Kenyataan Media Khas YB Azmin Ali

 http://azminali.com/blog/wp-content/uploads/2013/05/20130510_120508.jpg

KENYATAAN MEDIA | 10 MEI 2013

Dalam masa 48 jam yang lalu, pelbagai khabar angin beredar di kalangan media, internet dan media sosial berkenaan kedudukan saya sebagai Timbalan Presiden KEADILAN dan kesetiaan saya kepada Pakatan Rakyat di peringkat Negeri dan Persekutuan. Khabar – khabar angin ini menggambarkan saya akan meletakkan jawatan dalam Parti dan sebagai wakil rakyat yang dipilih sebagai Ahli Dewan Negeri dan Ahli Parlimen.

Saya percaya khabar – khabar angin ini dimulakan oleh UMNO – BN. Dari khabar – khabar angin ini, mereka ingin menuduh saya sebagai individu yang tidak bertanggungjawab, yang akan meninggalkan Parti untuk kepentingan material dan kedudukan politik, seterusnya mengkhianati amanah yang diberikan kepada saya oleh rakyat.

Khabar – khabar angin ini adalah berkaitan dengan isu perlantikan Menteri Besar Selangor. Mereka telah bekerja bersungguh – sungguh untuk membina pesepsi bahawa saya terlalu kemaruk untuk menjadi Menteri Besar Selangor dan saya akan menyertai UMNO sekiranya saya tidak mendapat jawatan tersebut. Fitnah ini adalah satu penghinaan terhadap integriti saya. Cita – cita kepada jawatan politik bukanlah satu jenayah. Bahkan ianya satu motivasi kepada setiap orang yang terjun ke dalam kancah politik. Dengan syarat cita – cita tersebut mestilah berlandaskan niat untuk berkhidmat kepada rakyat dengan lebih baik dan lebih berkesan.

Hasrat untuk memegang jawatan termasuk jawatan Menteri Besar semestinya tidak didorong oleh motif peribadi untuk bermegah – megah dan memperolehi kekuasaan. Motif tersebut akan merosakkan jiwa, merendahkan martabat diri dan mengaburkan pandangan untuk melihat yang benar dari yang salah, yang baik dari yang jahat dan tidak dapat membezakan kepentingan peribadi dan kepentingan rakyat.

Rakyat Selangor telah memberikan mandat baru yang sangat meyakinkan kepada Pakatan Rakyat dalam PRU – 13. Pakatan Rakyat Selangor telah berjaya melonjakkan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri kepada 44 kerusi daripada 56 kerusi keseluruhannya berbanding dengan hanya 36 kerusi Dewan Negeri pada tahun 2008.

Usaha bertubi – tubi Dato’ Sri Najib untuk merampas Selangor bukan sahaja gagal tetapi hakikatnya Pakatan Rakyat Selangor semakin kuat. Kejayaan tersebut adalah hasil kerjasama Pakatan Rakyat yang mantap serta usaha dan penat jerih kolektif pimpinan dan anggota di Cabang dan jentera Pakatan Rakyat di semua peringkat.

Justeru kerana rakyat Selangor telah memberikan mandat sebegitu besar kepada Pakatan Rakyat maka sewajarnya mereka mendapat seorang Menteri Besar yang berwibawa untuk menjaga kepentingan rakyat Selangor. Seorang Menteri Besar yang membuka pintu pejabat kepada Ahli – Ahli Dewan Negeri dan Ahli Parlimen Negeri Selangor kerana mereka dipilih oleh rakyat dan bertanggungjawab kepada kepentingan pengundi-pengundi mereka.

Seorang Menteri Besar yang tidak mempunyai prasangka buruk terhadap masyarakat perniagaan kerana mereka adalah penjana pertumbuhan ekonomi, pencipta kekayaan dan pekerjaan.

Dalam penggal kedua, Pakatan Rakyat perlu melakukan reformasi pentadbiran. Kita bersyukur dengan rizab bernilai RM 2.6 bilion. Namun, rakyat menuntut pentadbiran bersikap responsif terhadap permasalahan rakyat. Isu jalan berlubang, sampah yang tidak dipungut, masalah bekalan air, bencana alam seperti banjir harus diselesaikan dengan kadar segera sebaik mandat baru diterima.

Kegagalan untuk respon kepada usaha menangani masalah rakyat telahpun dibawa kepada perbincangan dalam kepimpinan Parti. Maka, mandat baru rakyat menuntut satu kepimpinan kuat dan segera menyelesaikan masalah rakyat sebagai tanda penghargaan Pakatan Rakyat kepada rakyat yang mendukung dasar – dasar Pakatan Rakyat yang berasaskan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan pengagihan yang adil.

Saya ingin menafikan tohmahan yang dilontarkan oleh pihak – pihak yang tidak bertanggungjawab kononnya saya kemaruk dengan jawatan Menteri Besar. Sekiranya saya kemaruk dengan jawatan tersebut saya telah menjadi Menteri Besar Selangor pada tahun 2008 menyusul Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh, yang mana Dato’ Seri Anwar sendiri telah meminta saya bersedia untuk menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim kerana parti sangat tidak berpuas hati dengan prestasi Menteri Besar Negeri Selangor. Aduan diterima dari penjawat awam dan masyarakat perniagaan yang merungut dengan amalan birokrasi yang melampau dan bukan pentadbiran yang bersifat reformasi. Tetapi saya dengan tegas menolak arahan tersebut kerana ia akan mengoncang kestabilan parti.

Saya sendiri mencadangkan kepada Biro Politik untuk melantik Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi bagi membantu melicinkan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.

Semalam saya telah memanggil mesyuarat tergempar Majlis Pimpinan Negeri Selangor untuk mendengar pandangan pimpinan dan akar umbi. Saya telah digesa oleh rakan – rakan pimpinan untuk berkongsi maklumat bagi menjamin parti terus berada di atas idealisme perjuangan.

Saya tegaskan sekali lagi bahawa isunya bukanlah Azmin Ali dipilih sebagai Menteri Besar Negeri Selangor. Isunya adalah proses pemilihan calon tersebut untuk dipersembahkan kepada DYMM Sultan Selangor mestilah melalui consultation yang telus seperti yang dituntut oleh al-Quran Surah Assura ayat 38: Dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka. Jelas dalam proses memilih calon Menteri Besar anjuran al – Quran ini tidak dipatuhi.

Saya tidak mahu amalan nepotisme membudaya dalam KEADILAN. KEADILAN adalah sebuah parti reformasi.

Saya seorang yang setia dengan prinsip – prinsip perjuangan parti. KEADILAN bukan milik individu atau keluarga tertentu. Parti ini adalah milik rakyat. Apabila parti ini menyimpang dari prinsip maka ia akan ditinggalkan oleh rakyat. Oleh kerana itu, setiap kesilapan yang berlaku itu harus ditegur demi kepentingan parti secara keseluruhannya.

Saya sekali lagi ingin menegaskan bahawa saya tidak pernah menjadi pemimpin UMNO dan saya hanya berkhidmat kepada seorang tokoh UMNO yang saya yakin berwibawa, memiliki gagasan, berintegriti dan layak menjadi Perdana Menteri Malaysia. Bahkan apabila ada desas desus supaya KEADILAN berunding dengan UMNO atas nama perpaduan Melayu, saya menolaknya dengan menegaskan bahawa KEADILAN bukanlah sebuah parti Melayu. KEADILAN adalah sebuah parti pelbagai kaum yang berteraskan nilai – nilai Islam dan nilai – nilai universal.

Saya mengucapkan terima kasih kepada anggota – anggota Parti dan pimpinan yang memberikan semangat dan dorongan kepada saya untuk meneruskan perjuangan. Saya juga komited dengan prinsip musyawarah dalam parti di mana bila keputusan telah dibuat maka ianya mestilah dipatuhi oleh semua pihak tanpa kecuali. Tidak ada pimpinan yang maksum dan sacrosant yang bebas daripada penilaian ahli parti dan rakyat.

Saya ingin mengulangi kata – kata Dato’ Seri Anwar Ibrahim iaitu kepimpinan itu adalah satu taklif dan bukan tashrif, adalah satu tanggungjawab dan bukan satu keistimewaan.

Negeri Selangor adalah sebuah Negeri yang kaya dengan sumber dan mempunyai kekuatan kewangan untuk mengundang bakat – bakat politik, ekonomi, intelektual dan budayawan untuk merumuskan dasar – dasar Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat mempunyai ramai tokoh – tokoh yang berkelayakan yang gigih berjuang. Mereka ini adalah aset Pakatan Rakyat yang boleh digembeling demi kemaslahatan rakyat dan memastikan kemenangan Pakatan Rakyat dalam PRU – 14 nanti.

Saya ingin mengucapkan setinggi penghargaan kepada semua jentera parti dan Pakatan Rakyat yang memastikan kemenangan Pakatan Rakyat di Negeri Selangor pada PRU – 13. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh penjawat awam Negeri Selangor yang telah bertindak secara professional untuk melaksanakan dasar – dasar Pakatan Rakyat sepanjang 5 tahun yang lepas. Marilah kita sama – sama berdoa ke hadrat Allah S.W.T agar kita sentiasa istiqamah dengan idealisme dan perjuangan Pakatan Rakyat.
Akhir sekali, kepada saudagar khabar angin ini, saya ingin menegaskan bahawa saya akan meneruskan perjuangan dengan lebih gigih lagi. Saya tidak berhasrat untuk meletakkan jawatan dari jawatan parti dan wakil rakyat apatah lagi meninggalkan perjuangan rakyat ini.

Mohamed Azmin bin Ali
Timbalan Presiden

No comments

Powered by Blogger.