PDRM pantau Zakir Naik



PENDAKWAH antarabangsa, Dr Zakir Naik. - Foto Hazreen Mohamad

Oleh Nor Azizah Mokhtar

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memantau pergerakan Dr Zakir Naik dalam memastikan penceramah bebas itu tidak melakukan sebarang perkara yang mampu menjejaskan ketenteraman dan keselamatan negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, buat masa ini pihaknya hanya memantau tindakan dan pergerakan penceramah itu dan jika wujud sebarang elemen yang mampu menggugat keselamatan, maka tindakan sewajarnya akan dibuat.

"Setakat ini tiada laporan atau permohonan rasmi dibuat terhadap Zakir untuk kita mengambil tindakan terhadap pendakwah berkenaan termasuk permohonan ektradisi oleh pemerintah India.

"Semua orang bebas berada dalam negara ini melainkan mereka terbabit dalam apa-apa jenayah barulah polis akan mengambil tindakan mengikut undang-undang yang ditetapkan," katanya.

Mohamad Fuzi berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Unit Tindak Khas (UTK) di Pasukan Gerakan Am, Briged Tengah Cheras di sini, hari ini.

Rabu lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Zakir yang diberi taraf pemastautin tetap (PR) setakat ini tidak pernah terbabit dengan sebarang aktiviti keganasan atau perkara yang menyalahi undang-undang di negara ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri memberitahu, kerajaan sentiasa memantau aktiviti pendakwah berkenaan walau di mana dia berada.

Zakir meninggalkan India pada 2016 selepas didakwa terbabit dengan kegiatan serangan pengganas di Dhaka selain pengubahan wang haram.

Kerajaan India membatalkan pasport Zakir setelah beliau banyak kali mengabaikan permintaan untuk hadir ke Badan Penyiasatan Kebangsaan India (NIA) bagi membantu siasatan.

No comments

Powered by Blogger.