MB: Biar Selcat tentukan nasib peguam Umno, Adun

SHAH ALAM, 24 April — Kerajaan negeri Selangor menyerahkan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan (Selcat) untuk mengambil tindakan terhadap penasihat undang-undang Umno Datuk Mohd Hafarizam Harun jika tidak memenuhi arahan agar menghadapnya Jumaat ini.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri juga tidak akan memaksa peguam Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah itu menghadap Selcat jika beliau terus berkeras dengan pendiriannya.

“Biarlah jawatankuasa ini tentukan apa yang berlaku dan tindakan seterusnya yang akan diambil,” kata beliau di sini hari ini.

Menurutnya, sebagai seorang pengamal undang-undang, Hafarizam bebas mengeluarkan sebarang kenyataan dan tahu yang mana betul dalam tindakan beliau.

“Saya tidak mahu komen lanjut kerana seperti yang kita tahu Hafarizam ialah peguam Umno dan beliau boleh cakap apa yang dia suka,” kata Khalid.

Katanya, cuma apa yang kerajaan negeri tekankan ialah Hafarizam dan Badrul Hisham dihadapkan ke Selcat berhubung kesalahan menghina Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ditanya mengenai dakwaan Hafarizam bahawa menjadi mangsa penyalahgunaan kuasa pihak tertentu, Khalid berkata hal lain tidak harus timbul kerana perkara utama dalam isu itu ialah kesalahan menghina DUN.

Kelmarin, Hafarizam menegaskan bahawa beliau tidak akan hadir untuk memberi penjelasan kepada jawatankuasa itu.

Sebaliknya beliau menyifatkan saman hadir yang dikeluarkan dewan itu sebagai satu ugutan politik untuk menghalangnya daripada melaksanakan tugas sebagai peguam.

Katanya, keputusan itu diambil atas pelbagai sebab termasuk tidak mahu tunduk kepada bidang kuasa yang mana beliau bukan anggotanya.

“Saya akan lihat apa yang voleh dilakukan dari segi undang-undang berkaitan tindakan mereka memanggil saya sebagai peguam adalah tindakan yang bertentangan dengan undang negeri dan persekutuan,” katanya.

Hafarizam, dari firma guaman Hafarizam Wan dan Aisha Mubarak, merupakan salah seorang peguam bela dan peguam cara Badrul Hisham yang kerusinya diisytihar kosong oleh Teng atas alasan Badrul Hisham tidak hadir sidang DUN selama enam bulan tanpa alasan munasabah.

Pada 18 Februari lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan Badrul Hisham kekal sebagai Adun Pelabuhan Klang selain turut memerintahkan Teng membayar kos RM40,000 kerana tindakannya mengisytihar kekosongan kerusi itu.

Teng kemudiannya memfailkan permohonan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu dan bertegas Speaker DUN mempunyai kekebalan untuk mengisytihar kerusi berkenaan kosong.

Sidang DUN pada 1 April kemudiannya meluluskan usul mengenakan tindakan terhadap Badrul Hisham dan Hafarizam kerana kesalahan menghina DUN, dan Timbalan Speaker Dewan Haniza Mohamed Talha ketika meluluskan usul itu berkata kedua-dua mereka akan dikenakan tindakan bersama atau berasingan kerana menghina Teng dalam sepucuk surat bertarikh 29 Mac lepas.

Hafarizam berkata firma guamannya tidak pernah menghantar apa jua surat terus kepada Speaker DUN Selangor, sebaliknya surat bertarikh 20 Mac itu dihantar kepada Tetuan Tommy Thomas, peguam kepada Teng, untuk menuntut kos yang diberikan melalui perintah Mahkamah.

No comments

Powered by Blogger.