Pemuda UMNO Kelantan Bagi Amaran Kepada Ibrahim Ali

Ibrahim jangan berlagak

KOTA BHARU - Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan mengingatkan Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali supaya tidak terlalu berlagak dengan kewujudan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan sokongan ahli yang diberikan sehingga sanggup menghentam sesama sendiri tanpa fakta yang jelas.

Ketuanya, Anuar Safian berkata, beliau percaya bahawa Ibrahim mewujudkan Perkasa semata-mata kerana ingin menjadi ikon nasional dan menentukan kemenangan beliau di Parlimen Pasir Mas dalam pilihan raya yang akan datang.

Katanya, sekarang dari segi realitinya Ibrahim sudah tidak lagi mendapat tempat di hati Pas malah UMNO juga belum tentu sekiranya beliau mengambil sikap yang sedemikian.

“Malahan dengan tindakan beliau yang memutar belitkan isu di sebalik kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong seolah-olah beliau sudah menjadi jaguh orang Melayu dalam negara ini.

“Ibrahim harus sedar bahawa selaku orang lama dalam politik, beliau tidak sepatutnya mencari isu murahan seperti itu untuk menjadi jaguh sebaliknya perlu melihat kepada sensitiviti dasar yang hendak dilaksanakan oleh Perdana Menteri dengan konsep 1Malaysia yang hendak digagaskan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Beliau berkata, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin telah memberikan penjelasan terhadap isu tersebut malah Wee sendiri telah pun memberi penjelasan kepada Pengerusi Pemuda Barisan Nasional berkenaan hal tersebut.

“Jadi ianya tak perlu lagi dibesar-besarkan. Pemuda negeri bukanlah hendak mencampuri urusan perbalahan pendapat antara beliau dengan Khairy tetapi harus diingat bahawa majoriti pemuda seluruh negara adalah bersama-sama dengan Khairy dalam hal ini.

“Bagi Pemuda UMNO Kelantan kenyataan Khairy mengatakan bahawa Ibrahim adalah Gedebe Politik tepat memandangkan beliau sebagai ahli politik bermacam warna yang cuba mewujudkan satu blok minoriti bebas dalam parlimen,” katanya.

Menurutnya, sekiranya Ibrahim ingin bersama-sama UMNO dalam memperjuangkan hak dan kedudukan orang Melayu ianya harus bersederhana dalam kedudukan kita sebagai sebuah negara majmuk dan terbukti berjaya seperti mana yang diamalkan sebelum ini.

“UMNO sudah perjuangkan hak orang Melayu lebih 64 tahun, masakan Perkasa yang baru setahun jagung hendak mempertikaikannya,” katanya.

Kelmarin, Khairy menyifatkan Ibrahim sebagai ‘gedebe politik’ (samseng politik). Beliau sebelum ini menyifatkan Ibrahim sebagai penghalang konsep 1Malaysia.

Beliau turut dilaporkan berkata, gelaran terhadap Ibrahim itu memang tepat berdasarkan tindak-tanduk Ahli Parlimen Pasir Mas itu selama ini.

Justeru beliau tidak akan meminta maaf ataupun menarik balik kenyataan yang dilemparkan terhadap Presiden Perkasa itu sejak beberapa hari lalu.

No comments

Powered by Blogger.