DAP harungi kempen fitnah PRU13 dengan jayanya. Oleh Mahdzir Ibrahim



KALI ini DAP bukan sahaja mendapat kerusi Parlimen terbanyak dalam sejarah, tetapi kejayaan ini diperoleh dalam suatu fenomena yang luar biasa iaitu ketika ia mendapat liputan terburuk dan paling meluas dalam media massa. Ini juga satu sejarah.

Sejak tsunami politik 2008 (PRU12), musuh politik DAP iaitu Barisan Nasional (BN) gandingan UMNO, MCA dan Perkasa serta sekutu BN dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain, telah memberi perhatian ‘istimewa’ kepada parti ini.

Apabila Pulau Pinang berjaya diperintah Pakatan Rakyat yang diterajui DAP pada 2008, semakin tinggi minat BN untuk memulakan kempen buruknya ke atas DAP. Ia berlarutan sehingga pada Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei lalu.

Sepanjang lima tahun pentadbiran PR di Pulau Pinang, tiada langsung laporan yang baik yang disiar Utusan Malaysia, TV3, RTM dan semua media kawalan BN. Semuanya buruk, semuanya tidak kena. Seolah-olah, rakyat Pulau Pinang dan Selangor telah memilih kerajaan ‘Komunis’ lagaknya.

Hampir setiap minggu selama lima tahun kempen memburuk-burukan kerajaan PR, DAP dan Lim Guan Eng berjalan. Jika kita ‘google’ nama DAP di internet, pasti akan keluar segala macam tajuk berita yang sangat buruk. Itu kempen ‘massa’, belum masuk lagi kempen saraf menerusi rakaman video amatur, surat layang dan pelbagai lagi kempen bawah tanahnya. Inilah yang dikatakan sebagai kempen dahsyat yang dilakukan secara intensif oleh BN terhadap DAP.

Namun, dalam segala kempen hina, fitnah dan buruk ini, Pakatan Rakyat khususnya DAP berjaya mengharunginya dengan tabah, sabar dan sukses sekali. Ini juga menjadi manifestasi kegagalan BN, ini juga menjadi indikasi bahawa rakyat sudah bijak dan tahu memilih dan menyaring maklumat.

Buktinya, kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri bagi DAP meningkat berbanding sebelumnya PRU-11 hanya 12 kerusi Parlimen, PRU-12, 27kerusi Parlimen dan PRU-13/38 kerusi Parlimen.

Peratusan undi DAP juga meningkat pada PRU-11 daripada 9.9 peratus kepada 13.77 peratus pada PRU-12 dan meningkat lagi sebanyak 15.71 peratus pada PRU-13, ini termasuk peratusan sokongan pengundi Melayu kepada PR dan DAP meningkat dengan undi popular sebanyak 51% berbanding BN hanya 49%. Apakah maksud semua ini jikalau ia bukan satu kejayaan?

Walaupun BN masih kekal di tampok kuasa dengan mendapat lebih kerusi Parlimen menerusi silap matanya, itu tidak bermakna kita tewas. Sebaliknya dalam keadaan serba kekurangan, kekangan, had masa dan kempen kotor BN yang didukung dengan segala bala jenteranya, namun DAP tetap menambah kerusi Parlimen dan undi popular.

Dalam diam, BN menyedari akan keadaan ini. Kempen kotor mereka gagal, kempen fitnah mereka sudah buntu. Kita akan terus mara ke hadapan.-Roketkini.com

Mahdzir Ibrahim kini adalah Setiausaha Politik kepada Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP Malaysia, Liew Chin Tong.

No comments

Powered by Blogger.