Rakyat mahu tahu justifikasi PKFZ, kata Soi Lek

Mengulas sokongan menteri dan timbalan menteri MCA kepada presiden MCA yang juga menteri pengangkutan dalam menangani skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Timbalan Presiden, Datuk Sri Dr Chua Soi Lek berkata, yang lebih penting ialah sama ada wang rakyat telah dibelanjakan dengan betul.

Katanya, rakyat mahu tahu sama ada wujud justifikasi kos projek PKFZ, sama ada ianya berdaya maju dan sama ada berlaku salahguna wang rakyat.

"Kita perlu memastikan bahawa wang rakyat dibelanjakan dengan betul," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Ringkasnya, bagaimana kita hendak bergerak ke hadapan supaya kontroversi PKFZ boleh ditangani tanpa menjejaskan imej kerajaan BN," tambah Chua.

Sebagai presiden MCA, katanya, Tee Keat boleh mendapatkan semua menteri dan timbalan menteri (MCA) menandatangani kenyataan menyokongnya.

"Mereka semua dilantik oleh perdana menteri dengan sokongan presiden," katanya.

Ulas sokongan menteri

Hari ini, kesemua tiga menteri dan tujuh timbalan menteri MCA mengeluarkan kenyataan bersama, menegaskan sokongan penuh mereka kepada Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat yang juga menteri pengangkutan dalam tindakannya menangani isu mengenai PKFZ.

Dalam satu kenyataan itu, mereka berkata, sekarang adalah masa yang sesuai bagi mereka menyatakan sokongan kepada kepada Tee Keat.

Tiga menteri berkenaan ialah Datuk Seri Kong Cho Ha, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Manakala tujuh timbalan menteri itu ialah Datuk Dr Wee Ka Siong, Datuk Dr Hou Kok Chung, Datin Paduka Chew Mei Fun, Wee Jeck Seng, Datuk Chor Chee Heung, Datuk Lee Chee Leong dan Heng Seai Kie.

Dalam kenyataan itu, menteri dan timbalan menteri itu berkata mereka bersetuju dengan pendirian Ong bahawa kepentingan orang ramai perlu diutamakan dalam mencari penyelesaian kepada isu tersebut.

Oleh itu, kata mereka, pihak-pihak yang menghalang, mengugut dan menyembunyikan kebenaran serta mengelirukan rakyat, mesti dikecam sehebat mungkin.

Malah, katanya, Ong merupakan "pilihan yang jelas" untuk menerajui usaha MCA memulihkan kredibiliti dan sokongan rakyat Malaysia, termasuk masyarakat Cina.

malaysiakini

No comments

Powered by Blogger.