Tian Kemuka Permohonan Di Mahkamah Rayuan Hari Ini

Oleh Fazli Othman

KUALA LUMPUR 29 Jun - Ahli Parlimen Batu, Tian Chua hari ini mengemukakan permohonannya di Mahkamah Rayuan, Putrajaya berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang mengekalkan keputusan Majistret yang menjatuhkan hukuman bersalah terhadap beliau.

Tian yang ditemui di luar pejabat Ketua Pembangkang berkata beliau berharap Mahkamah Rayuan akan menyemak semula fakta-fakta yang dikemukakan kepada majistret.

"Saya boleh membuktikan bahawa saya tidak melakukan apa-apa tindakan yang menyebabkan kecederaan kepada anggota polis tersebut.

"Bukti yang kita kemukakan kepada majistret tidak disemak semula oleh Mahkamah Tinggi, mahkamah cuma menerima dan tidak mempertikaikan keputusan majistret dan langsung tidak melihat kepada bukti-bukti yang diberikan.

Tian dalam pada itu berkata tujuan utama bukti-bukti itu dikemukakan kepada Mahkamah Rayuan dengan tujuan untuk membersihkan namanya terhadapa keputusan bersalah yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret kerana menghalang tugas polis dengan menggigitnya tetapi mengurangkan dendanya kepada RM2,000.

Keputusan hakim, Datuk Ghazali Cha yang mengurangkan denda daripada RM3,000 dan enam bulan penjara kepada RM2,000 atau dua bulan penjara menimbulkan kontroversi sama ada ahli parlimen Batu itu telah hilang kelayakannya.

Tian didapati bersalah kerana mengiggit seorang konstabel polis ketika ditahan di sebuah protes di bangunan parlimen, tiga tahun lalu.

Persoalan masih belum terjawab sama ada denda RM2,000 itu akan menyebabkan Pengarah Strategik KEADILAN itu bakal kehilangan kerusinya kerana hakim Ghazali enggan mengkaji semula keputusannya.

Kontroversi timbul berikutan tafsiran Artikel 48, Perlembagaan Persekutuan berhubung istilah denda tidak kurang RM2,000 dan penjara tidak kurang setahun.

Peguam yang mewakili Tian Chua berhujah berdasarkan keputusan Mahkamah Agung pada 1993, tafsiran itu membawa maksud RM2001.

No comments

Powered by Blogger.