Penentu masa depan PAS — Zulkiflee Bakar

24 APRIL — Muktamar Tahunan PAS Ke-57 yang akan diadakan pada 3 Jun hingga 5 Jun ini dianggap medan yang amat penting bagi parti berkenaan bagi menentukan masa depan PAS dalam persada politik negara.

PAS akan bermuktamar dalam keadaan parti itu sudah dipalit dengan pelbagai peristiwa yang dianggap jika tidak dibendung dalam muktamar kali ini ia boleh memburukkan lagi imej mereka.

Kekalahan dalam empat pilihan raya kecil di semenanjung dan ‘tersungkur’ di lima kerusi ketika Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru ini sudah cukup memberi isyarat kepada ahli-ahli PAS bahawa sesuatu harus dilakukan bagi memulihkan keadaan.

Turut perlu diberi perhatian ialah mengenai pendirian PAS dalam berhadapan dengan isu-isu tertentu yang berkaitan dengan kerjasama mereka dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP. Ia memandangkan bukan sahaja di luar malahan di dalam PAS sendiri, semakin ramai ahli-ahli parti itu berasa tidak selesa dengan kerjasama tersebut yang dilihat dari semasa ke semasa ibarat virus yang merosakkan imej PAS.

Dalam soal ini, sudah pastilah tumpuan akan diberikan kepada pemilihan kepimpinan PAS yang bakal berlangsung pada muktamar berkenaan.

Pemilihan itu bakal menjadi penentu kepada kesinambungan corak perjalanan politik PAS selepas ini. Ahli-ahli PAS mempunyai pilihan sama ada hendak membiarkan parti tersebut berada dalam keadaan sekarang atau menghantar isyarat supaya dilakukan perubahan demi survival parti tersebut. Ini kerana biarpun kepimpinan PAS majoritinya masih lagi menganggap parti itu masih ‘ok’ tetapi mereka tidak boleh menafikan fakta bahawa kedudukan imej PAS di kalangan rakyat semakin tercalar.

Pas dilihat tidak lagi sebuah parti Islam yang benar-benar memperjuangkan Islam atau mempunyai keberanian untuk bersuara bagi menegakkan kebenaran. Sebaliknya PAS dilihat lebih banyak tunduk dengan kerenah dan tindak tanduk politik yang dilakukan oleh PKR dan DAP.

Semua persepsi ini jika dibiarkan berterusan akan merosakkan masa depan PAS kerana kita perlu akui suatu ketika dulu sebelum PAS menjalin kerjasama dengan kedua-dua parti berkenaan, PAS cukup digeruni dan dihormati oleh kawan dan lawan.

Tetapi sekarang semuanya sudah berubah dan ia dilihat paling ketara berlaku dalam kes rakaman video seks yang dikatakan melibatkan ‘pelakon’ mirip Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. PAS dilihat terlalu pasif dalam soal ini, tiada ketegasan yang ditunjukkan bagi menegakkan kebenaran, sebaliknya hanya bermain kata-kata.

Atas sebab itulah apabila Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menyatakan PAS akan mengkaji semula kedudukan dalam pakatan selepas siasatan kes berkenaan selesai, ia amat dialu-alukan. Biarpun Mustafa menafikan membuat kenyataan seumpama itu, namun laporan semua media berhubung apa yang beliau cakap membuktikan sebaliknya.

PAS perlu mengakui seruan supaya mengkaji kedudukan dalam pakatan pembangkang bukan dicipta oleh mereka di luar PAS tetapi di dalam parti itu terutamanya di peringkat akar umbi suara.

Mungkin ia tidak dilakukan secara tidak terbuka tetapi hasrat itu wujud kerana ahli-ahli PAS yang rasional amat memahami tindakan parti tersebut yang terlalu mempertahankan apa yang dilakukan oleh pemimpin PKR dan DAP hanya memakan diri. Keadaan menjadi bertambah buruk kepada PAS apabila ada pula di kalangan pemimpin mereka yang dilihat seolah-olah sanggup bermati-matian mempertahankan Anwar, PKR dan DAP.

Semua ini tidak menguntungkan PAS sebaliknya hanya akan menyebabkan parti itu dilihat sebagai sebuah parti yang tiada prinsip dan hanya mengutamakan kepentingan politik semata-mata.

Persoalan sama ada PAS mampu berubah atau tidak ia bergantung kepada pemilihan parti yang bakal berlangsung pada 3 Jun ini. Jika ahli-ahli PAS tidak kira di peringkat mana pun melakukan percaturan yang salah, mereka akan bertanggungjawab mendedahkan parti tersebut dalam episod perjalanan politik yang cukup menyedihkan.

Dua posisi penting yang bakal menjadi penentu kepada nasib PAS ialah kedudukan Presiden dan Timbalan Presiden. Sebab itulah cadangan Naib Presiden PAS, Datuk Ibrahim Tuan Man agar dua jawatan berkenaan diputuskan secara syura bagi menjamin gabungan kepimpinan terbaik perlu disokong oleh ahli-ahli.

Pada masa ini, PAS dipimpin oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden manakala jawatan Timbalan Presiden disandang oleh Nasharudin Mat Isa.

Persoalannya, masih wujudkah semangat syura di kalangan pemimpin-pemimpin PAS yang ingin bertanding dua jawatan berkenaan?

Buat masa ini, kedudukan Abdul Hadi boleh dikatakan selamat selepas cubaan bahagian tertentu untuk mencalonkan nama lain bagi jawatan berkenaan mendapat tentangan.

Abdul Hadi yang memegang jawatan itu sejak 2002 mendapat sokongan padu termasuklah Dewan Pemuda PAS Pusat. Sokongan itu sudah tentulah akan menyelamatkan kedudukan Abdul Hadi yang sebelum ini cuba digugat oleh pihak tertentu yang menganggap beliau sebagai liabiliti kepada PAS.

Berikutan keadaan itu, tumpuan diberikan kepada pertarungan jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden yang dikatakan bakal menyaksikan pertarungan sengit. Jika berdasarkan pencalonan awal, tidak mustahil Nasharudin perlu bertarung lagi bagi mempertahankan kedudukannya.

Pada tahun 2009, Nasharudin mengekalkan kedudukannya selepas menewaskan dua calon lain.

Persoalannya, apakah pandangan Tuan Ibrahim akan diambil kira bagi memastikan tiada perebutan bagi jawatan Timbalan Presiden? Dan kita juga tertanya-tanya apakah kesalahan besar yang dilakukan oleh Nasharudin sehingga beliau tidak harus dibenarkan oleh ahli-ahli PAS untuk kekal sebagai orang nombor dua dalam parti.

Ahli-ahli PAS perlu memahami bahawa pendekatan syura yang dicadangkan Tuan Ibrahim tidak akan berlaku jika mereka mengelak daripada awal di peringkat pencalonan.

Ia bermakna jika ahli-ahli PAS tidak mahu perebutan berlaku bagi dua jawatan penting berkenaan, maka mereka hanya perlu mencalonkan Abdul Hadi dan Nasharudin sahaja.

Tetapi kita percaya Nasharudin yang pernah melakukan kejutan di dalam PAS apabila dilantik oleh Allahyarham Datuk Fadzil Noor sebagai Setiausaha Agung, tidak akan dibiarkan menempuh laluan selesa.

Keadaan itu berlaku kerana pendekatan politik di dalam PAS kini tidak lagi seperti dahulu. Pelbagai elemen yang meresapi PAS sejak parti itu bekerjasama dengan PKR dan DAP telah memungkinkan impian untuk melihat pendekatan syura diadakan bagi jawatan tertinggi hanyalah satu impian. Apatah lagi dengan usia Abdul Hadi yang kini mencecah 64 tahun sudah pastilah ia juga diambil kira oleh pemimpin-pemimpin tertentu yang berhasrat menerajui PAS.

Lebih menarik lagi, di dalam PAS sendiri sudah ada tanggapan bahawa parti itu perlu melakukan anjakan paradigma dengan tidak bergantung kepada golongan ulama sahaja menjadi pemimpin utamanya. Namun begitu segala-galanya bergantung kepada ahli-ahli PAS untuk membuat keputusan. Mereka sahaja boleh menentukan sama ada hendak mengekalkan golongan ulama sebagai pemimpin utama PAS atau tidak.

Bagi jawatan Naib Presiden tidak salah jika ia menggabungkan golongan ulama dan profesional kerana ia selaras dengan pesanan Abdul Hadi bahawa kesemua pemimpin PAS berjuang atas landasan parti yang kukuh untuk menegakkan Islam sebagai addin di tanah air.

Bagaimanapun ahli-ahli PAS perlu mengelak daripada memilih mereka yang dilihat mampu merosakkan parti itu daripada dalam berikutan permainan politik yang dipelajari daripada PKR.

Ia termasuklah memastikan tidak ada pemimpin yang dilihat melakukan tindakan yang bertentangan dengan dasar parti dipilih menduduki jawatan penting dalam PAS.

Barisan kepimpinan yang bakal dipilih bukan sahaja perlu terdiri daripada mereka yang beriltizam mengekalkan kepimpinan ulama malah lebih penting daripada itu mengubah imej Pas yang kini dilihat hanya menjadi ‘pak turut’ kepada PKR dan DAP.

Persepsi atau tanggapan ini boleh dihapuskan jika ahli-ahli PAS menolak mana-mana pemimpin yang dilihat lebih mendengar kata pemimpin parti lain berbanding kepimpinan PAS sendiri. Atau golongan pemimpin yang takut untuk berkata benar kerana bimbang menyinggung rakan sekutu mereka.

Kalau benarlah ahli-ahli PAS berpegang kepada prinsip ‘‘menegakkan Islam sebagai addin’ maka mereka juga perlu memilih pemimpin-pemimpin yang mahu berkata benar biarpun pahit. Ahli-ahli PAS perlu memahami sama ada PAS akan mampu bertahan atau tidak di dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, ia bukan sekadar bergantung kepada jentera parti.

Sebaliknya turut menjadi pertimbangan ialah sejauh manakah barisan yang bakal dipilih akan benar-benar mampu memantapkan PAS sebagai parti yang tidak dilihat hanya melukut di tepi gantang dalam gabungan pembangkang. — Mingguan Malaysia

No comments

Powered by Blogger.