Remaja bunuh anak guru tuisyen kekal dipenjara: Mahkamah

PUTRAJAYA: Seorang remaja yang disabitkan kesalahan membunuh anak perempuan guru tuisyennya pada 2002 akan kekal dipenjara selama diperkenan Yang di-Pertuan Agong, selepas kehabisan semua ruang yang ada bagi mengisytiharkan bahawa hukuman itu, mengikut Akta Kanak-kanak, melanggar perlembagaan.

Remaja lelaki itu, kini berumur 20 tahun, memohon Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan pembebasannya pada 25 Julai 2007, selepas mengisytiharkan Seksyen 97 (2) akta itu, yang memperuntukkan kuasa untuk menahan pesalah bawah umur yang disabitkan kesalahan membunuh selama diperkenan Yang di-Pertuan Agong, melanggar perlembagaan.

Mahkamah Persekutuan hari ini, mendengar permohonan remaja lelaki itu bagi semakan terhadap keputusannya pada 23 Oktober 2007, yang membatalkan perintah Mahkamah Rayuan.

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria dan dua Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri S Augustine Paul dan Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusoff, sebulat suara memutuskan kes itu bukan kes yang luar biasa sehingga memerlukan mahkamah tertinggi itu melaksanakan bidang kuasanya untuk menyemak keputusannya yang terdahulu mengikut Peraturan 137, Peraturan-peraturan Mahkamah Persekutuan 1995.

Hakim Arifin berkata, hujahan yang dikemukakan peguam yang mewakili remaja itu, Karpal Singh, mengenai doktrin pemisahan kuasa sudah pun dibangkitkan dan dipertimbangkan oleh panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini.

Pada 2003, Mahkamah Tinggi memerintahkan remaja lelaki itu ditahan selama perkenan Yang di-Pertuan Agong selepas mensabitkannya dengan kesalahan membunuh dengan menikam sebanyak 24 kali anak perempuan guru tuisyennya yang berumur 11 tahun di rumah gurunya itu di Taman Sri Rampai di Wangsa Maju antara 3.30 petang dan 4.30 petang pada 30 Mei, 2002.

Remaja itu berumur 12 tahun ketika dia melakukan kesalahan itu.

Kes itu menjadi tumpuan pada 2007 apabila Hakim Mahkamah Rayuan pada ketika itu, Datuk Gopal Sri Ram (kini hakim Mahkamah Persekutuan), dalam keputusan penting, memutuskan Seksyen 92 (2) Akta Kanak-kanak melanggar perlembagaan kerana ia memberi kuasa eksekutif untuk menjatuhkan hukuman terhadap kanak-kanak yang melakukan pembunuhan.

Beliau berkata, ia melanggar doktrin pemisahan kuasa seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sri Ram memutuskan mahkamah-mahkamah mesti mempunyai kuasa eksklusif untuk mendapati seseorang itu bersalah membunuh dan kemudian mengenakan hukuman, dan ia tidak boleh sembarangan mensabitkan seseorang tetapi menyerahkan tanggungjawab melaksanakan hukuman kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau gabenor yang bertindak atas nasihat eksekutif.

Sri Ram mengekalkan sabitan itu, menyatakan terdapat "banyak" keterangan terhadap budak lelaki itu tetapi membebaskannya selepas memutuskan tidak terdapat undang-undang yang memperuntukkan hukuman kepada kanak-kanak yang disabitkan kesalahan membunuh.

Dalam hujahannya hari ini, Karpal Singh berkata, Mahkamah Persekutuan patut melaksanakan bidang kuasanya untuk menyemak kes itu kerana terdapat perbezaan pendapat di pihak kerajaan dan badan kehakiman mengenai doktrin pemisahan kuasa.

Katanya, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa doktrin pemisahan kuasa bukan satu ketetapan dalam perlembagaan negara.

Bagaimanapun, katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata di Dewan Rakyat pada 23 Jun bahawa eksekutif berpandangan bahawa doktrin pemisahan wujud dalam negara ini.

"Tidak kah ini menjadikannya satu kes yang luar biasa bagi Mahkamah Persekutuan untuk membuat semakan? Mahkamah Persekutuan sepatutnya bersedia untuk berbuat demikian," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin menggesa mahkamah menolak permohonan semakan itu kerana menurutnya tidak berlaku sebarang salah arahan atau ketidakadilan dalam kes itu yang memerlukan mahkamah tertinggi itu untuk menjalankan bidang kuasanya untuk menyemak kes itu.

Katanya, tidak timbul isu pelanggaran terhadap doktrin pemisahan kerana perkara itu sudah diteliti oleh panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini dan sebarang campur tangan oleh panel hari ini akan hanya membabitkan perbezaan pendapat saja.

Perlu ada noktah muktamad terhadap kes ini, katanya. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.