Fatwa Tekini Dari Wak Sembab

Utusan bawa suara Melayu, kata Muhyiddin

Oleh Asrul Hadi Abdullah Sani


KUALA LUMPUR, 25 April — Utusan Malaysia mewakili kepentingan orang Melayu dan tindakan memulau akhbar milik Umno itu hanya akan membataskan suara kominiti itu, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan presiden Umno ini mengulas gesaan MCA agar akhbar itu dipulau ekoran gesaan editornya supaya digerakkan gelombang “1Melayu, 1Bumi”.

Perkasa, pertubuhan bukan kerajaan membela hak dan keistimewaan orang Melayu, menyahut idea itu.

Minggu lalu, Timbalan ketua publisiti MCA Loh Seng Kok memberi amaran gelombang sedemikian akan mewujudkan persekitaran aparteid di negara ini.

Dalam responsnya hari ini, Muhyiddin menambah, kerajaan tidak boleh menghalang akhbar itu daripada menyiarkan laporannya.

“Ia suara dan kehendak komuniti Melayu dan juga rakyat Malaysia pada umumnya. Jika kita baca Utusan, kita dapat melihat bahawa ada laporan-laporan mengenai perkara-perkara lain,” katanya lagi.

“Seperti media lain, ada pro dan kontra. Kita tidak boleh menghalang media daripada membuat laporan mengenai apa yang ia hendak laporkan tetapi ada batasan, di mana ada undang-undang,” kata beliau pada sidang media hari ini.

Muhyiddin yang juga menteri pelajaran berkata tindakan memulau Utusan Malaysia boleh menyebabkan suara masyarakat Melayu terabai.

“Meskipun anda pulau, ia tidak akan (membawa) kesan sama sekali. Lagi anda minta tidak membaca, lagi ramai orang hendak membaca.

“Malah, bukan Melayu juga mengatakan ada laporan-laporan sensitif dalam media bukan Melayu. Jika kita tanya mengapa berita-berita sedemikian dilaporkan, mereka akan mengatakan ia menggambarkan perasaan komuniti Cina dan India,” katanya.

Minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjauhkan diri daripada pendirian editor Utusan Malaysia, yang disiarkan tyang mengesyorkan agar parti-parti Melayu menggerakkan gelombang “1 Melayu, 1 Bumi” sambil menegaskan ia pandangan “peribadi” akhbar Umno itu.

Perdana Menteri juga berkata pendirian akhbar terbitan Kumpulan Utusan itu tidak akan menggugat komitmen kerajaannya melaksanakan gagasan 1 Malaysia.

Dalam tulisan ruangan Cuit Rabu lalu, Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan berkata, DAP telah berjaya menjadi parti Cina yang telah menyatupadukan orang Cina.

Katanya, hanya kuasa mutlak politik yang belum dikuasai sepenuhnya oleh orang Cina tetapi yang lain “semua sudah.”

“Kini DAP membawa slogan yang cukup hebat di kalangan masyarakat mereka iaitu Undi untuk Ubah, Enough is Enough (Cukuplah) dan Selamatkan Malaysia,” katanya.

Dia berkata, slogan itu sebenarnya bukan ditujukan kepada orang lain, tapi khususnya kepada orang Cina.

“Terpapar megah di dada baju penyokong dan calon DAP dalam pilihan raya Sarawak supaya diubah kepimpinan Melayu Malaysia ini,” katanya lagi.

Katanya, pilihan raya umum ke-13 akan digunakan sepenuhnya untuk menyatukan kuasa mereka.

Kata Zaini, “sebaliknya apa yang orang Melayu buat? Tiada apa-apa. Mereka ialah satu bangsa yang cukup selesa, komplesen, alpa dan tidak peduli. Malah pemikiran mereka cukup bercelaru.”

Dia seterusnya berkata, pada pandangannya Umno harus melancarkan gelombang perpaduan bangsa “1Melayu, 1Bumi.”

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pula berkata usaha sedemikian akan menyebabkan malapetaka jika menjadi kenyataan.

1 comment

Yong said...

Dalam dunia ini memang hanya ada 1Melayu. Sama dengan hanya ada 1English, 1Scots, 1irish, 1Deutch 1India, IChina etc. Tetapi Allah telah jadikan manusia ini berbilang kaum. Tidak ada satu kaum yang serupa dengan kaum lain. Perbezaan itulah yang menjadi kualiti dan nilai (value) bagi setiap kaum. 1Melayu itu bukan sama. Ada Melayu Islam. Ada Melayu bukan Islam. Melayu juga tidak tinggal di satu lokasi. Ada Melayu Acheh, Melayu Brunei, Melayu Banjar dan lain-lain. Ada Melayu di kemboja. Melayu di Siam. Tempat ini pun dulu namanya Kepulauan Melayu. Orang Melayu bebas menyeberangi selat Melaka macam pergi balik ke pasar je sebelum penjajah zalim memecah-belahkan kepulauan Melayu ini. Orang Melayu juga kuat belayar, Lalu, ada Melayu di Madagascar. Ada Melayu Sri Lanka. Orang Melayu juga hidup aman damai dengan bangsa2 lain di kepulauan Melayu.

Mengapa pulak kini timbul 1Melayu? Ini kerana dalam kegharahan untuk menang PR dilihat mengenepikan orang Melayu. Mungkin ini persepsi. Tetapi persepsi ini jika tidak ditangani dengan baik akan menjauhkan undi Melayu yang sangat diperlukan. Selagi PR tidak dilihat memperjuangkan kepentingan Melayu, PR tetap akan dipinggirkan oleh orang Melayu. DAP, PKR dan PAS harus sedar, tanpa sokongan Melayu, sampai kapanpun Putrajaya hanya mimpi. Utusan Malaysia hanya mengambil kesempatan dari kelemahan PR ini.

Dr Mahathir pastinya tak suka 1Melayu sebab dia bukan Melayu. Diapun tak suka orang Melayu bersatu. Selama ni dia berjaya memerintah Malaysia dengan keadaan orang Melayu berpecah!

Powered by Blogger.