Lagi akhbar Umno dakwa Cina sokong Pakatan demi kukuh kuasa politik

KUALA LUMPUR, 22 April — Satu lagi akhbar milik Umno, Berita Harian turut mendakwa masyarakat Cina negara ini mula memperlihatkan sokongan besar kepada DAP dan perikatannya, Pakatan Rakyat dengan satu “strategi” baru — mahu menguatkan kedudukan ekonomi dan politik.

Dalam ruangannya hari ini, Kunta Kinte berkata, bagi orang Cina, menyokong DAP dan Pakatan Rakyat adalah strategi baru dan anjakan pemikiran yang sangat jelas.

“Strategi serampang dua mata mereka ini gabungkan kuasa ekonomi dan kuasa politik orang Cina.

“Setelah berjaya kukuhkan ekonomi mereka hasil dasar dan projek perkembangan kerajaan BN, mereka sekarang berasa cukup yakin yang kepentingan dan monopoli ekonomi mereka tidak akan terjejas walaupun mereka tak lagi sokong BN.”

Malahan menurut akhbar Kumpulan Media Prima ini, cara baru kaum Cina yang menggabungan kuasa ekonomi dan politik ini akan tambah “kukuhkan lagi kuasa dan pengaruh masyarakat Cina dalam ekonomi dan politik.”

Dalam tulisan di halaman perdananya, ia juga menambah, ada penganalisis politik mengatakan, penghijrahan besar orang Cina daripada BN kepada Pakatan Rakyat akan mencetuskan reaksi orang Melayu yang akan balik semula menyokong BN kerana takut hilang kuasa kepada orang Cina.

“Kunta Kinte tak mahu buat apa-apa ramalan. Yang Kunta Kinte nak kata adalah perkauman susah nak dipisahkan daripada politik negara kita kerana kita terlalu bertolak ansur dalam hal mewujudkan sistem dan institusi yang boleh menyatupadukan rakyat berbilang kaum.

“Kita selalu sebut kalau nak lentur buluh biar dari waktu ia masih rebung. Berdasarkan pengalaman Kunta Kinte bersekolah dan belajar hidup dalam masyarakat majmuk, tidak ada permulaan yang lebih baik daripada di bangku sekolah,” kata akhbar itu lagi.

Malah akhbar itu lagi, pada hari ini, selepas lebih 53 tahun merdeka, sekolah kebangsaan terpaksa bersaing dengan sekolah jenis kebangsaan dan semakin ramai orang Malaysia tidak fasih Bahasa Kebangsaan, tidak bersemangat Malaysia dan nampak-nampaknya tambah perkauman.

Ahad lalu, akhbar Kumpulan Utusan milik Umno, parti teras Barisan Nasional (BN) menggesa perikatan itu supaya tidak terlalu “pemurah” dalam melayan kedudukan masyarakat Cina dalam Kabinet negeri yang bakal dibentuk ekoran keputusan pilihan raya Sarawak, Sabtu lalu.

Mingguan Malaysia, yang diterbitkan oleh Kumpulan Utusan berkata, majoriti pengundi Cina memihak kepada kempen Pakatan Rakyat yang membawa seruan “mengubah kerajaan negeri” sedangkan masyarakat Bumiputera tetap teguh bersama BN.

BN Sarawak pimpinan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud memperoleh 55 kerusi manakala Pakatan Rakyat pula 15 dan Bebas satu.

Pada pilihan raya negeri 2006, BN Sarawak memperoleh 62 kerusi dan ia meningkat kepada 63 kemudian.

Walaupun BN memperoleh majoriti lebih dua pertiga tetapi mengalami penurunan kerusi kali ini.

Begitu juga undi popular diperoleh BN Sarawak berbanding lima tahun lalu.

“Keputusan tersebut mempunyai makna yang perlu diterjemahkan oleh kerajaan negeri pimpinan Abdul Taib Mahmud.

“Awang berharap Taib akan menubuhkan Kabinet dengan mengambil kira realiti daripada peti undi. Ternyata, rata-rata pengundi Cina menolak BN dan menyokong DAP,” kata Awang Selamat dalam ruangannya.

Awang Selamat juga berkata kerajaan negeri BN tidak lagi boleh bersikap terlalu pemurah untuk memberikan tempat kepada perwakilan kaum itu.

Sehari kemudian, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa masyarakat Cina Sarawak turut dijangkiti “virus rasisme Cina” yang menjadi prinsip perjuangan DAP, komponen Pakatan Rakyat, yang memperoleh kerusi terbanyak dan menggandakan kawasan dimenangi mereka, kelmarin.

Katanya, pada masa-masa lalu DAP ditolak sepenuhnya oleh penduduk Sarawak

No comments

Powered by Blogger.