Mat Sabu Dilantik Sebagai PJ Pulau Pinang

Mat Sabu dilantik Pesuruhjaya Pas P.Pinang

OLEH: JAMILAH HAMZAH

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Pas hari ini mengumumkan Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu dilantik sebagai Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, pemilihan itu bertujuan untuk meneruskan kelangsungan parti termasuk dalam konteks kerjasama dengan PR.

Menurutnya juga, faktor anak kelahiran Pulau Pinang dan biasa dengan negeri tersebut juga menjadi sebab kenapa Mohamad dipilih.

"Abang Mat (Mohamad) dia ini anak Pulau Pinang, terlalu terbiasa dengan Pulau Pinang, dan kita rasa pelantikan dia sebagai Pesuruhjaya Pulau Pinang ini Insya-ALLAH akan meneruskan lagi kerja-kerja termasuk dalam konteks hubungan dalam PR dan lain-lain.

"Oleh kerana beliau ialah timbalan presiden, saya rasa itu dapat membantu banyak dari segi menyelaraskan kerja-kerja ini, Insya-ALLAH," katanya pada sidang media, di ibu pejabat Pas, di sini, hari ini.

Jawatan itu sebelum ini dipegang oleh Datuk Mohd Salleh Man.

Dalam pada itu, apabila ditanya adakah pelantikan Mohamad atau Mat Sabu disebabkan kontroversi pada Muktamar Pas ke-59 lalu, Mustafa berkata :

"Perkara itu tak ada kena mengena.

"Ini proses biasa, setiap parti dan negeri akan ada tukar ganti ini," jelasnya.

Mustafa turut mengumumkan AJK Pas Pusat, Asmuni Awi telah dilantik sebagai Bendahari Pas bagi menggantikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

"Kita lantik Asmuni jadi bendahari ganti, Ahmad Yakob yang menolak lantikan tersebut kerana kesibukannya sebagai menteri besar.

"Bagaimanapun jawatan Pesuruhjaya Pas Kelantan, dia terima," katanya.

Mesyuarat Pas Pusat yang diadakan hari ini, turut melantik Anuar Tahir sebagai AJK Pas Pusat menggantikan Asmuni.

Selain itu, Pas juga melantik Datuk Takiyuddin Hassan, Khairul Faizi Ahmad Kamil, dan Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob sebagai Penolong Setiausaha Pas.

No comments

Powered by Blogger.