Scomi Terima Anugerah Pemegang Lesen Terbaik VAM Di Perancis

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Scomi baru-baru ini menerima anugerah "Pemegang Lesen Terbaik VAM" daripada Vallourec & Mannesmann Oil & Gas France (V&M), pengeluar produk barangan tiub negara minyak (OCTG) utama dunia di Valenciennes, Perancis.

Anugerah itu diberikan kepada Scomi OMS Oilfield Services Pte Ltd, anak syarikat Scomi Engineering Bhd yang berpangkalan di Singapura, kata Scomi Engineering dalam satu kenyataan.

Scomi OMS merupakan pengeluar OCTG berlesen daripada VAM Services, bahagian V&M yang menguruskan rangkaian lebih 150 pemegang lesen seluruh dunia.

"Kami gembira untuk memaklumkan bahawa Scomi OMS Singapore Machine Shop bersaing dengan lebih 150 syarikat seluruh dunia untuk meraih anugerah berprestij "Pemegang Lesen Terbaik Keseluruhan"," kata Naib Presiden Kanan Scomi OMS, Alan Tan.

Beliau berkata pengiktirafan antarabangsa itu merupakan bukti jelas keupayaan Scomi OMS dan faktor pendorong utama kepada pasukannya.

Dengan pengalaman selama lebih 30 tahun sebagai pemegang lesen VAM, Scomi OMS Singapore mempunyai pengetahuan luas tentang produk itu, katanya.

Bagi memastikan standard kualiti tinggi dicapai, VAM Services menyediakan sokongan teknikal, latihan, penghantaran dokumentasi dan alat mengukur, dan audit tetap kepada semua pemegang lesennya di seluruh dunia.

Anugerah-anugerah diberikan kepada pemegang lesen terpilih sebagai pengiktirafan ke atas sumbangan cemerlang mereka dan penyediaan berkualiti tinggi semasa tahun audit.

-- BERNAMA

wow!

No comments

Powered by Blogger.