Jawi nafi akan beri kebenaran empat finalis ratu cantik bertanding semula


KUALA LUMPUR - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hari ini menafikan akan memberi kebenaran kepada empat finalis Miss Malaysia World 2013 yang beragama Islam menyertai semula pertandingan berkenaan seperti dilaporkan sebuah portal tempatan baru-baru ini.

Pengarahnya, Datuk Che Mat Che Ali berkata, Jawi sehingga kini belum membuat keputusan berhubung isu itu memandangkan ia masih dalam siasatan.

"Perkara ini memang kita tidak boleh terima. Ini hanya spekulasi. Kertas siasatan hanya akan selesai sebelum Hari Raya Aidil Fitri berhubung tindakan selanjutnya terhadap empat peserta itu yang hanya akan dibuat oleh pihak pendakwaan Jawi kepada mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelepasan konvoi program kembara Dakwah Ramadan ke Rumah Anak-anak Yatim Al-Ihsan, Bentong, Pahang di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Razali Shahabudin. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.