Hapuskan campur tangan politik dalam MAS

Oleh: Mohd Arif Juhani

KUALA LUMPUR 26 Ogos: Syarikat Penerbangan Malaysian Airlines (MAS) tidak perlu melantik tenaga asing dalam beberapa jawatan penting untuk memulihkan syarikat itu kerana Malaysia mempunyai banyak kepakaran tempatan.

Sebaliknya, kata Ahli Majlis Perwakilan Pusat (MPP) KEADILAN, Datuk Johari Abdul, MAS perlu menghakis campur tangan ahli politik dalam syarikat penerbangan negara itu.

“Kita mempunyai banyak contoh seperti syarikat penerbangan AirAsia yang dikendalikan oleh Tan Sri Tony Fernandes dan AirAsia X yang juga dimiliki oleh anak tempatan tetapi mereka berjaya mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa,” ujarnya ketika dihubungi.
Beliau mengulas kontroversi berhubung pelantikan PlaneConsult sebagai perunding dan melantik lapan warga asing untuk memegang beberapa jawatan penting dalam MAS.

Menurut Johari, beliau tidak menolak keperluan mendapatkan kepakaran asing sekiranya diperlukan tetapi tindakan itu tidak seharusnya mengabaikan potensi anak tempatan.
Menurutnya lagi, masalah yang dihadapi MAS bukan berpunca daripada pengurusan syarikat sebaliknya hasil campurtangan politik kerajaan.

“Semasa Bekas Pengarah Urusannya, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman memimpin MAS, kita lihat prestasi syarikat itu begitu memberangsangkan.

“Tetapi selepas Tun Dr Mahathir Mohamad campur tangan dengan melantik Tan Sri Tajudin Ramli sebagai pengarah urusan, kedudukan MAS jatuh merudum sehingga hari ini. Jadi ini iktibar yang harus difahami oleh pengurusan MAS,” kata Ahli Parlimen Sungai Petani itu.

Dalam pada itu, beliau percaya bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan sedaya upaya mendesak kerajaan menswastakan MAS, sepertimana disuarakan baru-baru ini.

“Beliau merupakan seorang manusia yang tidak pernah puas dengan apa juga yang dimiliki,” ujar Ahli Parlimen Sungai Petani itu.
Menurut Johari, desakan Mahathir supaya MAS dijual bertujuan membuat keuntungan berjuta-juta ringgit melalui modal yang diberikan kerajaan.

“Tetapi kita tahu, jika GLC ini bankrap walaupun selepas diswastakan, kerajaan jugalah yang perlu membeli semula syarikat ini manakala Mahathir pada ketika itu hanya diam membisu,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.