Isu Felda: KDN beri Suara Keadilan surat tunjuk sebab

Oleh G. Manimaran


KUALA LUMPUR, 28 Jun — Akhbar Suara Keadilan terbitan PKR diberi surat tunjuk sebab Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung laporan mendakwa agensi pusat Felda telah bankrap ekoran kemerosotan simpanan tunainya.

Surat tunjuk sebab dikeluarkan susulan satu pertemuan editor Suara Keadilan dengan pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya hari ini.

Ia dinyatakan oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin yang turut menyertai pertemuan tersebut yang berlangsung lewat petang tadi.

“Suara Keadilan diberi masa tujuh hari untuk menjawab surat tunjuk tersebut,” kata beliau yang juga seorang peguam ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Shamsul Iskandar memberitahu Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Mahmood Adan telah menemui editor Dzulkarnain Taib selama dua jam dan telah mengeluarkan surat tunjuk sebab berkaitan dengan isu “Felda Bankrup” yang perlu dijawab dalam masa tujuh hari.

“Selain itu, Suara Keadilan juga dikehendaki menjawab tiga surat tunjuk sebab yang kononnya telah diserahkan kepada Suara Keadilan dan dikehendaki diserahkan sebelum pukul 5 petang esok,” katanya.

Shamsul Iskandar berkata AMK merasakan bahawa tindakan ini adalah melampau dan keterlaluan.

“Ini merupakan ugutan terbaru KDN yang nyata merelakan mereka menjadi alat dan perkakas BN.

“Suara Keadilan hanya dedahkan kepincangan yang berlaku dalam Felda.

“Apa yang perlu dijawab ialah kenapa penyelewengan berlaku? AMK menjangkakan terdapat desakan politik daripada Umno supaya permit penerbitan Suara Keadilan dibatalkan,” kata beliau lagi.

AMK kata beliau, akan menyediakan laporan lengkap yang akan diserahkan kepada Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang agar ugutan terbaru ini dapat dibawa ke perhatian Parlimen.

“Dalam masa yang sama AMK desak kerajaan supaya segera wujudkan Jawatankuasa Pilihan Parlimen untuk mengkaji segera tindakan terbaru KDN ini yang represif dan mengekang kebebasan media,” kata beliau.

Difahamkan, permit tahunan bagi penerbitan akhbar berkenaan akan tamat penghujung bulan ini.

Oleh itu, Suara Keadilan dipercayai akan berdepan masalah untuk memperbaharui permit berkenaan kali ini.

Jumaat lalu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata Felda akan menyaman Suara Keadilan dan beberapa pemimpin pembangkang kerana didakwa menyiarkan laporan fitnah.

Menurut Ketua Penerangan Umno itu, tuduhan yang dibuat dalam edisi terbaru akhbar itu, terutamanya di muka depannya adalah keterlaluan

No comments

Powered by Blogger.