Tok Pa sertai BERSATU [Proses Penyucian]

KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Jeli, Datuk Mustapa Mohamed berkata, keputusan memilih menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) lantaran yakin ia memberi peluang kepada dirinya memainkan peranan lebih berkesan membela kepentingan pengundi di Jeli dan rakyat Kelantan secara keseluruhannya.

Katanya, beliau menyokong usaha Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memberi penekanan terhadap integriti dan ketelusan ke arah mewujudkan tadbir urus yang lebih baik dalam kerajaan dan parti politik.

"Saya menyokong langkah sedang diambil untuk mengukuhkan kedudukan kewangan negara yang disifatkan sebagai amat penting bagi meletakkan asas kukuh dalam memastikan ekonomi negara dibangunkan secara lestari.


"Insya Allah, saya berharap dapat turut sama membantu usaha BERSATU selaku parti komponen kerajaan dalam melaksanakan agenda pemerkasaan Bumiputera, di samping menjayakan pelan pembangunan ekonomi yang lebih inklusif untuk manfaat rakyat dan reformasi institusi untuk mewujudkan masa hadapan yang lebih cerah bagi Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Mustapa mengumumkan keluar UMNO, 18 September lalu.

Katanya, beliau mengambil keputusan untuk menyertai BERSATU selepas menjadi Ahli Parlimen Bebas dan meneliti perkembangan politik semasa.

Dalam kenyataan itu, Mustapha turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Pengerusi BERSATU, Dr Mahathir, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kepimpinan parti berkenaan kerana menerima penyertaan beliau itu.

Beliau sebelum ini mengumumkan keluar UMNO dalam satu kenyataan bertarikh 18 September berkuatkuasa serta-merta selepas lebih 40 tahun berkhidmat dalam parti itu.

Mustapa turut meletak jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Sementara itu, mengulas penyertaan Mustapa, Dr Mahathir berkata penyertaannya dibuat secara sukarela dan bukan atas jemputan parti.

"Saya amat sukacita kerana kita terima keahlian dari bekas tokoh UMNO. Kita telah beri masa kepadanya untuk jadi anggota Parlimen bebas dan setelah kita lihat pendiriannya maka kita setuju beliau layak jadi anggota BERSATU," katanya.

PROFIL

* Dilahirkan - di Bachok, Kelantan pada 25 September 1950.

* Pendidikan awal - di Sekolah Inggeris Bachok pada 1957 dan Sekolah Menengah Sains Sultan Mohammad Jiwa pada 1963.

* Menamatkan pengajian - di Maktab Sultan Ismail, Jalan Telipot, Kota Bharu pada 1969 sebelum menyambung pengajian dalam bidang Ekonomi di University of Melbourne, Australia pada 1973.

* Memperoleh Ijazah Sarjana Pembangunan Ekonomi - pada 1982 dari Boston University, Amerika Syarikat.

* Pembabitan dalam UMNO bermula - pada 1988 ketika menyandang jawatan Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

* Dipilih wakil rakyat - selepas memenangi kerusi Parlimen Jeli menerusi Pilihan Raya Kesembilan pada 1995.

* Dilantik Menteri Pembangunan Usahawan - pada Mei 1995, sebelum Menteri Kewangan II pada September 1998.

* Bekas Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) - sebelum menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

* Pernah menyandang portfolio - Menteri Pengajian Tinggi, Menteri Kewangan II serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia.

* Selain menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO - beliau pernah dilantik Ketua Penerangan UMNO pada 2000 sebelum diberikan tugas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan serta Pengerusi Barisan Nasional Kelantan dari 2000 hingga 2004.

No comments

Powered by Blogger.