lebih faham hal ini. Jangan gelabah. Jangan mudah hilang punca. Perjuangan rakyat ialah “keadilan untuk semua rakyat” warga Malaysia. Segala penindasan dan kezaliman dihapuskan. Kongsi kekayaan negara dengan bijak dan saksama. Berikan peluang politik, ekonomi dan sosial kepada semua orang tanpa sekatan gender, keturunan, kaum atau anutan agama. Inilah inti perjuangan rakyat. M Manoharan mesti faham semua ini.

Apabila semua rakyat diberikan keadilan dan kesamarataan, maka dengan sendiri dasar yang mengasingkan Bumiputera dan bukan Bumiputera akan terhapus.

Bumiputera ada nilai kerana dasar pemerintah yang sengaja “membezakan” Bumiputera dan bukan Bumiputera untuk kepentingan politik. Dan seandainya semua rakyat diberikan status Bumiputera, berapakah nilai Bumiputera yang masih ada?

No comments

Powered by Blogger.