KHABIB Nurmagomedov akhirnya buka mulut dan menjelaskan punca beliau melompat keluar dari gelanggang dan meluru ke arah penyokong Conor McGregor dalam aksi seni bela diri campuran (MMA), Ultimate Fighting Championship (UFC) di Las Vegas baru-baru ini.

Khabib berkata, beliau bertindak sedemikian kerana tidak tahan dengan provokasi keterlaluan McGregor dan kemnya yang menyentuh soal agama, negara dan keluarganya.

"Terlebih dahulu, saya ingin meminta maaf kepada Nevada Athletic Commision dan Vegas kerana tindakan tersebut. Saya tahu ini bukan sisi-sisi terbaik saya kerana saya hanya manusia biasa.

"Sejujurnya, saya tidak faham kenapa ramai mempersoalkan tindakan saya keluar dari gelanggang dan bertindak sedemikian sedangkan semua tahu bahawa McGregor bersikap lebih keterlaluan apabila menghina agama, negara dan bapa saya.

"McGregor juga bersikap biadap apabila menyerang bas yang saya naiki di Brooklyn dan hampir membunuh beberapa orang. Bagaimana dengan tindakan itu? Kenapa orang hanya bercakap mengenai saya terjun dari gelanggang?," soalnya.

Jelas Khabib provokasi dan perang yang dilakukan McGregor telah melampaui batas. Oleh sebab itu, beliau terpaksa bertindak sedemikian bagi memberi mesej penting terhadap sukan MMA ini.

"Sukan ini penuh dengan penghormatan. Tidak wajar ia dicemari dengan provokasi melampau dengan menyentuh perkara-perkara sensitif. Saya mahu mengubah perkara ini agar tidak ada lagi orang yang akan menyentuh soal agama, negara dan keluarga," katanya lagi.

Dalam aksi yang ditunggu-tunggu peminat MMA seluruh dunia itu, Khabib mudah menewaskan McGregor dengan mengunci leher lawannya itu hingga membuatkan McGregor terpaksa menyerah kalah di pusingan keempat, sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 27 perlawanan dan kejuaraan Lightweight.

Bagaimanapun, kontroversi tercetus selepas itu apabila Khabib terus melompat keluar dari gelanggang dan meluru ke arah kem McGregor sebelum berlaku pergelutan yang terpaksa dileraikan pegawai keselamatan.

Khabib dan pasukannya segera dibawa keluar dari gelanggang apabila penyokong McGregor mula bertindak menyimbah arak kepada Khabib yang beragama Islam.