Paradoks Membunuh Mufti



Paradoks Membunuh Mufti

"Asalkan keluar arahan mufti, mesti jadi 'haram'. Kolot betullah. Nak buat apa pun tak boleh!" bentak Bijan.

Hatinya meluap-luap marah. Helaian akhbar Harian Metroseksual diramas-ramas. Bila sudah terkonyok sepenuhnya, dicarikkan pula ia hingga menjadi cebisan kecil. Dibukitkan semuanya lalu dicampakkan Zippo berukiran naga yang telah terpasang apinya ke atas timbunan itu.

Dalam beberapa kelip mata, semuanya menjadi abu.

Bijan puas. Amarahnya kepada pak mufti hapus seketika. Meruap bersama kepulan asap yang hilang perlahan-lahan menghilang berasimilasi bersama partikel-partikel udara yang kemudiannya dihidu masuk lubang-lubang hidung manusia.

"Orang bodoh memang begitu. Kepandaian yang sedikit mahu ditonjol-tonjolkan. Bila hukum kena pada orang awam, cepat sahaja keluar fatwa. Benda kecil-kecil cepat sahaja keluar fatwa."

"Bab sentuh anjing, potong rambut, bunga api, candlelight vigil, inai bercorak dan yang terbaru, cosplay pun dia haramkan. Pemikiran sempit betul! Patutlah orang Islam mundur macam katak bawah tempurung!" omelnya seorang diri sambil berjalan masuk ke kedai kopi Che' Nah.

"Sini...sini," kedengaran laungan suara rakan baiknya, Busa dari celah-celah himpunan manusia yang asyik meneguk kopi hitam pekat kisaran asli Kampung Tikpoli.

Bijan duduk di kerusi panjang. Kerusi kayu itu memang sengaja Che' Nah letakkan di tepi dinding supaya orang boleh bersandar di dinding.

Kalau tiba-tiba gatal pungkok, geselkan aja ke permukaan simen yang menggerutu itu. Asalnya Che' Nah nak buat 'finishing' licin tapi sebab si Jamal Bangla dah kena angkut dek Imigresen, terbengkalailah projek meganya itu.

Ada juga hikmahnya. Rata-rata orang yang duduk di kerusi panjang akan melepak lama. Paling kurang tiga cawan kopi dibedalnya. Mungkin kerana syok dapat garu belakang gamaknya.

"Aku nak bunuh mufti," ucap Bijan.

Terbeliak mata Busa. "Kau nak...apa?" tanya beliau untuk dapatkan kepastian.

"Aku nak bunuh semua mufti. Semuanya tak guna. Isu kecil cepat sahaja bersuara. Negara penuh rasuah, korupsi, pemimpin seluk duit sana sini, kedai judi, rumah arak, pusat pelacuran tidak pula mahu dia keluar fatwa," jerkah Bijan.

Busa memerhatikan sahaja telatah rakan baiknya itu. Bijan baru sahaja pulang dari Amerika dengan piala di tangan.

'Juara - Pertandingan Pakaian Beragam Komika New York 2017' - itulah ukuran di pangkal piala.

Busa mengalihkan pandangan ke meja-meja lain di dalam kedai.

Kelihatan anak Pak Brahim menghembus rokok gulungnya. Asap penuh khasiat itu menyapa muka cucu Mek Jijah yang baru enam bulan.

"Namanya Zifira. Cucu kesayangan Mek Jijah. Perangainya persis benar dengan suami mek. Kecil-kecil pun dah pandai berlawan kata dengan kita. Betul atau salah belakang kira." Busa terkenang saat girang mek memperkenalkan cucunya itu kepada penduduk kampung.

Lamunan Busa terhenti bila penampar sulung Bijan singgah ke pipinya. Rupa-rupanya Bijan bengkek bila perasan dia bercakap seorang diri.

"Kau ni marah mufti sangat, pasal kau rasa fatwa dia menyusahkan kau kan?"

"Kau ingat lagi dulu, kau sendiri yang melompat bila mufti hentam program 'I want to touch a dog' dulu?"

"Kau ingat lagi, waktu kau guna fatwa mufti supaya bini kau tak boleh lagi pergi ke salun Sui Lee supaya kau boleh jimat wang untuk beli tiket ke New York?"

"Atau kau dah lupa, betapa kau seronok memaki orang di FB yang meleleh air mata pegang lilin sebab penyanyi K-Pop mati bunuh diri? Kau ingat tak bila kau maki mereka dengan kata puki dan babi, kau kata kau perjuangkan Islam sebab mufti kata haram?"

Satu per satu panahan kata Busa menerjah masuk ke benak memori Bijan.

Ya, memang betul kata-kata Busa. Satu pun tiada yang palsu.

"Abang...jom balik."

Busa bingkas bangun. Ibarat anjing yang setia dia membontoti bini beruncit-runcit berjalan ke hulu kampung.

Bijan tinggal keseorangan. Asap rokok daun anak Pak Brahim kini mula menyesakkan dadanya pula.

Ali Imran
Wartawan Awam

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10156004128295970&id=529160969

No comments

Powered by Blogger.