Kelemahan Palanivel dan kemaraan Samy Vellu serlah sandiwara MIC konon bela masyarakat india
SHAH ALAM, 5 DISEMBER: Masyarakat India dingatkan dengan ‘wayang sandiwara’ yang sedang berlaku antara MIC dan UMNO bertujuan agar parti itu dilihat prihatin terhadap masalah yang dihadapi komuniti berkenaan.
Pada masa yang sama, bekas Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu pula dilihat cuba mengambil kesempatan ‘melobi’ Perdana Menteri, Najib Razak untuk tujuan politik akibat kelemahan Presiden MIC, Datuk G.Palanivel yang gagal memperkasa dan mengukuhkan kedudukannya dalam parti.
Hakikatnya, biarpun hampir 30 tahun bekas Presiden MIC itu menjadi wakil dalam kabinet sebagai Menteri Kerja Raya, masyarakat India di Malaysia tidak dapat pembelaan wajar malah dipinggir kerajaan BN secara berterusan untuk bersaing secara sihat dan adil kata Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Alam Shah, M. Manoharan dalam satu tulisannya.
“Ia terbukti dengan pelbagai masalah yang makin membimbangkan seperti peningkatan kadar jenayah di kalangan belia India, perobohan kuil Hindu secara berleluasa, masalah peluang pekerjaan dalam sektor awam mahu pun swasta, masalah pendidikan dan sekolah aliran Tamil termasuk pengurangan kepentingan pemilikan korporat masyarakat berkenaan.” katanya.
PR berjaya bela minoriti India
Menurut Manoharan, lain pula yang berlaku di Selangor di bawah pentadbiran PR. Walaupun baru mengambil alih pentadbiran, kerajaan negeri berjaya menyelesaikan antara masalah asas masyarakat India dengan memperuntukan sebanyak RM4 juta kepada sekolah Tamil dan RM2 juta untuk kuil Hindu.
“SRJK(T) Midlands diubahsuai beserta pembinaan sebuah pusat konvensyen. Ini menjadi kebanggaan masyarakat India dan ia melakar sejarah pertama di Malaysia di mana wujudnya sebuah sekolah berasrama penuh Tamil di Ijok.” ujarnya.
Ini tidak termasuk program Merakyatkan Ekonomi Selangor seperti skim mikrokredit, TAWAS, bekalan air percuma 20 meter padu, Bantuan Anak Pekerja Ladang, Hadiah Masuk Universiti dan sebagainya.
Minoriti India jadi ‘pelarian’ di negaranya sendiri, Samy Vellu membisu
ADUN Kota Alam Shah itu turut menyentuh mengenai dilema masyarakat India yang berada di kawasan estet yang mana kebergantungan hidup sebahagian mereka terancam akibat pembangunan tanpa pelan rancangan perpindahan, perumahan dan sosial yang wajar.
“Akibat pemusnahan estet bagi tujuan pembangunan itu, sebahagian komuniti India yang mendiami kawasan itu menjadi ‘pelarian’ di negara sendiri,
“Dalam kebanyakan kes sebegini, biasanya ia banyak berlaku di negeri BN dan dilakukan syarikat milik mereka.” jelas beliau.
Beliau mengambil contoh bagaimana pembinaan Putrajaya dan Cyberjaya mengorbankan lima ladang besar tetapi tidak dipedulikan Presiden MIC ketika itu yang dilihat membisu.
“Keadaan menjadi lebih buruk apabila bekas pekerja ladang ini ditempatkan di kediaman rumah kos rendah yang jauh daripada sekolah, tempat ibadat dan kemudahan lain yang mengakibatkan kesusahan.” ujar beliau.
Tambahnya, Samy Vellu sendiri pernah terbabit dalam rampasan tanah yang diperuntukkan untuk sekolah Effingham, Bandar Utama Petaling Jaya satu ketika dulu dan sehingga kini, isu itu masih belum selesai.
“Samy Vellu dan MIC gagal membela masyarakat India. Kini, mereka berpura-pura ‘bersandiwara’ dengan UMNO untuk menagih semula sokongan pengundi yang hilang sejak PRU 2008,
“Apa yang berlaku sekarang ibarat anai-anai yang cuba keluar dari sarangnya.” ujar beliau. -Roketkini.com
No comments
Post a Comment