Parodi boleh jatuh haram
Oleh Latifah Arifin
latifah@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Video lelaki berpakaian wanita melakukan tutorial solekan, aksi tarian ghairah meniru gaya selebriti Barat dan berucap seperti pemimpin dengan menukar dialog berbaur kontroversi antara parodi yang menarik perhatian ramai sehingga viral di media sosial.
Aksi ini lazimnya, cepat dikongsi secara meluas dan mendapat jutaan 'likes', dan ada netizen memberi pelbagai komen sehingga cenderung mengaib serta memfitnah individu apabila perbuatannya ditiru.
Definisi parodi mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat adalah karya sastera, seni dan lain-lain yang meniru gaya pengarang, penciptanya dengan cara melucukan atau menyindir.
Ia bukanlah budaya masyarakat Islam, sebaliknya berasal dari Barat sebagai salah satu cara mereka meluahkan perasaan tanpa ada batasan akhlak seperti mana yang dianjurkan Islam.
Haram buka aib
Umat Islam sepatutnya sedar segala perbuatan yang dilakukan ada ganjaran dan azab daripada Allah SWT.
Justeru, penting kita menepati landasan al-Quran dan sunah termasuk dalam hal meluahkan perasaan, hatta dengan alasan sekadar untuk berhibur.
Pendakwah bebas, Taha Mohd Omar, berkata pandangan Islam dalam hal berjenaka secara umum adalah harus, bagaimanapun ia menjadi haram apabila jenaka yang dibuat itu menjatuhkan maruah seseorang.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Hai orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang lelaki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik daripada mereka." (Surah al-Hujurat, ayat 11)
Beliau berkata, umat Islam perlu berhati-hati dalam isu berkaitan parodi kerana ia bukan hanya bersangkut-paut dengan orang melakukan aksi itu, tempias juga terkena kepada individu yang menonton serta pihak yang menjadi mangsa.
"Dosa besar bagi orang yang melakukan lawak parodi jika ia mengaibkan dan tidak menjadi kesalahan yang menonton sekali sahaja atau atas sebab tidak dapat dielakkan kerana sudah menjadi viral.
"Jika ditonton berulang kali dan terus tertawa, maka orang yang menonton juga menanggung dosa kerana dengan sengaja mempersendakan. Lebih parah jika ia dikongsi pula kepada rakan lain," katanya.
Jangan bodohkan diri
Sementara bagi mereka yang menjadi mangsa pula tidak menanggung dosa kecuali jika penulisan, muzik dan lakonan asalnya memang mengandungi perkara tidak baik seperti tidak menutup aurat, percampuran bebas lelaki serta perempuan.
Taha berkata, Islam mengajar kita untuk tidak memperbodohkan diri dengan melakukan perkara yang bertentangan ajaran agama termasuk melakukan parodi sia-sia.
Beliau berkata, gejala menghasilkan parodi negatif ini perlu dibendung dengan memperkenalkan kaedah lain seperti menghasilkan video saduran lagu popular menggunakan lirik bermanfaat, selain memperbanyakkan video tazkirah iaitu teguran kepada parodi asal secara berhikmah.
"Cara terbaik meluahkan perasaan atau menegur individu tertentu termasuk dalam kalangan pemimpin boleh dibuat dengan cara lebih murni seperti hasilkan video berbentuk nasihat, tazkirah atau menulis surat terbuka di Facebook," katanya.
Ingin perhatian
Pendakwah muda, Da'i Wan Dazrin Wan Din sering menjadi perhatian netizen di media sosial kerana lantang menegur parodi yang menyalahi hukum syarak menasihatkan umat Islam supaya tidak membuka ruang fitnah kepada Muslim lain.
Beliau berkata, walaupun ada yang memberi alasan parodi itu mendapat persetujuan daripada watak yang dilakonkan, ia bukan tiket untuk membenarkan perkara itu kerana ada pertimbangan lain perlu diperhalusi termasuk kesan kepada masyarakat awam.
"Kebanyakan orang yang terjebak dalam parodi ini ingin mendapatkan perhatian ramai menyebabkan mereka cenderung membuat aksi melampau.
"Bayangkan video parodi lelaki mengenakan tudung dan bersolek menyerupai wanita dan menari terkinja-kinja, ia bukan sahaja melanggar syariat, bahkan menyebabkan maruah Muslimah yang selama ini dijaga oleh Islam turut tercalar," katanya.
Malah, selalunya parodi yang dimuat naik di laman sosial cenderung mengundang komen negatif hingga mencetuskan pergaduhan dalam kalangan netizen. Ada juga yang marah apabila tindakan mereka menyokong perbuatan menyalahi ajaran Islam ditegur.
Tegur cara baik
Wan Dazrin berkata, cara terbaik membuat teguran adalah dengan memberi nasihat kepada pihak yang melakukan kesalahan, tetapi untuk isu membabitkan aksi parodi yang sudah menjadi tatapan umum, menasihat secara terbuka boleh dibuat.
Katanya, tujuan teguran itu bukan untuk mengaibkan, sebaliknya menyampaikan nasihat supaya kesilapan berlaku dapat diperbetulkan dan pada masa sama, mengelak lebih ramai terjebak dalam rantaian dosa akibat komen negatif serta perbalahan di laman sosial.
"Jika parodi yang dibuat itu mendatangkan kesan positif atau memberikan inspirasi kepada masyarakat secara amnya, ia diharuskan dalam Islam.
"Islam tidak melarang apa juga bentuk hiburan, tetapi biarlah yang memberi faedah. Alangkah baiknya jika kita menghasilkan parodi yang menggalakkan masyarakat mengamalkan sunah Rasulullah SAW," katanya.
INFO: Panduan Islam dalam seni parodi
Pastikan parodi tidak mengaibkan orang lain.
Selidik dahulu bahan parodi sama ada bertentangan atau dibenarkan Islam.
Sebaiknya, hasilkan parodi yang memberi impak positif dengan cara betul.
No comments
Post a Comment