Kereta YDP MPP UUM disimbah cat



Oleh Zuliaty Zulkiffli

bhnews@bh.com.my

ALOR SETAR: Kereta Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diparkir di asramanya di kampus terbabit, Sintok, dekat sini, hari ini disimbah cat merah dan diconteng dengan perkataan memalukan.

Mangsa yang juga pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam, Muhammad Luqman Jamalil-Idrus, 22, menyedari keadaan keretanya jenis Perodua Myvi ketika hendak menghadiri kelas, jam 9.30 pagi.

Beliau berkata, sebelum ini dia tidak pernah mempunyai musuh atau bergaduh dengan sesiapa dan tidak pernah berhutang dengan pemberi pinjaman haram atau Ah Long yang boleh menyebabkan ada pihak tidak berpuas hati dengannya.

"Kejadian ini agak mengejutkan saya kerana ia berlaku di kawasan kediaman universiti ini dan saya tak berani tuduh sesiapa selain tak tahu punca mengapa saya menjadi mangsa.

"Sebelum ini, saya mempunyai urusan di luar selama empat hari tetapi tidak berlaku pula kejadian seperti ini dan ia terjadi ketika saya berada di rumah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhammad Luqman berkata, bimbang keselamatannya terancam, satu laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu jam 1 tengah hari tadi.

"Saya serahkan kejadian ini kepada polis untuk siasatan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim mengesahkan menerima laporan itu dan siasatan sedang dijalankan setakat ini.

No comments

Powered by Blogger.