Cola, bukan jalan keluar – Abdul Hadi Jusoh


Saya berpandangan, cadangan pemberian Elaun Bantuan Sara Hidup (Cola) sebanyak RM300 kepada kakitangan swasta tidak akan memberikan kesan yang signifikan kepada rakyat kebanyakan. Ini kerana, peningkatan kos yang berlaku dalam produksi akan dikembalikan semula kepada pengguna/rakyat dalam bentuk kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Justifikasinya, jika dengan perlaksanaan gaji minimum pun pihak majikan sudah "tidak sen...ang duduk", apatah lagi dengan pemberian Cola.

Akibatnya nanti, Cola yang diterima bulan-bulan tidak memberikan "apa-apa makna" kepada yang menerima, bahkan terpaksa menanggung bebanan kenaikan harga barang barangkali akan melebihi nilai Cola yang diterima! Terutamanya, golongan yang tidak berpendapatan tetap di ceruk desa sana.

Cadangan saya, pihak kerajaan perlu melihat kembali "corak dan tujuan perbelanjaan" mereka agar kesan yang paling aula adalah nilai tambah kepada gaji bersih yang diterima oleh setiap pekerja, baik yang berada di sektor kerajaan mahupun swasta. Bukannya, terlalu menumpu kepada projek-projek mega tertentu yang hanya memberikan kesan signifikan kepada sebahagian kecil masyarakat serta melabarkan jurang pendapatan antara rakyat.

Namun, perkara seperti ini hanya dapat dilaksanakan oleh pemimpin yang benar-benar tinggi hikmah dan kebijaksanaannya. Bukan dengan hanya menghentam kembali rakyat dengan pelbagai kenyataan (seperti keluar dari Malaysia jika tidak suka dengan kerajaan yang ada) seolah-olah seperti sudah terlupa bahawa rakyatlah yang memilih mereka satu ketika dulu, dan akan memilih kembali empat tahun daripada sekarang. – 29 Disember, 2013.

No comments

Powered by Blogger.