Raja 'Pembela Melayu' Bagi Amaran kepada Khalid

Jangan masuk campur

BATU GAJAH - Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Khamis mempersoalkan hasrat Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang ingin mengemukakan cadangan pembangunan semula Kampung Baru meskipun kawasan itu tidak terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

Menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, tindakan Abdul Khalid itu dilihat cuba mengambil kesempatan apa yang telah dilakukan Kerajaan Pusat untuk membangunkan semula Kampung Baru.

“Semua orang boleh buat macam-macam cadangan tetapi untuk dilaksanakan bukan mudah dan kenapa beliau tak kemukakan rancangan itu 15 tahun lalu, kenapa sekarang, mungkin pada masa itu tidak ada sebab politik untuk dibangkitkan.

“Jadi saya sarankan beliau agar tidak perlu mencampuri urusan pembangunan semula Kampung Baru walaupun dulu Kampung Baru di bawah Selangor namun kini ia di bawah Wilayah Persekutuan,” katanya kepada pemberita ketika sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Batu Gajah, di sini.

Menteri Besar Selangor itu dalam satu kenyataannya sebelum ini berhasrat mengemukakan cadangan pembangunan semula Kampung Baru memandangkan beliau telah merangka beberapa alternatif kepada Kerajaan Pusat berhubung pembangunan semula kampung berkenaan 15 tahun lalu.

Cadangan tersebut dikatakan mengambil kira semua isu yang terlibat terutama hak milik kekal orang Melayu, masalah pembahagian tanah serta mewujudkan pembangunan yang setaraf dengan kawasan berdekatan.

Nong Chik berkata, tindakan untuk mengemukakan semula cadangan itu seolah-olah sengaja untuk mengelirukan penduduk di Kampung Baru.

“Kalau dia dah buat lebih awal segala cadangan mengenai perkara itu, tak payahlah kerajaan nak susah-susah sekarang namun kenapa sekarang baru nak sibuk setelah apa yang telah dirancang oleh kerajaan.

“Adalah lebih baik jika beliau tunaikan apa yang telah dijanjikan di Selangor dahulu kerana apa yang beliau janjikan masih banyak yang belum ditunaikan,” katanya.

Mengulas lanjut, Nong Chik mendakwa kebanyakan pelabur luar negara dan dalam negara pada hari ini banyak yang memberi rungutan terhadap kepimpinan Abdul Khalid dalam mentadbir Kerajaan Negeri.

“Mereka memberi rungutan bahawa kerajaan Selangor pada hari ini yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat (PR) lebih menyukarkan terutamanya dari segi pelaksanaan keputusan berbanding kerajaan sebelum ini yang ditadbir oleh BN.

“Ini merupakan fakta yang dinyatakan sendiri oleh pelabur di mana kebanyakan pelabur lama yang juga terlibat dengan kerajaan pusat dan mereka menyatakan kesukaran yang mereka hadapi berbanding kerajaan BN dahulu yang lebih proaktif,” katanya.

khalid kacau daun. chukung baru nak ngap makanan

No comments

Powered by Blogger.