PKPS Mungkin Ditutup Operasi Projek Jika Tidak Menguntungkan

SHAH ALAM, 20 Julai - Kerajaan negeri mungkin menamatkan operasi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) kerana didapati tidak mencapai matlamat yang ditetapkan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, banyak projek komersial tajaan PKPS, tidak memberi faedah kepada rakyat, malah sebahagiannya pula gagal dilaksanakan.

“Saya akan, bukan PKPS, tapi kalau ada usahasama dan juga ada projek-projek yang tidak mencapai target, dan tidak juga tidak menolong rakyat, salah satu cara yang sebaik-baiknya ia mesti dilakukan ialah menutup operasi tersebut dan menggantikan dengan operasi-operasi yang lain. Serupa juga dalam syarikat-syarikat swasta, perkara menutup syarikat bukan satu perkara yang aneh, tapi mesti dijalankan untuk memperbaiki lagi kerja-kerja yang dilakukan oleh PKPS ataupun pertubuhan syarikat pertanian tersebut”, kata Abdul Khalid.

Demikian, kata Tan Sri Abdul Khalid kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan, Jabatan Kerajaan Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam, pagi tadi.

Dalam laporan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Negeri Selangor pada April lalu, jelas menunjukkan banyak projek tajaan PKPS tidak menguntungkan.

Antaranya, projek Ladang Herbatorium Selangor seluas 40 hektar yang terletak di Hutan Simpan Rantau Panjang sudah dikenal pasti gagal dan operasi ladang tersebut ditutup kerana tanaman cili merah diserang penyakit, manakala serai tidak membawa hasil yang lumayan.

Sebelum itu, tujuan projek tersebut dijalankan untuk membuat kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang perladangan herba secara komersial menjelang 2010.

Namun, setelah pengurusan anak syarikat PKPS iaitu Polens (M) Sdn Bhd diambil alih pada November 2007, aktiviti penanaman herba yang bernilai lebih 865 ribu ringgit, diubah kepada tanaman serai dan cili merah yang dikatakan memberi pulangan yang lebih tinggi berbanding herba.

Selain itu, terdapat beberapa lagi projek PKPS yang gagal mencapai matlamatnya iaitu Program Perhutanan Semula seluas 5 ribu hektar di Hutan Simpan Rantau Panjang (Batu Arang) dan kegiatan pembalakan di Hutan Simpan Sungai Jelok, Hulu Selangor.

Kedua projek utama tersebut dipercayai banyak berlaku penyalahgunaan kuasa terhadap pajakan tanah kerajaan negeri yang diamanahkan kepada PKPS sebelum diserahkan kepada pihak ketiga iaitu sub kontraktor. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

No comments

Powered by Blogger.