Jangan fitnah Presiden PAS



Jangan fitnah Presiden PAS

Ada pemimpin yang tidak membaca ulasan Presiden PAS bertajuk "Mengapa kalau Islam tidak boleh?" dan terus mengulas berdasarkan tajuk sensasi yang dipilih sebilangan portal media untuk memutar belit maksud sebenar Presiden PAS.

Pertama, tiada satu ayat pun di dalam kenyataan Presiden PAS yang mahu kabinet Melayu sahaja atau all-Malay cabinet. Olahan tajuk sensasi ini jauh daripada maksud sebenar ulasan Presiden PAS.

Maksud utama ulasan Presiden PAS ialah bahawa Melayu-Islam perlu memimpin di dalam konteks politik Malaysia dan bukan Islam diterima untuk memerintah bersama di dalam bidang-bidang kepakaran dan pengurusan.

"Islam juga berbeza dengan ideologi atau teori ciptaan manusia yang memisahkannya daripada agama, kerana ajaran Islam itu merangkumi semua aspek kehidupan bermasyarakat termasuk juga urusan politik.

Islam meletakkan mestilah ketua negara dan anggota kabinetnya yang beraqidah Islam daripada bangsa yang paling berpengaruh. Tetapi pada masa sama, Islam memberi hak yang lebih banyak kepada penganut bukan Islam dalam aspek politik, ekonomi dan lain-lain urusan kehidupan, lebih daripada hak yang diberi oleh pendukung dan pejuang ideologi ciptaan manusia dan agama lain terhadap pihak yang berbeza dengan mereka.

Islam mengurus secara lebih saksama dengan fitrah manusia, dengan syarat Islam sebenarnya berkuasa memerintah. Namun Islam juga tetap memelihara hak beragama lain tanpa menyentuh perkara yang diizinkan oleh agama masing-masing dengan sempadan memelihara keharmonian masyarakat majmuk dan perikemanusiaannya.

Islam bukan sahaja memberi hak kerakyatan kepada bukan Islam, bahkan mewajibkan adil terhadap semua dari segi hak rakyat yang dilindungi oleh undang-undang berteraskan aqidah dan juga hak kemanusiaan yang berkait dengan diri, keluarga, cara hidup berpolitik, ekonomi, pendidikan, kebudayaan dan lain-lain dengan kawalan sempadan (hudud) yang menghormati perbezaan agama dan menjaga keharmonian dan perpaduan kemanusiaan.

Dalam aspek politik, Islam tegas mewajibkan kepimpinan utama yang menjaga dasar dan konsepnya daripada penganut Islam dan menerima bukan Islam dalam aspek kepakaran dan pengurusan, bukannya perkara dasar dan konsep. Maka Islam menerima kedudukan bukan Islam melalui pilihan raya atau konsep kerajaan teknokrat." - Presiden PAS, 22 Disember 2017.

Ayat-ayat di atas jelas kabinet bayangan Presiden PAS adalah dari pelbagai kaum, cuma yang memimpinnya mestilah penganut Islam. Di mana rasisnya Presiden PAS?

Ini adalah dasar yang diterima oleh PPBM, DAP, PKR, Amanah dan juga BN. Apakah mereka yang menuduh Presiden PAS rasis tidak bersetuju bahawa yang perlu memimpin Malaysia ialah dari kalangan penganut Islam? Jika ya, sila nyatakan pendirian ini secara terbuka.

Jika sedemikian mengapa PPBM tidak membuka keahliannya kepada semua tapi untuk orang Melayu sahaja. Mengapa Pakatan Harapan bermain politik kaum di dalam susunan jawatan mereka untuk dilihat ia dipimpin oleh orang Melayu sedangkan yang mempunyai kerusi parlimen terbesar ialah DAP?

Semua ini hanyalah politik kemurahan mereka yang sengaja menyerang Presiden PAS berdasarkan fitnah kerana mereka bimbang dengan perkembangan dan pertambahan pengaruh PAS dan jumlah ahlinya.

PAS akan terus menerajui dan memimpin budaya politik matang dan sejahtera. PAS sudah serik dengan parti politik yang lain yang hidup atas fitnah dan persepsi semata-mata. Oleh itu, kami memilih untuk berbeza.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
26 Disember 2017

No comments

Powered by Blogger.