Bukti Mursi tidak dikongkong


MUHAMAD MAT YAKIM

SHAH ALAM - Kenyataan seorang profesor sains politik dari Mesir yang mendakwa Dr Mohamed Mursi terpaksa digulingkan kerana beliau mengecewakan majoriti rakyat negara itu yang memilihnya pada pilihan raya presiden tahun lalu lantaran terlalu memberi ruang kepada Ikhwanul Muslimin untuk memerintah, dicabar pakar politik Timur Tengah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik.

Menurut Maszlee, apa yang disebut oleh Prof Dr Mohammad Selim, saintis politik dari Universiti Kaherah itu sama dengan propaganda kumpulan penentang Mursi, Tamarood yang mendakwa Mursi sekadar jadi 'pak turut' kepada pemimpin Ikhwanul Muslimin yang lain sedangkan rakyat Mesir memilih beliau untuk jadi presiden mereka, bukan Ikhwan Muslimin.

"Mursi dituduh oleh Tamarood sebagai presiden yang tidak berkuasa sebaliknya yang berkuasa adalah Ikhwanul Muslimin. Dari sudut mana dikatakan begitu?

Dalam membuat keputusan, setiap keputusan Mursi dibuat bersama Majlis Penasihat Presiden. Dalam majis itu, hanya seorang saja wakil Ikhwanul Muslimin iaitu Wael Haddad. Itu pun Wael Haddad adalah penasihat Mursi dalam hal hubungan antarabangsa. Anggota Majlis Penasihat lain pelbagai latar belakang, ada wakil Kristian Koptik, wanita, teknokrat, Salafi."

Paling jelas, kata Maszlee, Mursi malah pernah menawarkan jawatan timbalan presiden kepada Mohamed El Bardaei, pesaingnya dalam pilihan raya.

"Bukan El Bardaie saja, calon-calon lain juga ditawarkannya jawatan, satu bukti komitmennya untuk perpaduan dalam politik Mesir. Satu lagi bukti ialah beliau tidak meletak orang Ikhwan sebagai Menteri Pertahanan, posisi yang sangat penting untuk pemerintahannya sebaliknya beliau lainti Abdel Fattah Al Sisi. Beliau gantikan Hussain Tantawi dengan Al Fattah yang akhirnya menggulingkan beliau.

"Jadi di mana boleh dikatakan Mursi memerintah dengan ikut telunjuk Ikhwan? Itu yang saya tidak faham," katanya. Maszlee menjelaskan demikian kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Selain itu kata Maszlee, perkara yang paling nyata pada era Mursi ialah Perdana Menteri Mesir, Hisham Kandil bukan orang Ikhwan.

"Beliau juga tidak melantik rakannya, Muin Abdel Futuh yang keluar meninggalkan Ikhwan ke Kabinet atau Majlis Penasihat Presiden. Terlalu banyak fakta untuk menyangkal kenyataan seperti itu," katanya.

Sebenarnya jelas Maszlee ada banyak bukti untuk dijadikan hujah penggulingan Mursi dirancang, didalangi oleh saki baki rejim Mubarak dan juga kaitan dengan kuasa asing.

"Apabila berlaku revolusi 25 Januari 2011 yang menyaksikan jatuhnya bekas Presiden Hosni Mubarak, kita tidak boleh anggap bahawa revolusi itu sudah sempurna. Ini kerana walaupun kepala (Mubarak) sudah dibuang, badan dan ekornya masih yang lama. Jadi keadaan tidak banyak berubah seperti apa yang disangka.

"Bayangkanlah, polis terutama daripada Cawangan Khas (SB) yang sudah sekian lama melindungi seorang diktator (Mubarak), terpaksa menghadapi perubahan besar untuk berkhidmat kepada rakyat di bawah pentadbiran Mursi. Begitu juga tentera. Inilah yang mungkin jadi masalah bagi mereka, walaupun Mursi tidak mengongkong mereka sebagaimana di bawah rejim Mubarak."

Lebih ketara, kata Maszlee, di bawah pemerintahan Mursi juga, pejabat Ikhwanul Muslimin di seluruh Mesir diserang, diceroboh, dibakar dan dirompak oleh kumpulan samseng yang dikenali sebagai Baltajia.

"Sungguh pun demikian, polis tidak ambil tindakan, biarkan saja. Inikah apa yang dikatakan Ikhwanul Muslimin menguasai pentadbiran Mursi sedangkan dalam keadaan keselamatan mereka sendiri diancam oleh samseng pun, polis tidak buat apa-apa sedangkan presiden orang mereka?" tanya Maszlee.

Selain itu, kata Maszlee, media juga rata-ratanya masih dikuasai oleh penerbit dan editor yang pro Mubarak. Ini termasuk Naguib Sawiris, taikun media Mesir daripada etnik Kristian Koptik yang diketahui bersikap anti Mursi dan anti Ikhwanul Muslimin.

"Sewaktu revolusi 25 Januari 2011, Banyak gereja diserang tetapi polis tidak ambil tindakan kerana apa yang saya andaikan, mereka sengaja mahu beri gambaran buruk kepada revolusi tersebut. Di Mesir, politik mereka tidak kreatif. Sejak zaman Gamel Abdel Nasir yang naik jadi presiden selepas rampasan kuasa tentera pada 1952, seluruh dunia dimomokkan Ikhwanul Muslimin kumpulan yang ganas.

"Mereka tidak ada skrip baru dan ini menyebabkan pihak luar, media antarabangsa, kumpulan hak asasi sesetengahnya sudah tak larat nak layan Mesir. Kita amat sedih apabila seorang profesor universiti (Selim) pun tidak boleh berfikir out of the box (di luar kotak)," katanya.

Sebenarnya, kata Maszlee apa yang paling jelas di sebalik penggulingan Mursi ialah tangan ghaib pihak yang terjejas sejak pemimpin Ikhwan itu naik sebagai Presiden Mesir.

"Ini sudah tentu AS dan Israel. Paling nyata, dalam tempoh setahun saja jadi presiden, Mursi dengan berani telah menyanggah telunjuk AS yang menetapkan peraturan bahawa negara itu tidak boleh menanam gandum lebih daripada 20 peratus yang diperlukan rakyatnya. Peraturan ini termaktub dalam Perjanjian Camp David yang dimeterai pada 1978.

"Tetapi Mesir di bawah pemerintahan Mursi yang singkat itu, berjaya mengeluarkan gandum sehingga 60 peratus dengan bantuan Rusia. Mesir juga pada era Mursi mengikut model ekonomi Malaysia, 'dasar pandang ke Timur' ketika di bawah Tun Dr Mahathir dengan menjalin hubungan dagang dengan Rusia, China, Jepun dan Singapura.

Juga negara Selatan antaranya Brazil, Chile dan Venezuela. Ini yang tidak digemari oleh AS. Mereka bimbang jika Mesir terus dibiarkan dalam tangan Mursi, republik itu mungkin akan jadi Turki kedua," katanya.

No comments

Powered by Blogger.