Dulu kan polis mengertak perhimpunan 'Mansuh PPSMI'?

Written by Faisal Mustaffa

Akhirnya atas desakan rakyat dan usaha berterusan rakyat, kerajaan tunduk dan membuat keputusan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Persoalan sekarang ialah pihak kerajaan khususnya Ketua Polis Negara (IGP) haruslah bertanggungjawab akibat tindakan polis pada hari perarakan Mac 7, 2009. Atas dasar apa kerajaan perlu mengerahkan anggota polis dalam angka yang besar serta menembak gas pemedih mata ke arah orangramai yang berhimpun hari itu?

Pampasan harus diberikan atas usaha mereka [penyokong Gerakan Mansuhkan PPSMI ataupun GMP] yang gigih sehingga matlamat perarakan mereka pada bulan Mac lalu kini mencapai matlamat.

Seperti yang kita sedia maklum, anggota polis, trafik dan FRU hanya ‘menurut perintah’. Soalannya, siapa yang mengeluarkan perintah? Sudah semestinya bukan Yang DiPertuan Agong kerana Agong pada dasarnya tidak mempunyai halangan dan sedia menerima memorandum GMP itu.

Sekurang-kurangnya, IGP sekarang ini harus bertindak jantan dengan mengemukakan surat terbuka memohon maaf kepada rakyat Malaysia, terutama sekali kepada GMP, serta ucapan tahniah atas usaha murni mereka.

Peristiwa Mac 7, 2009

Pada tarikh tersebut, GMP telah berjaya mengumpulkan ribuan rakyat dengan berpakian putih dengan bersemangat mahu mengiringi penyerahan memo tersebut sungguhpun kehadiran polis dengan segala peralatan ‘perang’ mereka.

Pada mulanya polis enggan mengeluarkan permit perhimpunan. Polis juga memberi amaran berkali-kali agar rakyat tidak menyertai perhimpunan 'haram'.

Kemudian, pihak polis telah membenarkan perhimpunan membantah PPSMI tetapi permit diluluskan untuk perhimpunan di Masjid Negara sahaja dan tidak di dua lokasi yang lain iaitu Pasar Seni dan pusat membeli-belah Sogo. Malah perarakan dari Masjid Negara ke Istana Negara bagi menyampaikan memo juga tidak dibenarkan.

Pada seawal 9 pagi lagi, polis sudah berkawal dan mengadakan 16 sekatan jalan seperti di Pasar raya Sogo, Masjid Negara, Pasar Seni, Istana Negara, Jalan Brickfields, Jalan Kuching, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Sungai Ramal, Kajang dan lain-lain.

Pada jam 1 tengah hari, selepas penyokong anti-PPSMI menjadi semakin ramai, kelihatan helikopter polis berlegar-legar di udara bagi mengira jumlah, lokasi serta arah aliran penyokong demo.

Pada kira-kira jam 2 petang, sewaktu perarakan hendak dimulakan, polis telah bertindak mengepung Masjid Negara bagi menghalang penyokong-penyokong seramai 8,000 yang berkumpul di dalam kawasan masjid berarak ke Istana Negara.

Hampir kesemua berpakaian baju-T putih dengan tulisan merah 'Mansuhkan PPSMI', 'Daulatkan Bahasa Kebangsaan', 'Selamatkan Bahasa Ibunda', 'Tingkatkan Pengajian Bahasa Inggeris di Sekolah'. Mereka bergerak melalui Jalan Kinabalu dan di bulatan bergerak ke Jalan Kampung Attap dan Jalan Syed Putra dan menuju Istana Negara yang terletak di Jalan Istana.

Kemudian, trak merah FRU dan lori meriam air bergerak dari Taman Tasik Perdana mengikut Jalan Tun Sambanthan ke Jalan Syed Putra dan menghalang orang ramai di lebuhraya Mahameru.

Ketua polis memberi amaran kepada orang ramai jangan mendekati kawasan Istana Negara.

Polis mula bertindak ganas pada jam 2.40 petang ketika anggota FRU yang berbaris di lebuhraya Mahameru melepaskan 10 tembakan gas pemedih mata. FRU juga telah melepaskan tembakan di luar Masjid Negara. Seramai 124 orang telah ditangkap di pelbagai lokasi.

Bantahan susulan

Cuba bandingkan. Penjajah British dalam tahun 1940-an pun sanggup membenarkan perhimpunan damai membantah Malayan Union, tetapi kerajaan kita ini tidak.

Perhimpunan tersebut yang dipanggil Perarakan Keranda Mac 2009 merupakan perarakan aktivis bahasa dan rakyat Malaysia yang antara lain mahu PPSMI dimansuhkan. Perarakan ini menyerupai matlamat perarakan Keranda 152* yang diadakan pada tahun 1967. Perarakan ini diadakan kerana mahu mengembalikan kedudukan Bahasa Melayu ke tempat yang sewajarnya dalam sistem pendidikan negara Malaysia.

Apabila dilihatkan sambutan rakyat membuak-buak, pihak kerajaan tidak mempunyai alasan lain. Menteri Pelajaran ketika itu Hishamuddin Hussein kesal dengan perhimpunan anti-PPSMI tersebut kerana PPSMI telah dilaksanakan selama enam tahun tanpa gangguan. Beliau juga mendakwa pembangkang menjadi dalang yang mempengaruhi pejuang dan pencinta bahasa ini. Kementerian Pelajaran tidak akan berganjak serta merta tetapi mengikut proses, katanya.

Menurut Hishamuddin, kementeriannya tidak boleh dipersalahkan kerana PPSMI merupakan keputusan beberapa kementerian dan jemaah menteri.

Aura anti-PPSMI juga telah menular di luar ibukota Kuala Lumpur dan mobilisasi di Johor pada Jun 20 mendapat tekanan dari pihak berkuasa sehingga lapan anggota Dewan Pemuda PAS Johor ditahan polis ketika mengedarkan risalah. Alasan mereka ditahan ialah kerana mengedarkan risalah yang tidak mempunyai nama pencetak dan penerbitnya.

Menjelang 2012, apapun boleh terjadi

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Muhyiddin Yassin akhirnya pada Julai 8 mengakui data yang dikumpul menunjukkan bahawa dasar PPSMI gagal sama sekali meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.

Perbelanjaan dalam pelaksanaan PPSMI melebihi RM4 billion, manakala penguasaan bahasa Inggeris pelajar hanya naik tidak sampai 3%. Beliau juga memberitahu mengenai dapatan Kajian Antarabangsa TIMSS 2077 mengenai Pencapaian Matematik dan Sains Pelajar Gred 8 [Tingkatan 2 di Malaysia]. Kedudukan Malaysia yang menjunam ke tangga ke-20 berbanding tangga ke-10 pada tahun 2003 bagi bidang Matematik, dan jatuh ke tangga ke-21 berbanding ke-20 dalam Sains amat membimbangkan.

Sungguhpun desakan dari pelbagai kumpulan termasuk pendidik Cina Dong Jiao Zhong yang mendokong pembelajaran dalam bahasa ibunda, dasar yang dicadangkan oleh bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2003 itu masih dilaksanakan. Kerajaan hanya mengambil masa enam bulan sahaja bagi pelaksanaan tersebut.

Ianya dicetuskan tanpa kajian yang menyeluruh dari pihak kerajaan terutama sekali dari Menteri Pelajaran ditugaskan menjayakan PPSMI, iaitu Musa Mohamad dan Hishamuddin.

Timbalan Perdana Menteri minggu lalu hanya melakukan pengumuman penangguhan PPSMI. Melalui jangkamasa dua setengah tahun, Muhyiddin akan menerima pelbagai tekanan; dari bekas Perdana Menteri, dari pengusaha buku teks yang telah selesa mendapat projek penerbitan dan percetakan buku baru, pengedar komputer, perisian ICT dan sebagainya.

Namun, kita tidak harus berasa selesa dengan keputusan yang diumumkan oleh Muhyiddin kerana pemansuhan tersebut hanya berkuatkuasa pada tahun 2012. Tengoklah nanti.


Nota pengarang:

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan memaktubkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

No comments

Powered by Blogger.