Edisi sulung Suara Perkasa garang, gesa Ka Siong ditahan ISA

Oleh Boo Su-Lyn
June 30, 2010

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Edisi sulung Suara Perkasa, akhbar Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), akan muncul “garang” esok dengan tajuk “Tahan Ka Siong di bawah ISA” – laporan yang merujuk kepada Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong yang menjadi sasaran kecaman NGO itu minggu lalu.

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali sebelum ini memanggil Wee “biadap” dan menuduh beliau mempersoalkan kontrak sosial, yang menyebabkan pertengkaran antara dua pemimpin berkenaan.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin juga terlibat dalam pertengkaran itu dengan melabelkan Ibrahim “gedebe politik”, pertikaman lidah yang berpanjangan dengan Ibrahim mendesak beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Rembau kerana mempertahankan Wee.

“Perkasa mahu kerajaan menahan Wee Ka Siong di bawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri),” kata Timbalan Presiden Perkasa Datuk Abdul Rahman Abu Bakar ketika memperkenalkan edisi sulung “Suara Perkasa” kepada wartawan hari ini.

“Wee Ka Siong tidak boleh kata Mara (biasiswa) perlu dikurangkan... beliau menentang Perlembagaan Persekutuan,” kata Naib Presiden Perkasa, Dr Zubir Harun hari ini.

Wee sebelum ini dilaporkan meminta supaya program biasiswa Mara kepada pelajar Bumiputera perlu dimasuhkan bersama dengan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Jika kerajaan hanya mahu memansuhkan biasiswa (JPA) tetapi mengekalkan biasiswa Mara, ini tidak selari dengan konsep 1Malaysia yang dipromosikan kerajaan,” katanya.

“Wee membuat kenyataan itu sebagai respons kepada keputusan kerajaan yang mahu memansuhkan sebanyak 1,500 biasiswa JPA. Timbalan Menteri Pelajaran itu terlepas daripada tuduhan kerana mempersoalkan kedudukan istimewa orang Melayu.

“Isu biasiswa mempunyai kaitan dengan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera,” kata Abdul Rahman dalam artikel itu.

“Oleh itu, ia menyentuh Artikel 153 Perlembagaan Negara, yang mana Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab dalam hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera termasuk biasiswa,” kata beliau.

Wee harus ditahan di bawah ISA kerana boleh menimbulkan perbahalahan sama seperti peristiwa 13 Mei, jelas Zubir.

Wee merupakan antara pemimpin terbaru menjadi sasaran kecaman Perkasa, NGO yang ditubuhkan akhir 2008 susulan landskap politik negara selepas tsunami politik Mac 2008.

Kira-kira 100,000 ahli NGO Islam mahu Wee memohon maaf kerana mempertikaikan biasiswa Mara.

Bagi memastikan beliau bertindak demikian, Perkasa akan memastikan bahawa pengundi Melayu tidak memberikan sokongan kepada Ketua Pemuda MCA itu dalam pilihan raya umum akan datang, tambah Abdul Rahman.

Apabila ditanya jika ada sesiapa yang mempersoalkan Artikel 153 perlu ditahan di bawah ISA, Abdul Rahman dan beberapa pemimpin Perkasa lain menegaskan, “ya”.

“MCA seharusnya tidak hanya menjadi jaguh bagi orang Cina tetapi juga 1 Malaysia,” kata Zubir.

“Wee Ka Siong tidak mempertahankan (Artikel) 153, jadi beliau menentang konsep 1 Malaysia yang diasaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak... jadi beliau perlu dipecat daripada Kabinet,” tambah naib presiden Perkasa itu.

Kira-kira 25,000 naskhah akan diedarkan di seluruh negara esok.

“Kita akan bermula dengan dwibulanan (isu), kemudian dengan kebenaran KDN (Kementerian Dalam Negeri), kita harap ia boleh dipasarkan seminggu sekali,” kata Zubir.

“Akhbar ini adalah suara Perkasa dan akan menyiarkan tentang masalah orang Melayu... berkaitan dengan hak keistimewaan orang Melayu,” tambahnya.

Dijual dengan harga RM2 senaskah, akhbar itu dibiayai Media Perkasa Sdn Bhd dan modal permulaan berjumlah RM500,000.

1 comment

Unknown said...

Sokong Wee Ka Siong

Powered by Blogger.